Wednesday, October 2, 2013

Seruan Haji Bahagian Empat



As Salam

Hari ini yutaka ingin membawakan kisah Haji mengenai cabaran di dalam mengerjakan Haji. Pastinya setiap insan yang ingin mengerjakan Haji diberikan ujian dan cabaran tidak kira samada sebelum menunaikan Haji dan selepas menunaikan Haji. Tetapi jangan khuatir mengenai cabaran ini kerana setiap ujian dan cabaran yang menimpa kita adalah bersesuaian dengan kemampuan kita sebagai hambaNya.



KEWANGAN

Sesungguhnya faktor ini merupakan faktor penting di dalam menunaikan fardu Haji. Sesungguhnya jemaah Haji yang ingin mengerjakan ibadah Haji perlu ada sumber kewangan yang mencukupi. Ini kerana walaupun duit untuk mengerjakan fardu Haji telah cukup, jemaah perlu memikirkan mengenai perbelanjaan semasa berada di Madinah dan Mekkah.

Perbelanjaan yang dimaksudkan adalah perbelanjaan makan minum. Walaupun makan minum telah disediakan oleh pihak Tabung Haji namun adakalanya kita mahu mengubah selera makan kita dengan memakan makanan Arab. Selain itu juga perbelanjaan harian seperti perbelanjaan barang keperluan asas yang sudah habis seperti ubat gigi, sabun mandi, dan lain-lain perlu difikirkan juga. Di sana memang barangnya mahal kerana kebanyakkan barang itu harganya di dalam lingkungan gandaan 5 iaitu 5 riyal, 10 riyal dan seterusnya.

Perbelanjaan tanggungan jemaah di Malaysia perlu juga diberi perhatian. Ini kerana jemaah akan meninggalkan tanggungan mereka dalam jangka masa yang lama iaitu 40 hari. Anak-anak yang masih bersekolah perlu diberikan belanja sekolahnya. Perbelanjaan cenderahati juga perlu. Walaupun perbelanjaan ini lebih kepada kehendak bukan keperluan, tetapi jika tidak beli terasa sedikit ralat jika tidak dibeli. Ralat kerana entah bila lagi kita boleh sampai ke bumi Barakah.



ANAK ANAK

Jika kita perhatikan kebanyakkan jemaah Haji adalah warga emas. Sudah semestinya anak-anak sudah baligh dan mumaiz. Walaupun anak anak sudah besar, namun kerisauan ibu bapa yang mengerjakan Haji adalah lebih kepada keselamatan dan kehormatan anak anak nya. Lagi risau apabila anak-anaknya masih lagi di bangku sekolah di mana ibu bapa perlu memikirkan siapakah yang akan menjaga anak anak sepanjang ibu bapanya mengerjakan haji.

Selain itu juga, masalah kesihatan anak kadangkala begitu mencabar. Ada juga ibu bapa yang ingin mengerjakan Haji tidak senang duduk apabila mereka diuji dengan masalah kesihatan anak anaknya. Tetapi jangan risau kerana di Madinah dan Mekkah merupakan tempat mustajab berdoa. Berdoalah untuk kesejahteraan anak anak di Malaysia.



CUTI

Cuti merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian. Ini kerana tidak semua jemaah Haji ini sudah bersara dan tidak bekerja. Bagi kakitangan kerajaan, mereka tidak menghadapi masalah kerana cuti Haji ada diperuntukkan kepada mereka selama 40 hari. Tetapi bagaimana kakitangan swasta? Cuti yang diperuntukkan untuk setahun adalah di dalam 14 hari. Apa yang dilakukan adalah mengumpul cuti atau mengambil cuti tanpa gaji. 

Jangan risau mengenai cuti. Walaupun terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, kita sebenarnya telah melakukan satu pengorbanan di jalan Allah. Insya Allah, ada ganjaran bagi mereka yang ikhlas berjuang di jalan Allah. Ini kerana mengerjakan Haji itu merupakan satu perjuangan di dalam mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.



MAHRAM

Mahram Haji adalah perkara yang perlu difikirkan oleh jemaah Haji. Setiap jemaah haji dikehendaki membawa mahram Haji bersama. Apa pentingnya mahram ini? Mahram Haji dapat membantu dan menjaga kita semasa mengerjakan Haji. Mahram juga adalah orang yang kita percayai dan sudah biasa dengan kita. Paling elok sekiranya mahram itu terdiri daripada ahli keluarga kita sendiri.

  Menunaikan Haji di bumi yang asing bagi kita merupakan satu cabaran. Kita bukan berasal daripada Mekkah dan kita tidak biasa dengan sosiologi, geografi, dan cuaca di sana. Jadi dengan adanya mahram, setidak tidaknya kita boleh bersama sama susah dan senang di dalam mengerjakan Haji. Tidak semua jemaah Haji boleh berkongsi saat sukar dengan kita.

Masalah pergaulan di dalam bilik seringkali memeningkan pegawai Haji. Ada yang suka sejuk, ada yang suka panas dan ada yang suka sederhana. Jika tidak ada toleransi, maka bergaduhlah (walaupun mereka di bumi Barakah) Mahram boleh membantu kita di dalam menyesuaikan diri di dalam bilik. Tidak semua jemaah itu sopan santun, ada juga jemaah yang kaki buli (tidak boleh bertolak ansur)


Itulah serba sedikit di antara cabaran dan ujian. Lain orang lain ujian nya. Tetapi jangan risau kerana dengan doa, insya Allah akan dipermudahkan kita di dalam menunaikan ibadah Haji di Mekkah. Yang penting adalah bersabar, berdoa dan bertawakal. Bersangka baiklah kepada Allah kerana Allah sahaja mengetahui yang terbaik untuk kita.



No comments: