Tuesday, December 31, 2013

Sentimental .. Layankanlah .. Hehe



As Salam

Apa khabar semua? Semalam merupakan hari terakhir yutaka di rumah sewa. Kemudian yutaka akan berpindah di tempat yang lain. Apabila mengemas di rumah sewa yang lama, terasa sayu sekali hendak meninggalkan rumah sewa itu. Rumah itu adalah rumah pertama yutaka duduki semenjak yutaka bernikah setahun yang lalu. Banyak jasanya rumah ini kepada yutaka dan isteri. Sentimental betul jiwa ini. Sedikit sedikit mahu terasa. hehe

Berpindah ini memerlukan tenaga dan masa yang banyak. Ini kerana hampir keseluruhan urusan perpindahan diuruskan oleh yutaka sekeluarga. Bukan tidak mahu meminta pertolongan kawan kawan tetapi yutaka lebih selesa berpindah sendiri dan tidak mahu menyusahkan orang lain. Insya Allah dengan tulang 4 kerat yutaka ini, yutaka masih mampu menguruskan urusan perpindahan. Orang yang duduk di perantauan kenalah pandai berdikari. iye dok? (ya tidak?)

Bab bab tukar atau pindah ini memang sentimental sedikit. Apabila yutaka tukar pejabat, yutaka akan sedih kerana memikirkan terlalu banyak pengalaman yang bahagia (walaupun ada pahitnya). Tetapi setiap manusia pastilah kena bergerak ke hadapan. Tidak statik di dalam satu keadaan sahaja. Ada juga orang lain yang sentiasa statik di tempat lama tanpa mahu bergeraknya. Orang kata sudah "comfort zone" atau zon selesa. Yutaka bukan orang yang suka berada di zon selesa. Yutaka akan cuba mencari pengalaman lain di tempat yang baru.

Selamat datang 2014, selamat tinggal 2013. Moga di tempat tinggal yang baru ini, semakin terbuka luas pintu rezeki untuk yutaka sekeluarga. Doakan yutaka sekeluarga bahagia dan gembira dan diluaskan pintu rezeki ya, kawan kawan. Terima kasih kerana membaca.







Friday, December 27, 2013

Serius @ Tidak


As Salam

Di awal pagi ini sebelum pergi menjamah sedikit sarapan untuk memulakan kerja, yutaka mengambil peluang untuk mencoret sesuatu. Geng geng sarapan belum cukup ahlinya, menyebabkan ahli geng sarapan yang lain setia menanti. Hehe. Setia la sangatkan. Untuk post kali ini, yutaka ingin membawakan mengenai serius atau tidak sesuatu perhubungan cinta itu. Wah .. pagi pagi sudah bawa cerita berat kan? Ish ish ish ..



Lelaki dan wanita memang dijadikan berpasang-pasangan. Tiada istilah lelaki berpasangan dengan lelaki dan sebaliknya. Bila teringat kisah kaum sejenis ini, yutaka teringat kisah Kaum Nabi Lut yang dibinasakan kerana mengamalkan hubungan sejenis. Bertepatan dengan firman Allah di dalam surah Surah Al-Ankabut: 28-29

     " Dan (ingatah peristiwa) Nabi Lut tatkala ia berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu. “Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu –lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan Kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perkumpulan tetamu” ? Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): “ Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar.”


Jadi wanita sekarang perlulah mencari lelaki yang serius di dalam setiap perhubungan cinta. Cinta yang tulus adalah cinta yang menjurus ke arah perkahwinan. Carilah lelaki yang boleh membimbing dan menjadi imam untuk solat fardhu. Tetapi untuk mendapatkan lelaki yang ada agama, wanita perlulah mendekatkan diri kepada Allah, menjaga batas pergaulan, menjaga aurat. Selepas usaha itu dilakukan, berdoalah kepada Allah untuk menemukan lelaki yang beriman dan berakhlak. Firman Allah di dalam Surah An-Nur ayat 32

" Dan kahwinkanlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpa kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui "



Soal kaya miskin juga menjadi perkara penting. Memang itu yutaka tidak nafikan. Seorang lelaki yang ingin berkahwin perlulah mempunyai pekerjaan yang menjamin. Lelaki yang beriman tidak akan duduk menganggur sahaja di rumah tanpa mencari rezeki dan nafkah untuk anak isteri. Jika mendapat lelaki kaya yang beriman, syukur kepadaNya, tetapi jika dapat lelaki yang ada pekerjaan tetap dan dan mempunyai asas agama yang kuat, sambarlah cepat cepat kerana golongan lelaki begini sudah semakin kurang di pasaran.
 
Lelaki yang terbaik adalah menjaga tingkahlakunya dan akhlaknya. Memang diakui saat bercinta geloranya memang dahsyat. Tetapi seorang wanita jangan mudah menyerahkan segalanya kepada lelaki yang bukan suaminya. Lelaki touch n go ni memang ramai di luar sana, tetapi lelaki yang touch n carry to jannah memang susah hendak cari. Bermakna lelaki berkenaan akan sentuhi wanita yang dinikahinya dan membimbing ke syurga. Bercinta pun jangan lama-lama, jika betul lelaki itu serius mintalah lelaki itu menghantar rombongan meminang. Lelaki yang berdolak dalik mengenai perkahwinan itu perlu ditinggalkan kerana mereka tidak komited untuk menjaga wanita sehingga ke akhir hayat mereka.

Kesimpulannya, serius atau tidak lelaki itu boleh dilihat dengan kesungguhan mereka untuk menjadikan wanita itu sebagai isterinya yang sah. Wanita perlu solehah kan diri kerana insya Allah lelaki soleh bakal menjelma. Berdoalah kepadaNya kerana hanya Allah Maha Berkuasa atas sekian alam. Jika wanita mendapat lelaki yang tidak soleh, berdoalah kerana hati manusia memang keras. Hanya doa dan hidayah dapat melembutkan hati yang keras. Insya Allah.
 





Thursday, December 26, 2013

Seruan Haji Bahagian Enam




As Salam

Hari ini yutaka ingin bercerita mengenai KESIHATAN jemaah Haji. Sesungguhnya kesihatan amat dititikberatkan oleh pihak Tabung Haji kepada para jemaah haji. Sebelum menunaikan Haji, jemaah hendaklah melakukan pemeriksaan kesihatan. Hal ini kerana pihak Tabung Haji ingin memastikan bahawa perjalanan jemaah Haji akan berjalan dengan lancar.

Sebelum menunaikan fardhu Haji, seseorang jemaah Haji hendaklah bersiap sedia dari segi stamina dan ilmu. Ilmu Haji sudah semestinya penting, tetapi tahap kesihatan yang baik juga perlu diberi perhatian. Jika sakit, bagaimana jemaah Haji hendak menunaikan Haji dengan sempurna. Untuk itu, bagi mereka yang mendapat tawaran menunaikan Haji, pihak tabung Haji menyarankan bakal jemaah Haji bersenam dan berjoging untuk mendapatkan stamina yang terbaik.

ibadah tawaf mengelilingi Kaabah

Kenapa perlunya kesihatan yang baik? Sudah semestinya menunaikan fardhu Haji adalah lebih kepada fizikal seperti tawaf, saie (berlari lari anak) dari bukit safar ke marwah dan melontar 3 jumrah. Tawaf misalannya, memerlukan stamina dan energi yang banyak kerana semasa tawaf jemaah Haji akan bertembung dengan ramai jemaah Haji dari seluruh dunia. Apabila jemaah Haji dari Timur Tengah yang berbadan tegap dan tinggi bertembung dengan jemaah Haji Malaysia, pastinya terpelanting jemaah Haji Malaysia. Dengan stamina dan energi yang tinggi, jemaah Haji tidak akan semput dan penat semasa menunaikan tawaf.

Saie dari bukit safar ke marwah juga memerlukan kesihatan yang baik. Jemaah Haji akan berjalan dan berlari lari anak (disunatkan bagi lelaki) dari bukit Safa ke bukit Marwah sebanyak 7 kali. Bagi mereka yang memiliki stamina dan energi yang rendah, mereka akan lelah setelah mereka menunaikan ibadah saie ini. Seperti biasa, ramai jemaah Haji dari seluruh dunia akan bersaie ketika itu. Tidak kira waktunya, kawasan saie tetap ramai orang. Memiliki stamina yang tinggi dapat memudahkan dan mempercepatkan ibadah tersebut. Mempercepatkan itu bukanlah sampai 10minit, tetapi jika terlalu lama akan menyebabkan stamina kita semakin lemah.

ibadah saie dari bukit safa ke bukit marwah

Melontar jumrah juga merupakan di antara kemuncak Haji. Para jemaah Haji perlu berjalan sejauh 5km pergi balik untuk melontar jumrah. Di sinilah, pentingnya joging kerana apabila jemaah Haji sudah terbiasa berjoging, sudah semestinya mereka tidak mengalami kesukaran untuk berjalan ke tempat jumrah dan balik ke khemah. Jangan lupa untuk membawa air mineral dan payung kerana di sana tiada mesin air dan penjual air dan penjual payung. Kalau haus, berdoa lah kepada Allah.

Sebelum Tabung Haji membenarkan jemaah Haji menunaikan Haji, jemaah Haji hendaklah membuat pemeriksaan kesihatan seperti pemeriksaan darah, urin, tekanan darah, jantung dan lain lain. Ada juga suntikan tambahan yang digalakkan untuk mengambilnya di mana suntikan berkenaan adalah ditanggung sendiri oleh jemaah Haji sendiri. Suntikan itu adalah untuk mencegah badan daripada terkena jangkitan penyakit berjangkit. Masalah demam, hidung berdarah dan bibir kering itu adalah kebiasaan, jangan risau akan situasi itu.

ibadah melontar jumrah

Sesungguhnya perkara kesihatan ini perlu dititikberatkan sebelum menunaikan Haji. Kesihatan yang baik akan memudahkan kita untuk menyempurnakan Rukun Islam yang kelima. Tetapi berdoalah kepada Allah untuk rezeki kesihatan itu kerana hanya Allah mampu memberikan sihat dan memberikan ujian sakit kepada jemaah Haji. Kita hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakal. Paling penting adalah menjaga kesihatan sebelum, semasa dan selepas menunaikan Haji.

Sabar Di dalam Rumahtangga



As Salam

Hari ini yutaka membuka facebook yutaka. Yutaka ada membaca mengenai rahsia rumahtangga yang dikongsi oleh rakan facebook yutaka. Di dalam status facebooknya ada menyebut mengenai rahsia kekal bahagia dan setia ayah ibunya adalah SABAR. Begitu senang disebut tetapi agak berat untuk melakukannya. Sebab manusia itu punya perasaan dan hati. Kalau tidak kuat dengan ujian dan dugaan, sabar itu bakal menipis.

Isteri kalau ditegur atau dimarahi oleh suami, hendaklah dia bersabar. Jangan ikut melenting sama, ketahuilah punca amarah suami. Mungkin si isteri ada melakukan perkara yang tidak disukai oleh suami. Suami yang gila sahaja yang kerjanya asyik marah sahaja. Kalau isteri menjalankan tanggungjawab dan menjaga maruah keluarga, yutaka pasti isterinya akan disayangi dan dibelai suami sampai akhir hayat. Jadi perkara pokoknya adalah sabar.

Suami pula kena bersabar dengan ragam isteri. Lagi lagi ketika isteri sedang mengandung. Emosi isteri mengandung ini tidak menentu. Kalau marah, memang kadangkala dia main hembus sahaja. Tidak sempat memikirkan perasaan orang yang dimarahinya. Tetapi sebagai suami, kalau makin teruk sangat baran isteri itu, maka tegurlah secara baik. Jangan dibiarkan sehingga mudarat.

Tetapi jangan jadikan kesabaran untuk terus menjadi lembik tidak bermaya. Apabila ianya melibatkan maruah keluarga, maka pertahankanlah. Kadangkala orang mengambil kesempatan di atas kesabaran kita. Kita bukan malaikat dan kita bukan iblis. Kita boleh cepat marah, apabila kesabaran dicabar dan kita boleh cepat reda sekiranya permohonan maaf dipinta atas kesalahan yang telah dilakukan.

Tetapi sayangnya jumlah penceraian rumahtangga ini semakin meningkat dari tahun ke tahun. Mana-mana masalah dan perselisihan faham hendaklah diatasi segera. Jika boleh jangan sampai melarat sampai dua hari ke atas. Luangkan masa untuk meluahkan perasaan geram sedih bersama pasangan. Sikap berterus terang itu penting di dalam rumahtangga. SABAR di dalam menguruskan konflik rumahtangga. Insya Allah pengakhirannya adalah baik.


Thursday, December 19, 2013

Berhati - Hati Di Luar Bank


As Salam

Hari ini yutaka ingin menceritakan mengenai tahap bahaya di luar bank. Sebenarnya kita tidak boleh mengabaikan tahap keselamatan tidak kira di mana kita berada. Perkara yang paling menjadi tumpuan penjenayah adalah di luar bank. Dan waktu yang paling selesa untuk menyamun adalah ketika waktu malam yang sunyi. Mungkin kes jenayah di luar bank adalah terpencil namun impaknya terhadap mangsa sangat besar.



SITUASI 1

Setelah mengeluarkan wang di mesin ATM, keluar dari bank sambil mengira jumlah not. Tanpa disedari, ada mata penyamun memerhatikan gerak laku itu. Disambarnya wang dan lari kegembiraan. Apa yang mampu dilakukan? Redha? Membuat laporan polis? Polis bertanya apakah bukti? Bagaimana rupa penyamun tersebut? Jawapannya : Tidak tahu kerana berlaku dengan pantas. Apa nasib mangsa yang disamun? Sangat sedih bukan?

SOLUSI SITUASI 1

Walaupun di dalam bank ada pengawalnya, namun mereka tidak menjaga di luar bank. Jadi keselamatan kita hendaklah kita pastikan sendiri. Setelah mengeluarkan wang di mesin ATM, kita hendaklah terus masukkan wang tersebut ke dalam dompet kita. Terus keluar ke kereta dan meninggalkan kawasan beg dengan segera. Urusan mengira wang hendaklah dilakukan di rumah. Kebarangkalian duit yang keluar salah adalah rendah. Jika salah, kita boleh pergi ke bank keesokkan harinya. 



SITUASI 2

Hendak mencari duit mudah bukanlah mudah, jadi ada agensi tertentu yang menjadikan kawasan luar bank untuk memungut derma. Derma berkenaan kononnya adalah untuk membina masjid atau untuk tujuan kebajikan tertentu. Rakyat Malaysia sesungguhnya sangat prihatin dan baik hati. Mana mana derma dan sedekah, akan diberikan tanpa banyak soal. Ada juga yang sengaja mengikat kita untuk menderma seperti sehari seringgit untuk tujuan kebajikan untuk pesakit berpenyakit kronik. Kita akan diminta untuk mengisi borang dan mereka akan mengeluarkan duit kita daripada bank atau gaji kita.

SOLUSI SITUASI 2

Yutaka biasanya kurang melayani individu yang meminta sedekah dan derma di luar bank ini. Ini kerana yutaka tidak yakin mengenainya. Adakah benar benar untuk kebajikan atau untuk peribadi? Yutaka lebih suka bersedekah dan menderma di tempat yang betul seperti di masjid @ surau @ rumah anak yatim sendiri. Bukan berkira soal wang derma, tetapi kita mestilah membanteras penyelewengan kebajikan ini supaya tidak berleluasa. Jika tidak, semua orang pasti akan meminta sedekah tanpa perlu berusaha mencari wang dengan titik peluh, dan minda mereka sendiri.



SITUASI 3

Apabila ada yang memanggil anda untuk bertanya jalan atau apa sahaja kepada anda ketika anda keluar dari bank, berhati hati lah kerana anda mungkin akan diperangkap oleh penyamun. Lagi lagi individu yang bertanya jalan dan hendak menumpang anda ke destinasi tertentu. Jangan terlalu cepat kasihan dan memberi tumpang kepada individu yang anda tidak kenali. Anda mungkin akan disamun di dalam kereta.

SOLUSI SITUASI 3

Jika ada individu yang memanggil anda dan anda tidak mengenalinya, langkah paling senang adalah tidak memandangnya dan terus menuju ke kereta dan beredar. Jika ada yang bertanyakan jalan dan memujuk anda untuk menumpang ke destinasi tertentu, tolong berhati hati. Jika boleh, jangan tumpangkan mereka yang anda tidak kenali. Bukan tidak kasihan atau kejam, tetapi anda perlu meletakkan keselamatan di tempat teratas dan di akhiri dengan kasihan. Anda tidak mengetahui samada mereka itu penjenayah atau sebaliknya.


SITUASI 4

Anda keluar ke bank, di minda anda adalah satu iaitu hendak mengeluarkan wang di mesin ATM. Tetapi anda terlupa akan keselamatan insan yang ditinggalkan di dalam kenderaan. Lagi sedih ada juga ibu bapa yang meninggalkan anda mereka di dalam kenderaan yang tidak berkunci kerana menyangka urusan mengeluarkan wang di mesin ATM adalah cepat. Adakah mereka benar benar selamat?

SOLUSI SITUASI 4

Memang diakui ada antara kita yang menganggap situasi ini adalah remeh. Tidak perlu takut atau gusar akan keselamatan insan di dalam kenderaan yang ditinggalkan. Yutaka sering mengingatkan isteri yutaka mengenai pentingnya mengunci pintu kereta apabila yutaka pergi ke bank atau singgah mana mana kedai. Yutaka mahu memastikan isteri yutaka selamat sementara menunggu yutaka menyelesaikan urusan di sesuatu tempat. Situasi samun di dalam kenderaan sering berlaku dengan pantas tanpa kita sedari.


Kesimpulannya, walaupun negara kita ada polis dan peraturan, namun keselamatan kita tidak akan diawasi 24jam oleh anggota keselamatan. Sebaliknya kita hendaklah menjaga keselamatan dan mencegah jenayah daripada berlaku kepada kita. Walaupun negara kita masih aman berbanding dengan negara bergolak, keselamatan adalah aspek yang perlu diberi perhatian. Jangan memandang remeh akan perkara ini. Orang kata lebih baik mencegah daripada mengubati. Jadi berhati hatilah ketika anda keluar dari bank. Anda diperhatikan !!!

Wednesday, December 18, 2013

Apabila Malaikat Menjemput Kita



Surah Al Imran ayat 185

"tiap tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang orang yang terpedaya"


As Salam

Apa khabar pembaca sekalian? Hari ini mood keinsafan menyelinap di ruang sanubari ini. Bukan hari lain tidak insaf, tetapi mood ini didorong oleh pemikiran kesedihan. Setiap insan pasti merasai mati dan insya Allah akan diberikan pahala bagi mereka yang mengingati mati. Dalam masa setahun ini, yutaka sudah kehilangan tiga rakan. Begitu cepat sekali mereka meninggal dunia. Tetapi apa daya kita untuk menghalang kuasa dan ketentuan Allah?

Sudah berguni kah pahala kita di dunia ini? Sudah cukupkah bekalan kita untuk kembali ke Allah? Atau adakah kita hanya mengejar kemewahan dan kesenangan dunia semata-mata? Tetapi di dalam mengejar kemewahan dunia dan memenuhi kehendak nafsu, bagaimana dengan saham akhirat? Adakah kita sudah menyempurnakan kewajipan 5 rukun Islam dan 6 rukun Iman? Selain itu, mengenai tanggungjawab kita. Bagaimanakah iman anak isteri suami kita? Adilkah kita di dalam menjalankan tanggungjawab sesama manusia lain? Hutang pula bagaimana?


Orang sangka mati itu senang. Hanya tanam di tanah perkuburan. Hilang permasalahan di dunia. Bagi mereka yang hidup sangat susah. Perlu fikir keperluan hidup dan kehendak nafsu yang tidak pernah cukup. Tetapi tidakkah kita beringat, saham dan bekalan di dunia penting sebelum malaikat menjemput kita. Hanya amal soleh, ilmu yang berguna dan anak yang soleh dapat membantu meringankan azab kematian. Apabila sudah meninggal dunia, kita masih ada talian hayat untuk mendapat pahala iaitu ilmu yang berguna dan anak yang soleh.

Sebab itu terkadang ibu bapa sedikit lalai di dalam menyempurnakan Islam di hati anak anak mereka. Bagi mereka kemewahan dunia lebih penting. Pencarian kewangan adalah selari dengan kehendak dan keperluan duniawi. Anak anak diajar mengenai perkara yang sia sia iaitu menyanyi dan menari berbanding mengaji dan menghafaz surah Al-Quran. Apabila anak anak menjadi johan menyanyi, ibu bapa bangga dan menangis kegembiraan. 


Ada kes di pejabat agama mengenai temuduga perkahwinan di mana bakal pengantin lelaki tidak pandai membaca surah Al-Fatihah. Memang sah dan pasti insan berkenaan tidak bersolat 5 waktu. Sungguh kasihan bagi mereka yang lebih mengagungkan dunia berbanding akhirat. Kehidupan di dunia hanya lah sementara sahaja. Setelah nyawa tercabut di badan, terputuslah hubungan kita dengan dunia. Jika ada anak yang soleh dan ilmu yang berguna, alangkah bagusnya.

Adakah kematian itu jauh dengan kita? Jawapannya tidak. Kita tidak mengetahui rahsia Allah mengenai tarikh kematian kita. Beringatlah sebelum menuju saat nyawa ditarik. Sempurnakan rukun Islam dan rukun Iman. Insya Allah kita akan selamat di dunia dan di akhirat. Jangan hanya bersedih melihat kematian hanya seminit dua, dan ketawa tanpa keinsafan selepas itu. Mungkin esok, lusa tulat atau beberapa minit lagi, kita akan dijemput Illahi. Beruntunglah bagi mereka yang beramal soleh.



Surah Al-Anbiya' Ayat 35

"Tiap tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan"

Friday, November 29, 2013

Ku Berserah Kepada Mu Ya Allah



As Salam

Kita sering mendengar keluhan atau kita sering mengeluh apabila berlaku sesuatu kepada kita. Atau mungkin kita menunggu sesuatu yang belum kunjung tiba. Contohnya, berharap akan bertemu jodoh secepat mungkin tetapi sampai sekarang belum tertunai lagi. Atau mungkin berharap menjadi kaya seperti seorang raja, namun masih lagi di peringkat yang sama. Kadangkala sudah berusaha sehabis baik untuk sesuatu peperiksaan, namun hasilnya sungguh menghampakan.

Firman Allah di dalam Surah Ar - Ra'd ayat 11 bermaksud

" .. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri .. "

Daripada ayat di atas, dapatlah yutaka simpulkan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib kita sekiranya kita tidak berusaha sehabis baik. Kadangkala kala kita mengeluh kenapa kita tidak sekaya, sebijak, seperti orang lain sedangkan kita tidak berusaha mendapatkannya. Jika kita hendak kaya kita hendaklah berniat kerana Allah, berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah. Jika kita hendak menjadi pelajar cemerlang, kita hendaklah berusaha lebih untuk menjadi pelajar cemerlang. Jangan hanya berpeluk tubuh untuk mendapatkan sesuatu kerana sesungguhnya kurniaan minda dan akal fikiran perlu digunakan sepenuhnya hanya kerana Allah.


Ada situasi di mana seseorang telah berusaha, berdoa dan bertawakal, namun apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Adakah kita tidak layak mendapatkan apa yang dihajati setelah kita telah melakukan segalanya? Jawapannya adalah layak sekiranya diizinkan Allah. Semestinya kita tidak mengetahui akan hikmah kegagalan sesuatu harapan kerana hikmah itu adalah kepunyaan Allah. Ilmu kita tidak sebesar mana berbanding dengan ilmu Allah. Cuba kita hayati firman Allah seperti di bawah :

Firman Allah swt; Al-Baqarah ayat 216 bermaksud :

" Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci ; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan ingatlah, Allah jualah Yang Mengetahui )semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya "

Sebenarnya apa yang perlu kita lakukan adalah berserah sahaja kepada Allah setelah puas berusaha dan berdoa. Paling penting adalah membetulkan niat kita dahulu. Alangkah bagusnya kita niatkan kerana Allah. Insya Allah jika niat kerana Allah, Allah akan mempermudahkan urusan kita itu. Tetapi jangan terlalu kecewa jika masih belum dapat apa yang kita harapkan kerana pasti ada hikmahnya. Jika gagal, muhasabah diri dari segi niat,  perancangan, usaha dan doa. 



Tuesday, November 12, 2013

Lelaki Suka


As Salam 

Hari ini yutaka ingin membawakan kisah lelaki. Kisah lelaki ini lebih kepada apa yang lelaki suka. Kira rahsia lelaki la ni. Yutaka akan menjelaskan mengikut pengamatan yutaka dan pengalaman yutaka sebagai seorang lelaki. Tidak tiru mana mana sumber internet tau. Jadi kepada pembaca pembaca wanita, sila beri perhatian ya. Mungkin ini adalah salah satu cara untuk memahami golongan lelaki, mahkluk seringkas di alam semesta. hehe.


KRITIK SECARA MEMBINA

Walaupun kaum lelaki ini panjang akalnya, namun kadangkala mereka memerlukan pandangan dari kaum wanita. Mungkin sebab kaum lelaki ringkas, perkara perkara remeh temeh selalu tidak diendahkan. Jadi apabila lelaki minta sumbang saran daripada pihak wanita, idea itu hendaklah membina. Boleh kritik tetapi jangan lah sampai menjatuhkan semangat dan maruahnya sebagai seorang lelaki. Ini kerana seorang lelaki itu ada egonya sendiri. Kalau setiap langkah asyik dihentam dan asyik dikutuk, seorang lelaki itu boleh stress dan akan menyebabkan hatinya sakit. Apabila seorang lelaki mengeluarkan pendapat dan impiannya, jangan direndah rendahkan, kerana lelaki tidak suka akan perkara sebegitu.

MEMAHAMI

Seorang lelaki mahukan pasangan yang memahami. Memahami dari semua segi. Dari segi kerjaya, kewangan dan kehidupan. Kadangkala wanita ini tidak memahami tugas seorang lelaki. Bila sibuk dengan kerja, seringkali dikaitkan dengan skandal. Tetapi jangan percaya 200 % terhadap lelaki, lelaki juga manusia biasa. Wanita kena ada sikap memeriksa telefon bimbit, akaun sosial lelaki. Sebab di sana kadangkala ada kisah tersembunyi. Tetapi tidak semua lelaki gatal, hanya segelintir sahaja yang cuba menggatal.

Kewangan. Kadangkala wanita ini banyak keinginannya. Tetapi adalah diharapkan keinginan itu tidak melampaui batas sehingga menyusahkan lelaki. Alangkah bagusnya jika didahulukan keperluan berbanding dengan kehendak. Jika hendak membeli sesuatu barangan, hendaklah mengambil kira adakah ianya bermanfaat dan tidak membazir.



SETIA dan PERAMAH

Lelaki suka wanita yang setia dan peramah ikut tempat. Rasanya kaum hawa pun sebegitu. Kesetiaan terhadap perhubungan merupakan asas penting di dalam kesejahteraan dan keharmonian perhubungan. Lelaki tidak suka jika wanita yang disayanginya sibuk sibuk mengambil tahu bekas kekasihnya dahulu. Kebanyakkan kaum hawa ini memang sifatnya suka mengambil tahu keadaan bekas kekasihnya dahulu. Kaum Adam ini berlainan pula, dia akan membuang bekas kekasihnya di dalam laut mati. Bermakna dia gembira dengan adanya kesayangan yang baru di sisi. Tiada bekas kekasih di hati. 

Peramah pula memang menjadi satu punca api api cemburu memuncak. Peramah boleh, tapi jangan sampai peramah tanpa mengira jantina dan tidak mengenal tempat. Contohnya seorang wanita begitu peramah di luar dan di dalam dunia sosial. Lelaki memang tidak suka akan hal sebegitu. Kalau wanita peramah dengan kaum wanita, rasanya lelaki tidak begitu risau. Tetapi kalau wanita yang disayangi peramah dengan lelaki lain, memang boleh memercikkan api api kemarahan lelaki. Jadi peramah biar bertempat, tidak perlu kepoh sangat dan tidak perlu pendiam sangat.

PUJIAN

Perkara yang paling kita terlepas pandang adalah memuji orang lain di hadapan pasangan kita. Contohnya wanita memuji " eh lelaki itu kacaklah " @ " staf lelaki tempat kerja saya tu baik orangnya ". Apabila lelaki mendengar pujian itu, dia mesti berkata dalam hati " aku ni tidak kacak ke? " " aku ni tidak baik ke berbanding dengan kawan opis dia? ". Berhati hati ye kaum wanita, lelaki tidak suka bila wanita memuji lelaki lain di hadapannya. Puji sedikit sedikit boleh, tapi jangan asyik memuji sampai memuja.



Itulah serba sedikit mengenai apa yang lelaki suka dan apa yang lelaki tidak suka. Lelaki ini ringkas sebenarnya tetapi jangan memijak keegoan mereka. Sayangilah lelaki yang bergelar suami. Kerana syurga wanita adalah di bawah tapak kaki suaminya. Jika suami ada membuat salah, tegurlah dengan baik. Bukan mengherdik herdik seperti kanak kanak belum baligh. Suami boleh sentap jika ditegur secara kasar dan tidak kena pada tempatnya.

Friday, November 1, 2013

Bunga Bunga Zina



As Salam

Apa khabar semua? Baru baru ini kisah bunga bunga penzinaan di kalangan anak-anak muda kita semakin meluas di dada media sosial Bunga bunga penzinaan atau mukadimah penzinaan itu seoalah sudah semakin terbiasa di kalangan anak anak muda sekarang ini. Begitu takut melihatkan mereka bercinta. Anak muda zaman sekarang bercinta mengalahkan anak muda zaman dahulu. Syerammm niih ..

Di dalam facebook, kita dibiasakan dengan video cinta anak anak muda. Ada yang membuatkan kita menyampah dan ada yang membuatkan kita meluat. Di dalam facebook, ada sesetengah anak muda yang suka memberitahu satu dunia yang mereka bercinta dengan cara bergambar berpelukan atau bergambar berciuman. Ada pula yang anak anak muda perempuan bangga meletakkan gambar mengatakan "aku bangga mendapat terunanya"

Adakah nilai keislaman di kalangan anak anak muda semakin tiris dan menipis? Atau adakah ibu bapa zaman sekarang terlalu terbuka dengan ideologi orang kafir di dalam menjalani kehidupan seharian? Mungkinkah perisian teknologi canggih seperti Facebook, Keek, Twitter, Wechat dan lain lain menjadi punca kepada permasalahan ini? Adakah manusia zaman sekarang terlalu taksub dengan dunia tanpa sepadan ini? Wah .. begitu banyak persoalan yang diutarakan .. Macam polis da ..

Sebenarnya peranan ibu bapa perlu di dalam menerapkan dosa pahala di dalam rumahtangga nya. Ibu bapa juga perlu sama sama berkembang ilmu media sosialnya dengan turut mempunyai akaun media sosial. Jadi anak anak muda akan takut sekiranya mereka hendak melakukan perbuatan "gila-gila" yang memalukan keluarga seperti yang dilakukan oleh seorang artis wanita malaysia yang begitu bangga dengan video Keek nya.

Wednesday, October 30, 2013

Puan Norhayati Berahim, Tolong Ambil Manuskrip Saya ..




As Salam
Hari ini yutaka ingin sedang bergiat di dalam penulisan karya novel. Setakat ini sudah memasuki empat bab. Begitu gigih kan menulis. Sebenarnya menulis ini sesambil sahaja. Setakat ini yutaka sudah menghasilkan novel remaja ketika di dalam tingkatan empat. Novel berkisar kepada kehidupan seorang remaja bersekolah. Ini semua hasil motivasi daripada abang sulung yutaka yang turut menghasilkan novelnya tersendiri.

Sebenarnya yutaka bukanlah penggemar novel. Memang tidak pernah menghabiskan masa untuk membaca satu satu buku novel. Walaupun yutaka bukan pembaca novel tetapi yutaka gemar menulis. Disebabkan tidak ada asas menulis dan tidak gigih membaca novel, konsep penulisan novel agak lari jauh. Itulah kan, tiada ilmu tetapi mahu terus menerjah bidang penulisan novel. Tetapi apabila membaca http://penulisan2u.net/  baru yutaka sedar konsep penulisan yutaka selama ini terlalu jauh larinya.

Setelah memasuki bab keempat, yutaka bercita-cita hendak menghantar manuskrip ke mana-mana publisher. Yutaka sudah melihat http://www.nbkara.com.my/web/ mengenai panduan menghantar manuskrip. Jadi, yutaka tahulah mengenai syarat-syarat menjadi penulis novel dan syarat-syarat menghantar karya. Apabila sudah membacanya, yutaka jadi bersemangat sekali. Ingin juga mencuba nasib menghantar manuskrip dan menjadi penulis novel.


Setakat ini novel yutaka belum dibaca dan dinilai oleh sesiapa pun. Ini kerana yutaka ingin menghasilkan karya sendiri tanpa dikacau oleh orang lain. Bermakna idea itu datangnya daripada yutaka, bukan orang lain. Apabila idea itu datang sendiri, yutaka dapat ber eksperimen dengan imaginasi yutaka sendiri. Kalau dibaca nanti, takut nanti konsep cerita telah bertukar. Idea sudah bertukar. Hurmm.. takmo takmo idea orang lain. Idea orang lain adalah hasil pemikiran orang lain.

Yutaka ingin menceritakan sesuatu yang lain daripada cerita yang ada. Cerita orang kaya dipaksa kahwin, cerita orang kaya berebut harta, cerita orang miskin yang selalu dibuli orang kaya. Bosan ok. Yutaka ingin menceritakan cerita sebenar kehidupan masyarakat. Cerita orang-orang kaya ni sudah muak. Tiba-tiba yutaka hendak muntah ..  cerita sebegini sudah bosan dilihat kerana kita akan tahu apa kesudahannya. Bila sudah dapat agak jalan ceritanya, tiada uniknya karya berkenaan.

Jadi yutaka harap yutaka dapat menyiapkan secepat mungkin manuskrip novel tersebut. Sesungguhnya banyak cabaran di dalam menyiapkan karya yutaka itu. Tetapi itu bukan alasan, kerana alasan seringkali menghancurkan impian dan harapan. Cayok cayok .. bersemangat lah wahai bakal penulis novel tersohor .. (amin ya rabbal alamin) Mudah mudahan ye. Doakan yutaka ye.




Monday, October 28, 2013

Salah Buli Junior




As Salam

Hari ini yutaka ingin menceritakan mengenai sikap insan yang suka mencari gado. Di dalam pejabat yutaka yang baru, yutaka seakan hendak dibuli oleh seorang senior dari segi pembahagiaan kerja. Senior ini seorang wanita yang begitu mengelat di mana hendak menyerahkan tugasnya kepada yutaka. Mungkin melihatkan yutaka ini seorang pendiam, senior ini merancang sesuatu untuk memberikan tugas berkenaan kepada yutaka.

Tetapi rancangan senior ini tidak berjaya kerana yutaka tidak mahu menerima tugas itu. Ini kerana tugas berkenaan adalah terletak di bahagian pentadbiran sedangkan yutaka berada di dalam bahagian kewangan. Yutaka berkata kepada senior itu, yutaka tidak mahu membuatnya kerana ia di luar bidang kuasa skop kerja yutaka. Senior ini tidak berpuas hati, lalu mencari sokongan daripada ketua bahagiannya. Ketua Bahagian ini pun sama meminta yutaka untuk melakukan kerja berkenaan.

Sebenarnya senior ini silap dan tidak tahu kerja. Mungkin kerana dia melihatkan yutaka pendiam dan tidak banyak perangai membuatkan dia hendak membuli yutaka. NO WAY !! Jangan ingat yutaka ini kosong kerana sikap pendiam yutaka ini. Yutaka tahu kerja. Jadi yutaka tetap pertahankan hak yutaka. Tiada istilah memilih kerja, tetapi yutaka ada skop kerja yutaka sendiri. Skop kerja tidak boleh campur campur. Kalau setakat hendak tolong tolong, yutaka ringan tulang untuk membantu.


Berita mengenai keengganan yutaka ini sampai ke pejabat utama, di mana nama yutaka naik dek kerana yutaka tidak mahu menerima kerja berkenaan. Ooo .. begitu terkenal sekali yutaka. Selepas terkena, yutaka menjadi lebih berhati-hati. Geram juga melihat sikapnya yang talam seribu muka. Tetapi tidak mengapa, Allah itu ada. Sekuat mana pun percubaan senior itu yang cuba mengelat, setakat ini Allah bersama yutaka. Percubaan itu tidak berjaya sampai sekarang.

Tetapi serangan secara senyap senyap itu tidak berhenti sampai sekarang. Baru-baru ini komputer yutaka sudah rosak. Jadi sementara menunggu komputer diuruskan oleh barisan teknikal "kura-kura", yutaka dijadikan bahan gosip di mana yutaka kelihatan bersenang lenang di pejabat kerana tidak kelihatan bekerja sangat. Begitu hebat serangan yang dilancarkan. Serangan melalui hasutan secara terus menerus.

 Yutaka tetap cool di luar, tetapi balik rumah cerita pada puan isteri. Bukan mengadu tetapi meluahkan rasa kegeraman yang semakin dalam lukanya. Yutaka pernah cakap dengan isteri yutaka di mana kesabaran yutaka ada hadnya. Jangan sampai yutaka pula melancarkan serangan kembali. Setakat ini kesabaran ini masih menebal, tetapi tidak tahu akan datang macam mana. Jangan terlalu yakin, air yang tenang tiada buaya. takut nanti kena libas sekali dengan wolverine terus menyesal seumur hidup. (wolverine bukan buaya :D ) 


Tuesday, October 22, 2013

Seruan Haji Bahagian Lima



As Salam

Sepanjang musim Haji tahun ini, yutaka berpeluang untuk melihat program Baitullah di TV1 anjuran Bank Rakyat Malaysia. Banyak info yang yutaka dapat daripada program berkenaan. Terasa hati ini begitu terpanggil untuk pergi ke sana bersama isteri dan ahli keluarga yang lain. Orang kata, sebelum kita menunaikan Haji, kita hendaklah pergi ziarah @ umrah dahulu kerana ianya merupakan persiapan sebelum kita menunaikan Fardu Haji.

Pendapat ini yutaka sokong kerana menurut orang yang berilmu, Haji pertama hukumnya wajib. Haji kali kedua hukumnya sunat. Jadi sebelum menunaikan Haji, bolehlah kita pergi mengerjakan umrah dahulu. Kira ambil mood Haji dahulu. Dahulunya yutaka tiada kesedaran mengenai Haji ini. Orang-orang kita pun selalu berkata Haji adalah untuk orang tua. Orang muda kena bergembira dahulu. Ditambah dengan kesedaran untuk menabung Tabung Haji sangat rendah, membuatkan duit jarang disimpan di dalam Tabung Haji.


Apabila berkesempatan untuk mengikuti kursus Haji bersama ibu, barulah yutaka tersedar yang yutaka begitu terlambat di dalam usaha untuk menunaikan Haji. Orang kita kurang kesedaran di dalam urusan pendaftaran dan urusan menabung. Bagi mereka yang berkahwin, mereka hendaklah mendaftarkan Haji untuk anak-anaknya. Ini kerana setakat ini, giliran menunaikan Haji adalah selama 50 tahun ++. Bermakna jika mendaftar tahun 2013,  giliran menunaikan Haji secara muhasassah adalah pada tahun 2063 ++. 

Apabila dari kecil anak-anak didaftar Haji, kemungkinan mereka boleh menunaikan Haji adalah ketika masih ada kudrat lagi untuk menyempurnakan Haji. Jika lambat mendaftar, ditakuti mereka menunaikan Haji ketika lutut sudah terketar-ketar, mata sudah tidak nampak ataupun sudah hampir nyanyuk. Mungkin ada di antara kita mengatakan tidak mempunyai wang untuk mendaftar kerana duit yang ada digunakan untuk persekolahan mereka.

Jangan risau akan hal kewangan itu, kerana jika kita pandai mencari duit lebih, insya Allah akan dipermudahkan. Yang paling penting adalah mendaftar dahulu, duit untuk ke sana biarlah dikumpulkan oleh anak-anak ketika mereka bekerja nanti. Pendaftaran Haji itu yang lebih utama. Insya Allah, ketika yutaka memperolehi anak nanti, yutaka akan mendaftarkan anak yutaka untuk menunaikan Haji. Jika ada duit lebih, mungkin mereka boleh menunaikan Haji lebih awal dengan pakej Haji yang mahal. Insya Allah.


Mana-mana di antara kita yang masih belum mendaftar, daftarlah dahulu. Kerana kita tidak tahu bila Allah menjemput kita. Akhirat hendaklah diutamakan kerana dunia hanyalah sementara,


Wednesday, October 2, 2013

Seruan Haji Bahagian Empat



As Salam

Hari ini yutaka ingin membawakan kisah Haji mengenai cabaran di dalam mengerjakan Haji. Pastinya setiap insan yang ingin mengerjakan Haji diberikan ujian dan cabaran tidak kira samada sebelum menunaikan Haji dan selepas menunaikan Haji. Tetapi jangan khuatir mengenai cabaran ini kerana setiap ujian dan cabaran yang menimpa kita adalah bersesuaian dengan kemampuan kita sebagai hambaNya.



KEWANGAN

Sesungguhnya faktor ini merupakan faktor penting di dalam menunaikan fardu Haji. Sesungguhnya jemaah Haji yang ingin mengerjakan ibadah Haji perlu ada sumber kewangan yang mencukupi. Ini kerana walaupun duit untuk mengerjakan fardu Haji telah cukup, jemaah perlu memikirkan mengenai perbelanjaan semasa berada di Madinah dan Mekkah.

Perbelanjaan yang dimaksudkan adalah perbelanjaan makan minum. Walaupun makan minum telah disediakan oleh pihak Tabung Haji namun adakalanya kita mahu mengubah selera makan kita dengan memakan makanan Arab. Selain itu juga perbelanjaan harian seperti perbelanjaan barang keperluan asas yang sudah habis seperti ubat gigi, sabun mandi, dan lain-lain perlu difikirkan juga. Di sana memang barangnya mahal kerana kebanyakkan barang itu harganya di dalam lingkungan gandaan 5 iaitu 5 riyal, 10 riyal dan seterusnya.

Perbelanjaan tanggungan jemaah di Malaysia perlu juga diberi perhatian. Ini kerana jemaah akan meninggalkan tanggungan mereka dalam jangka masa yang lama iaitu 40 hari. Anak-anak yang masih bersekolah perlu diberikan belanja sekolahnya. Perbelanjaan cenderahati juga perlu. Walaupun perbelanjaan ini lebih kepada kehendak bukan keperluan, tetapi jika tidak beli terasa sedikit ralat jika tidak dibeli. Ralat kerana entah bila lagi kita boleh sampai ke bumi Barakah.



ANAK ANAK

Jika kita perhatikan kebanyakkan jemaah Haji adalah warga emas. Sudah semestinya anak-anak sudah baligh dan mumaiz. Walaupun anak anak sudah besar, namun kerisauan ibu bapa yang mengerjakan Haji adalah lebih kepada keselamatan dan kehormatan anak anak nya. Lagi risau apabila anak-anaknya masih lagi di bangku sekolah di mana ibu bapa perlu memikirkan siapakah yang akan menjaga anak anak sepanjang ibu bapanya mengerjakan haji.

Selain itu juga, masalah kesihatan anak kadangkala begitu mencabar. Ada juga ibu bapa yang ingin mengerjakan Haji tidak senang duduk apabila mereka diuji dengan masalah kesihatan anak anaknya. Tetapi jangan risau kerana di Madinah dan Mekkah merupakan tempat mustajab berdoa. Berdoalah untuk kesejahteraan anak anak di Malaysia.



CUTI

Cuti merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian. Ini kerana tidak semua jemaah Haji ini sudah bersara dan tidak bekerja. Bagi kakitangan kerajaan, mereka tidak menghadapi masalah kerana cuti Haji ada diperuntukkan kepada mereka selama 40 hari. Tetapi bagaimana kakitangan swasta? Cuti yang diperuntukkan untuk setahun adalah di dalam 14 hari. Apa yang dilakukan adalah mengumpul cuti atau mengambil cuti tanpa gaji. 

Jangan risau mengenai cuti. Walaupun terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, kita sebenarnya telah melakukan satu pengorbanan di jalan Allah. Insya Allah, ada ganjaran bagi mereka yang ikhlas berjuang di jalan Allah. Ini kerana mengerjakan Haji itu merupakan satu perjuangan di dalam mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.



MAHRAM

Mahram Haji adalah perkara yang perlu difikirkan oleh jemaah Haji. Setiap jemaah haji dikehendaki membawa mahram Haji bersama. Apa pentingnya mahram ini? Mahram Haji dapat membantu dan menjaga kita semasa mengerjakan Haji. Mahram juga adalah orang yang kita percayai dan sudah biasa dengan kita. Paling elok sekiranya mahram itu terdiri daripada ahli keluarga kita sendiri.

  Menunaikan Haji di bumi yang asing bagi kita merupakan satu cabaran. Kita bukan berasal daripada Mekkah dan kita tidak biasa dengan sosiologi, geografi, dan cuaca di sana. Jadi dengan adanya mahram, setidak tidaknya kita boleh bersama sama susah dan senang di dalam mengerjakan Haji. Tidak semua jemaah Haji boleh berkongsi saat sukar dengan kita.

Masalah pergaulan di dalam bilik seringkali memeningkan pegawai Haji. Ada yang suka sejuk, ada yang suka panas dan ada yang suka sederhana. Jika tidak ada toleransi, maka bergaduhlah (walaupun mereka di bumi Barakah) Mahram boleh membantu kita di dalam menyesuaikan diri di dalam bilik. Tidak semua jemaah itu sopan santun, ada juga jemaah yang kaki buli (tidak boleh bertolak ansur)


Itulah serba sedikit di antara cabaran dan ujian. Lain orang lain ujian nya. Tetapi jangan risau kerana dengan doa, insya Allah akan dipermudahkan kita di dalam menunaikan ibadah Haji di Mekkah. Yang penting adalah bersabar, berdoa dan bertawakal. Bersangka baiklah kepada Allah kerana Allah sahaja mengetahui yang terbaik untuk kita.



Monday, September 30, 2013

Ulang Tahun Kelahiran



As Salam

Hari ini 30hb merupakan hari terakhir dalam bulan September. Bila tengok blog yutaka ini , tetiba rasa terperanjat. Kenapa terperanjat? Sebab di dalam bulan September ini, yutaka belum update blog yutaka ini. Ya Allah. Macam mana ni? Tetiba sahaja bulan September terlopong entry. Sangat tidak menarik untuk penulis blog.

Bulan September merupakan bulan ulang tahun kelahiran yutaka yang ke ... Rahsia. Haha .. Tetapi bila sahaja umur meningkat ini, yutaka merasakan yang yutaka sebenarnya kurang bekalan di akhirat. Nampak begitu serius bunyinya kan? Tetapi sekarang ini memang yutaka merasakan semakin berusia kita semakin dekat akan kematian. Ok, jangan takut kerana setiap orang akan melalui saat Malaikat kita menjemput pulang menemui Pencipta.


Sempena dengan bulan ulang tahun kelahiran ini yutaka ingin terus berdakwah di media sosial. Walaupun yutaka bukan seorang ustaz @ ulama tetapi ilmu ukhrawi yang yutaka tahu boleh dikongsi oleh umat manusia di luar sana. Dahulunya yutaka memang mengejar duniawi sehinggakan bekalan akhirat kurang diberi penekanan. Tetapi setelah yutaka pergi ke bumi Barakah, persepsi yutaka terus berubah akan urusan duniawi ini.

Ulangtahun kelahiran tahun ini diserikan dengan kehadiran seorang isteri yang cantik. Tahun ini merupakan tahun pertama yutaka menyambut ulang tahun kelahiran sebagai seorang suami. Paling menarik apabila ulangtahun kelahiran yutaka disambut oleh keluarga sebelah isteri. Terperanjat boboi. Walaupun wajah yutaka nampak tenang ketika dikejutkan dengan kejutan sambutan hari lahir, tetapi sebenarnya yutaka sangat terharu dan terperanjat di dalam hati. 


 Apa yang yutaka ingin capai adalah ingin menjadi penulis novel tersohor suatu hari nanti. Walaupun dunia penulisan novel ini nampak tidak glamor dan kaya, namun ia merupakan terapi terbaik untuk yutaka. Tetapi jangan bilang sama isteri yutaka tau, nanti dia ketawa terbahak bahak. Penulisan novel cuba disiapkan menjelang akhir tahun ini, dan akan diberikan untuk di publish oleh peblisher yang berminat. Wah .. begitu tinggi impian kan. 

Yutaka sangat teruja apabila novel dijadikan drama atau filem. Ini semakin menguatkan semangat yutaka untuk terus berkarya. Tetapi karya yutaka bukanlah bergenre gangster atau hantu kerana yutaka sangat tidak pandai berimaginasi mengenai itu. Genre cinta menjadi pilihan kerana dengan cinta, hidup manusia menjadi indah dan bahagia. Yutaka mempunyai jiwa seni yang molek. Hehe ..





Tuesday, August 27, 2013

Allah Sayangi Kita, Tetapi Kita ... Versi Makan Minum



As Salam.

Hari ini yutaka ingin membawakan mengenai kisah makan minum. Umum mengetahui soal makan minum merupakan satu keperluan kehidupan kita. Tanpa makan minum, manusia tidak bertenaga dan tidak dapat menjalankan kewajipan sebagai khalifah Allah. Tetapi adakah kita makan untuk hidup atau hidup untuk makan? Apakah perbezaan antara dua ayat tersebut.

Makan untuk hidup adalah mereka makan untuk tenaga di dalam badan. Bila ada tenaga, mereka dapat bekerja, beribadat dan menjalankan aktiviti lain sebagai khalifah Allah. Hidup untuk makan pula adalah mereke hidup adalah semata-mata untuk makan. Makan merupakan perkara nombor satu dan mengatasi segala-galanya.


Dalam soal makan minum, kita telah diajar oleh Nabi Muhammmad SAW mengenai tatacara pemakanan. Sesungguhnya ada hikmah di sebalik tatacara tersebut. Tetapi adakah kita sebagai umat Islam mengikuti tatacara tersebut? Pada yutaka, secara terus terangnya ada yang yutaka ikut dan ada juga yang yutaka terlanggar. Tetapi setelah mengalami kesakitan di kaki kiri, yutaka mengambil keputusan untuk mengikuti tatacara pemakanan yang betul.

Bermula dengan bismillah dan diakhiri dengan alhamdulillah merupakan tanda syukur kita kepada Allah kerana mengurniakan rezeki makan kepada kita. Tanpa izinNya, rezeki itu tidak datang kepada kita. Berhenti sebelum kenyang dan mengunyah makanan sebanyak 40x merupakan antara amalan yang bagus. Berhenti sebelum kenyang merupakan antara amalan yang baik kerana makanan di dalam perut ini dapat dicernakan dengan baik. Bila makanan sudah penuh diperut, kita akan menjadi malas. Mengunyah 40x diperlukan untuk mengisar makanan sehalusnya supaya proses pencernaan berlangsung dengan jayanya.


Pembaca sekalian boleh mencari sendiri antara sunnah Rasullullah mengenai tatacara makan minum di dalam internet. Tetapi apa yang yutaka ingin tekankan di sini adalah kegagalan kita untuk menjaga kesihatan sehingga memudaratkan badan kita sendiri. Allah memang sayangi kita dengan memberikan punca rezeki makan minum kepada kita. Diberikan rezeki itu adalah untuk memudahkan manusia menjalankan tanggungjawabnya sebagai khalifah di bumi.

Kesayangan Allah kepada kita juga dapat dilihat dengan mewajibkan setiap manusia berpuasa selama sebulan di dalam bulan Ramadhan. Berpuasa sebulan ini banyak hikmahnya antaranya adalah selama sebulan perut kita dapat berehat kerana sudah 11 bulan asyik bekerja memproses makanan di dalam tubuh badan kita. Tetapi berpuasa itu bukanlah tanpa makan dan minum, kita masih diberikan ruang untuk berbuka puasa di sebelah malam dan bersahur sebelum subuh.

Jadi di manakah keadilan kita terhadap pinjaman tubuh badan kita? Jika terlebih makan dan minum, pastinya akan memudaratkan kesihatan tubuh badan kita. Jika terkurang makan minum pula, ianya juga memudaratkan. Makanlah seadanya, tidak banyak dan tidak terlalu kurang. Allah sayangi kita, dan kita mestilah sayangi Allah dengan menjaga pinjaman tubuh badan kita sepenuh hati.