Friday, November 29, 2013

Ku Berserah Kepada Mu Ya Allah



As Salam

Kita sering mendengar keluhan atau kita sering mengeluh apabila berlaku sesuatu kepada kita. Atau mungkin kita menunggu sesuatu yang belum kunjung tiba. Contohnya, berharap akan bertemu jodoh secepat mungkin tetapi sampai sekarang belum tertunai lagi. Atau mungkin berharap menjadi kaya seperti seorang raja, namun masih lagi di peringkat yang sama. Kadangkala sudah berusaha sehabis baik untuk sesuatu peperiksaan, namun hasilnya sungguh menghampakan.

Firman Allah di dalam Surah Ar - Ra'd ayat 11 bermaksud

" .. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri .. "

Daripada ayat di atas, dapatlah yutaka simpulkan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib kita sekiranya kita tidak berusaha sehabis baik. Kadangkala kala kita mengeluh kenapa kita tidak sekaya, sebijak, seperti orang lain sedangkan kita tidak berusaha mendapatkannya. Jika kita hendak kaya kita hendaklah berniat kerana Allah, berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah. Jika kita hendak menjadi pelajar cemerlang, kita hendaklah berusaha lebih untuk menjadi pelajar cemerlang. Jangan hanya berpeluk tubuh untuk mendapatkan sesuatu kerana sesungguhnya kurniaan minda dan akal fikiran perlu digunakan sepenuhnya hanya kerana Allah.


Ada situasi di mana seseorang telah berusaha, berdoa dan bertawakal, namun apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Adakah kita tidak layak mendapatkan apa yang dihajati setelah kita telah melakukan segalanya? Jawapannya adalah layak sekiranya diizinkan Allah. Semestinya kita tidak mengetahui akan hikmah kegagalan sesuatu harapan kerana hikmah itu adalah kepunyaan Allah. Ilmu kita tidak sebesar mana berbanding dengan ilmu Allah. Cuba kita hayati firman Allah seperti di bawah :

Firman Allah swt; Al-Baqarah ayat 216 bermaksud :

" Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci ; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan ingatlah, Allah jualah Yang Mengetahui )semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya "

Sebenarnya apa yang perlu kita lakukan adalah berserah sahaja kepada Allah setelah puas berusaha dan berdoa. Paling penting adalah membetulkan niat kita dahulu. Alangkah bagusnya kita niatkan kerana Allah. Insya Allah jika niat kerana Allah, Allah akan mempermudahkan urusan kita itu. Tetapi jangan terlalu kecewa jika masih belum dapat apa yang kita harapkan kerana pasti ada hikmahnya. Jika gagal, muhasabah diri dari segi niat,  perancangan, usaha dan doa. 



No comments: