Monday, July 4, 2016

Sedekah



As Salam

Hari ini adalah hari-hari terakhir kita berpuasa di bulan Ramadhan. Harapnya tahun depan boleh merasai berpuasa lagi. Insya Allah. Di dalam menjelang hari raya ini, ramai insan yang bertungkus lumus meraikan hari kejayaan umat Islam ini. Berbaju baru, bersongkok baru, bersedekah dengan duit baru dari bank, berlangsir baru dan sebagainya.

Harus diingat di sini, berbelanjalah dengan berhikmah. Jangan membazir dan terikut hawa nafsu. Bersedekahlah kepada anak yatim kerana sesungguhnya insan ini turut ingin merasai hari kejayaan ini. Lagi menarik, jadikan ianya tradisi di dalam bulan Ramadhan. Bila sudah menjadi tradisi, kita tidak akan merasa kekok untuk bersedekah.

Amalan mulia ini wajar diteladani oleh anak-anak kita. Bagaimana anak - anak boleh meneladani amalan bersedekah? Senang sahaja. Semasa kita bersedekah, kita bawa bersama anak kita. Kita beri mereka duit untuk mereka merasai nikmat bersedekah. Lagi menarik jika anak kita masih kecil. Nanti si anak kecil akan bertanya dan bertanya seperti

"Kenapa mesti kita bersedekah?,"
"Apakah yang kita dapat bila bersedekah?"
"Duit tidak habis ke bila kita bersedekah?,"


Itu mungkin beberapa contoh soalan dari anak kecil. Jadi kita sebagai orang dewasa haruslah memberikan jawapan yang boleh meningkatkan semangat mereka untuk bersedekah. Amalan bersedekah ini jika diamalkan semenjak kecil, akan menjadi satu amalan berterusan di masa hadapan. Insya Allah.

Itu sahaja cerita mengenai amalan bersedekah. Orang rumah pasti gembira melihat entri ini. Kerana katanya sudah bersawang blog yutaka ini. Akhir kata, jangan main mercun. Kerana bermain mercun umpama membakar duit sendiri. Rugi rugi. Melaburlah untuk saham akhirat. Insya Allah berkat.

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN





Sunday, April 24, 2016

Dia Lagi Sakit



As Salam

Hari ini yutaka mengambil keputusan darah setelah menderita sakit kaki sejak sebulan dua yang lepas. Kali ini doktor mengesahkan asid urik yutaka agak tinggi. Alhamdulillah walaupun disahkan mengidap sakit GOUT namun sekurang-kurangnya yutaka dapat berusaha dan tahu kenapa kaki yutaka sering sakit sakit sehingga tidak boleh bangun.

Selama sakit ini, yutaka memang merasakan bahawa sakit yutaka ini adalah hebat sekali. Kenapa yutaka berkata demikian, kerana ada satu ketika yutaka tidak mampu berdiri dan terpaksa merangkak untuk ke bilik air. Dahsyat bukan? Itu belum dahsyat lagi. Sebenarnya ada orang lain yang lagi sakit daripada yutaka.

Persepsi ini berubah apabila yutaka berkesempatan bertemu dengan bekas rakan pejabat yang turut datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Setelah beramah mesra bertanya satu dua soalan. Bekas rakan pejabat yutaka sedang menderita sakit urat di tengkuk akibat terjatuh di pejabat. Sakitnya itu lagi sakit daripada sakit salah bantal. Tidur pula hendaklah mengiring ke kanan jika tidak pinggang akan sakit. Jika duduk terlalu lama pun boleh menyebabkan pinggang sakit.

Berbanding dengan sakit yutaka, yutaka merasakan sakit beliau lagi menderita lagi. Timbul rasa syukur kepada Allah. Kerana memberikan motivasi dalaman kepada yutaka untuk terus menjaga kesihatan dan pemakanan. Allah Maha Besar. Ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Kejadian ini memberikan seribu satu keinsafan kepada yutaka.

Jadi sebagai motivasi diri. Ada rangkap istimewa untuk kalian

"Apabila melihat kesedihan dan kesakitan orang lain, barulah kita sedar kesedihan dan kesakitan kita itu tidak seberapa. Teruskan berusaha berdoa dan bertawakal. Jalan kebahagian ada di dalam sujud kita "


Saturday, February 6, 2016

Anak Hingus Susah Hendak Tidur


As Salam


Malam-malam begini, kelihatan si anak susah hendak tidur. Ibu mendengar seakan ada hingus yang tidak lepas di hidungnya. Yutaka sebagai seorang bapa ingin membawa si anak kecil itu ke klinik bagi mendapatkan rawatan. Sedang berkira-kira untuk bersiap, hujan pun turun.

Isteri yutaka bertanya kepada si anak kecil yang tidak pandai menjawab "Kita cuba petua, boleh?" Si anak kecil sibuk bermain-main. Yutaka bertanya pula " Adik .. mahu cuba petua ummi tak?," Si anak kecil hanya hurmm sahaja. Hurm tanda setuju agaknya. Konon si ayah memahami bahasa anak kecilnya.

PETUA MENGELUARKAN HINGUS

a) Potong bawah putih kecil-kecil
b) Masukkan potongan itu ke dalam air panas
c) Bedung si anak kecil bagi mengelakkan rontaan 
d) Wapkan air yang panas itu ke muka anak kecil
e) Posisikan wajah anak kecil ke bawah dan menghala ke wap air panas berkenaan
f) Biarkan seketika. Ketika ini hiburkan hati anak kecil kerana wap sedang memasuki hidung
g) Hasilnya hingus mulai keluar dari hidung

Ok esok buat lagi bagi mengeluarkan hingus yang lain. Untuk pertama kali ini, yutaka teruja walaupun jangka masanya adalah 08 minit. Not bad my boy. Anak ayah mestilah kuat. Kalau kalian hendak cuba mengeluarkan hingus secara alami, cuba petua ini. Insya Allah berkesan. 


Wednesday, February 3, 2016

Sakit Itu Nikmat



As Salam

Apa khabar kalian di sana? Yutaka ok ok sahaja. Baik dan sihat. Post kali ini yutaka ingin menceritakan mengenai sakit. Sesungguhnya tiada seorang pun menginginkan sakit kerana semuanya mahu sihat-sihat sahaja. Sebenarnya kebanyakkan sakit manusia ini berpunca daripada pemakanan yang tidak sihat.

Semalam adalah hari kesakitan untuk yutaka. Kaki kiri berdenyut sehingga hendak meluruskan kaki pun terasa amat sakit. Meraung yutaka di dalam bilik yang mengundang kegelisahan puan isteri di sisi. Isteri mana yang sanggup melihat suaminya kesakitan, bukan? Dilumurnya dengan minyak De Herb TERLAJAK LARIS. Namun kesakitan itu tetap tidak surut.

Pergi ke klinik dan mengambil ubat dan diberikan cuti sakit dua hari. YESS cuti. hehe. Itulah nikmat bila sakit. Diberikan masa untuk berehat di rumah dan biasanya waktu tidur memang agak lama. Itu nikmat sebentar sahaja. Sebenarnya doktor menyarankan agar yutaka menjauhi makanan laut, daging dan kekacang. Ini kerana yutaka ada sejarah sakit GOUT.

Apa nikmatnya sakit GOUT? Semua makanan yang dimestikan pantang itu sangatlah sedap dan menyelerakan. Nikmatnya adalah Allah memberikan peluang untuk badan yutaka sihat sejahtera dengan cara tidak mengambil makanan yang dilarang itu. Yang pelik bin ajaibnya, yutaka bukanlah "hantu" makanan laut, daging dan kekacang. Tetapi itulah takdir yang mesti yutaka redha.

Namun begitu, yutaka bersyukur kerana masih boleh menikmati ayam goreng, ikan siakap 3 rasa, sayur-sayuran dan buah buahan. Alhamdulillah. Siapa kata sakit itu tidak nikmat? Badan pun ada hak untuk sihat.  Bila badan sihat, itulah nikmat yang Allah beri. Teruskan berusaha menjaga pemakanan kita. 


Saturday, December 5, 2015

PAK YUS JAMBU



As Salam

Semalam yutaka ada menonton tribute to Pak Yus di Astro. Sepanjang perjalanan program itu, yutaka akui air mata jantan ini jatuh berderai derai di pipi ini. Yutaka pasti rakan-rakan rapat arwah Pak Yus pastinya sangat terasa kehilangan arwah. Ini kerana yutaka dapat merasakan arwah begitu rapat dengan arwah ketika hidupnya.

Yutaka membesar dengan dunia lawak astro yang ketika itu Astro bermula dengan program Raja Lawak musim pertama. Ketika itu persaingan hebat di antara arwah Pak Yus, Zizan dan Johan. Namun perancangan Allah itu hebat, di mana arwah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama di dalam program tersebut. Dan selepas itu, Astro meneruskan program lawaknya yang pelbagai seperti Maharaja Lawak, Maharaja Lawak Mega, Super Spontan, Karoot Komedia, Kasi Pecah Extra Vaganza yang menampilkan arwah sebagai salah satu pelawaknya.


Yutaka membesar dengan dunia lawak Pak Yus. Ada ketika kelakar, ada ketika kurang kelakar. Itulah pandangan yutaka sebagai penonton yang mahukan kelakar di dalam setiap persembahan lawak. Sehubungan dengan itu, yutaka rasa sangat kehilangan apabila arwah Pak Yus meninggal dunia. Selepas ini tiada lagi lawak arwah Pak Yus di dalam program lawak Astro.

Namun begitu, apabila terbukanya kebaikan arwah Pak Yus ketika hidupnya banyak memberi inspirasi yutaka yang masih hidup ini. Di antaranya adalah :


a) Ikhlas Terhadap Pekerjaan

Walaupun arwah tidak pernah menang hadiah utama di dalam setiap pertandingan lawak, namun arwah begitu ikhlas bekerja memecah idea untuk membuat lawak. Walaupun sedih juga kerana tidak menang, namun arwah tetap bertanding dan menceriakan penonton program lawaknya. Kita sebagai manusia biasa kadang kala begitu kecewa dengan pekerjaan kita, namun sebenarnya kita perlu ikhlas di dalam bekerja. Tidak kira apa juga kerja yang kita lakukan.

b) Kerap Memberi Sedekah

Sikap dermawan arwah ketika hayatnya memang sangat terpuji. Jika hendak dibayangkan dengan kekayaan orang lain, rasanya arwah tidaklah boleh dikategorikan sebagai jutawan, namun sikap memberi sedekah itu sangat terpuji sehinggakan beliau tidak mahu resit setiap derma yang dihulurkan. Prinsip hidup arwah adalah setiap rezeki kita ada rezeki anak yatim, orang tua dan orang cacat.

c) Tidak Membezakan

Suka berkawan itu memang tabiat arwah. Arwah berkawan dengan semua orang, tidak kira apa status dan pekerjaan orang itu. Keikhlasan berkawan itu dapat dibuktikan dengan kedatangan ramai orang semasa pengebumian arwah. Setiap orang rasa terkesan dengan pemergian arwah yang begitu cepat. Satu sikap arwah yang terpuji adalah arwah akan membalas setiap komen daripada peminatnya di laman sosial. Arwah pernah follow intagram peminatnya.

d) Hubungan Kekeluargaan

Semasa hayatnya, arwah pernah disishkan oleh adik beradiknya. Arwah pernah beraya seorang diri tanpa kehadiran adik beradiknya. Walaupun tidak diketahui apakah puncanya, namun perkara ini seharusnya dijadikan iktibar. Sebenarnya hubungan kekeluargaan itu sangatlah terpenting kerana keluarga ada hubungan darah yang sangat rapat dengan kita. Mungkin ada kekecewaan di saat berhubungan, namun kita sebenarnya tidak perlu sangat berkira dan sentiasa memaafkan.


Itulah pengajaran yang yutaka dapati daripada sikap arwah semasa hayatnya. Yutaka sangat ter inspirasi dengan arwah. Amal arwah ketika arwah sangat memberi manfaat kepada orang lain. Semoga satu hari nanti, yutaka berpeluang untuk berjumpa dengan arwah Pak Yus di alam akhirat sana. Kerana yutaka mahu menjadi kawan arwah.


Tuesday, November 10, 2015

Hat Trick Fail Bahagian Akhir


As salam

Hat trick Fail Bahagian Akhir. Nama pun hat trick, jadi ada tiga sahajalah post mengenai kegagalan ini. Post sebelum ini ada menyebut mengenai kegagalan yutaka di dalam temuduga, kali ini kegagalan kali ketiga. Jom kita ikuti kisah kegagalan kali ketiga.


PEGAWAI TADBIR NEGERI

Setelah gagal di dalam temuduga Penolong Pegawai Tadbir, yutaka merasakan ada rezeki untuk yutaka untuk menjawat jawatan Pegawai Tadbir Negeri. Jadi seperti biasa, yutaka memohon dengan harapan setinggi gunung. Harap-harap dapatlah mengena kali ini.

Perjalanan permohonan ini bermula dengan ujian online mengenai segala hal ehwal negeri. Dari adat, sejarah dan budaya semuanya ditanya. Itu soalan pengetahuan am. Berasap kepala yutaka. Jika di sekolah yutaka belajar mengenai Malaysia, namun soalan kali ini lebih spesifik ke arah negeri. 40 minit, selesai menjawab. Selepas itu kertas soalan ilmu kira-kira. Alhamdulillah soalannya senang bagi yutaka. Sehingga kan ada masa berbaki setelah selesai menjawabnya.  Terakhir sekali kertas soalan sahsiah. Itu pejam mata yutaka menjawabnya sebab jawapannya YA atau TIDAK.


Sebulan yutaka menunggu keputusan peperiksaan online. Mengikut apa yang yutaka jawab peperiksaan online, yutaka sangat yakin dengan ujian matematik dan ujian sahsiah. Ujian pengetahuan am tu memang tidak berapa yakin. Akhirnya keputusan pun keluar .. Alhamdulillah, yutaka lulus peperiksaan online. Peringkat seterusnya adalah ujian kecergasan.

Ujian kecergasan meliputi 4 ujian. Ujian BMI, ujian bip test, ujian futsal, dan ujian badminton. BMI ok. Ujian bip test ni ada pancit sedikit. Banyak lemak terkumpul menyebabkan keputusan ujian berkenaan kurang memberangsangkan. Rehat 5 minit, bersambung ujian futsal. Berehat lagi 5 minit, ujian badminton. Selepas ujian itu, balik rumah tidur berdengkur kepenatan. Krooo ... krooo .. krooo.

Daripada 500 orang, 200 dipanggil untuk ke peringkat temuduga. Yutaka berharap yutaka dapat melepasi ujian kecergasan berkenaan. Yutaka pun pergi bertanya kepada pusat temuduga. Jawapannya adalah ... yutaka GAGAL. Terus berkecai impian umpama sebuah gelas jatuh ke lantai. Sedihnya teramat sangat. Apakah hikmah yang bakal yutaka terima? 


Hikmah Di sebalik Kegagalan

Hikmahnya adalah .. hurm.. yutaka tidak diberikan ilham lagi. huhu. Sebenarnya yutaka mempunyai hasrat untuk membantu orang sekiranya yutaka berjaya menjadi Pegawai Tadbir Negeri. Namun begitu, nampak gayanya yutaka bukanlah orang yang layak untuk membantu orang lain. Mungkin tugas itu diberikan kepada orang yang lebih layak dan berkemampuan. 

Redha. Itulah yang mampu yutaka lakukan. Yutaka sudah cuba yang termampu, namun masih belum ada magnet untuk mendapatkannya. Sebenarnya yutaka sedih kerana belum lagi menunaikan impian ibu dan arwah ayah yutaka. Mereka mahukan yutaka menjadi seorang pegawai. 

Maafkan yutaka, mak abah. Yutaka sudah lakukan sehabis baik ...





Sunday, November 8, 2015

Hat Trick Fail Bahagian Dua


As Salam

Berjumpa lagi kita di laman blog ini. Itulah memandai letak bahagian satu dalam post Hat Trick Fail, jadi hendak tak nak kena la ada sambungannya. Hat Trick Bahagian Dua adalah sambungan daripada episod kegagalan temuduga. Kali ini yutaka gagal di dalam temuduga Penolong Pegawai Tadbir.


PENOLONG PEGAWAI TADBIR

Oleh kerana kesedaran akan mencabarnya untuk memohon jawatan pegawai, yutaka mengambil peperiksaan kenaikan pangkat secara lantikan untuk jawatan Penolong Pegawai Tadbir. Jika yutaka lulus peperiksaan ini, yutaka boleh gunakan untuk memohon jawatan Penolong Pegawai Tadbir. Alhamdulillah lulus juga peperiksaan ini walaupun mengambilnya 3 tahun berturut-turut.

Kebetulan keluar iklan jawatan tersebut, jadi yutaka gunakan keputusan peperiksaan itu bagi memohon jawatan berkenaan. Alhamdulillah dipanggil temuduga. Secara kebetulan, kali ini pihak melantik jawatan meletakkan syarat lulus peperiksaan berkenaan untuk dipanggil temuduga. Yutaka merupakan salah seorang calon yang berjaya.

Syukur juga kerana mendapat tarikh temuduga terawal. Fobia dapat tarikh akhir-akhir. Yutaka ditanya mengenai hal agama Islam. Melihatkan sijil sekolah agama yang begitu memberansangkan, maka soalan yang keluar adalah sangat mencabar. Yutaka jawablah yang termampu. Nampak gayanya memang kesemua soalan dapat dijawab dengan jayanya. Dalam hati, ada harapan ni.

Yutaka tunggulah keputusan diumumkan. Berdebar juga. Tanya pihak yang melantik, dan jawapannya adalah 

"Nama awak tiada dalam senarai yang berjaya. Sila cuba lagi"

Yutaka mengangguk lemah. Berkecai harapan yang dibina. Setelah diselidiki, pihak yang melantik mengutamakan pekerja yang sudah lama berkhidmat. Sedangkan yutaka boleh dikirakan separuh baru separuh lama. Ok gagal lagi. Sedihnya.


Hikmah Disebalik Kegagalan

Setakat ini yutaka belum terfikir lagi apakah hikmahnya yutaka gagal. Mungkin Allah mahu berikan rezeki yang lebih baik. Mungkin jadi pegawai. Siapa tahu? Yutaka redha akan ujian ini. Gagal Kali Kedua.