Wednesday, December 18, 2013

Apabila Malaikat Menjemput Kita



Surah Al Imran ayat 185

"tiap tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang orang yang terpedaya"


As Salam

Apa khabar pembaca sekalian? Hari ini mood keinsafan menyelinap di ruang sanubari ini. Bukan hari lain tidak insaf, tetapi mood ini didorong oleh pemikiran kesedihan. Setiap insan pasti merasai mati dan insya Allah akan diberikan pahala bagi mereka yang mengingati mati. Dalam masa setahun ini, yutaka sudah kehilangan tiga rakan. Begitu cepat sekali mereka meninggal dunia. Tetapi apa daya kita untuk menghalang kuasa dan ketentuan Allah?

Sudah berguni kah pahala kita di dunia ini? Sudah cukupkah bekalan kita untuk kembali ke Allah? Atau adakah kita hanya mengejar kemewahan dan kesenangan dunia semata-mata? Tetapi di dalam mengejar kemewahan dunia dan memenuhi kehendak nafsu, bagaimana dengan saham akhirat? Adakah kita sudah menyempurnakan kewajipan 5 rukun Islam dan 6 rukun Iman? Selain itu, mengenai tanggungjawab kita. Bagaimanakah iman anak isteri suami kita? Adilkah kita di dalam menjalankan tanggungjawab sesama manusia lain? Hutang pula bagaimana?


Orang sangka mati itu senang. Hanya tanam di tanah perkuburan. Hilang permasalahan di dunia. Bagi mereka yang hidup sangat susah. Perlu fikir keperluan hidup dan kehendak nafsu yang tidak pernah cukup. Tetapi tidakkah kita beringat, saham dan bekalan di dunia penting sebelum malaikat menjemput kita. Hanya amal soleh, ilmu yang berguna dan anak yang soleh dapat membantu meringankan azab kematian. Apabila sudah meninggal dunia, kita masih ada talian hayat untuk mendapat pahala iaitu ilmu yang berguna dan anak yang soleh.

Sebab itu terkadang ibu bapa sedikit lalai di dalam menyempurnakan Islam di hati anak anak mereka. Bagi mereka kemewahan dunia lebih penting. Pencarian kewangan adalah selari dengan kehendak dan keperluan duniawi. Anak anak diajar mengenai perkara yang sia sia iaitu menyanyi dan menari berbanding mengaji dan menghafaz surah Al-Quran. Apabila anak anak menjadi johan menyanyi, ibu bapa bangga dan menangis kegembiraan. 


Ada kes di pejabat agama mengenai temuduga perkahwinan di mana bakal pengantin lelaki tidak pandai membaca surah Al-Fatihah. Memang sah dan pasti insan berkenaan tidak bersolat 5 waktu. Sungguh kasihan bagi mereka yang lebih mengagungkan dunia berbanding akhirat. Kehidupan di dunia hanya lah sementara sahaja. Setelah nyawa tercabut di badan, terputuslah hubungan kita dengan dunia. Jika ada anak yang soleh dan ilmu yang berguna, alangkah bagusnya.

Adakah kematian itu jauh dengan kita? Jawapannya tidak. Kita tidak mengetahui rahsia Allah mengenai tarikh kematian kita. Beringatlah sebelum menuju saat nyawa ditarik. Sempurnakan rukun Islam dan rukun Iman. Insya Allah kita akan selamat di dunia dan di akhirat. Jangan hanya bersedih melihat kematian hanya seminit dua, dan ketawa tanpa keinsafan selepas itu. Mungkin esok, lusa tulat atau beberapa minit lagi, kita akan dijemput Illahi. Beruntunglah bagi mereka yang beramal soleh.



Surah Al-Anbiya' Ayat 35

"Tiap tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan"

No comments: