Thursday, April 25, 2013

Jodoh .. Siapa Yang Perlu Selektif ?


As Salam

Hari ini yutaka ingin membawakan mengenai selektif terhadap jodoh. Adakah lelaki perlu lebih selektif untuk mencari isteri yang terbaik  atau wanita yang perlu lebih memikirkan akan soal ini. Jika ditanya kepada lelaki atau wanita, pastinya jawapan itu lebih memberat kepada gender masing-masing. Ada yang kata seharusnya lelaki tidak harus meletakkan piawaian terlalu tinggi untuk calon nya. Kerana jika iman nya hebat, maka dia akan memimpin dengan baik, tidak kira siapa pun yang akan jadi makmumnya

Yang harus cerewet adalah wanita Kerana dia sedang memilih calon imamnya.dan sudah pasti, dia mahukan calon imam yang mampu membimbing dengan baik. Kerana memilih bakal imam lebih penting dari memilih bakal makmum. Wanita juga memerlukan seorang imam yang dapat mengimamkan solat mereka, melaungkan azan di telinga bayi mereka di kemudian hari, dan menjadi hamparan untuk mereka ke syurga.


Bagi yang belum berkahwin (terutama sekali lelaki), mereka hendaklah mereka mempelajari ilmu agama sebanyaknya kerana kaum lelaki yang akan ditanya oleh Malaikat mengenai tanggungjawab mereka terhadap isteri dan anak-anaknya. Adakah terjaga tanggunggan nya semasa hayatnya? Jadi kepada kaum wanita, pilihlah lelaki yang mempunyai asas agama yang kukuh. Jangan pilih yang nampak kacak di luar, tetapi di hati tidak cantik peribadi dan agama nya.

Bagaimana jika si wanita sudah terlalu mencintai seseorang lelaki yang kurang cukup pendidikan agamanya? Sebenarnya itu tidak menjadi masalah. kerana sesuatu ilmu itu boleh dipelajari. Yang paling penting adalah mempraktikkan cara hidup Islam sebenarnya di dalam kehidupan rumahtangga. Janganlah alpha sekiranya ilmu agama hanya senipis kulit bawang, kerana kamu akan menuju kehancuran.




Kita Tetap Satu Ukhwah



As Salam

Hari ini yutaka ingin membawakan mengenai PRU13. Bukan hendak bercerita mengenai isu politik kerana yutaka tidak gemar untuk bercerita mengenai politik di dalam blog yutaka ini. Yutaka bukanlah pengalisis politik tetapi cuma rakyat yang memerhati situasi PRU13 sahaja. Kali ini yutaka akan membawakan mengenai ukhwah islamiah.

Kunjungan Imam Masjid Nabawi Fadhilatul Al-Syeikh Solah Muhammad Al - Budair ke Malaysia baru-baru ini ada menyatakan bahawa kita perlu lah bersatu menentang musuh Islam. Musuh Islam sangat bercita-cita untuk menghancurkan negara Islam dan Malaysia salah satu negara Islam. Beliau juga menggesa rakyat Malaysia mengekalkan keamanan yang sedia ada.

Jadi timbul satu persoalan, mengapa kita sanggup bermusuh sesama Islam hanya kerana berlainan ideologi politik. Hak memilih parti adalah hak peribadi. Tetapi harus diingat, jangan lah terlalu taksub sehingga sanggup memudaratkan keselamatan dan sanggup menjatuhkan maruah pemimpin tertentu. Selain itu janganlah kita menyebarkan satu berita yang tidak ada asas yang kukuh. Jika tidak ada asas yang kukuh, itu dikira FITNAH.


Tidak kira walau apa pun ideologi politik kita, kita tetap satu ukhwah islamiah. Bermakna kita tetap bersaudara dan kita mestilah mengekalkan ikatan persaudaraan kita. Jika kita tidak menjaga ukhwah kita, bagaimana akidah anak cucu kita di kemudian hari. Berkempenlah secara bersih tanpa menghina atau mengutuk pemimpin yang kita tidak suka. Jika mahu meyakinkan pengundi, kita tidak perlu menyebarkan fitnah.

Bangkitlah umat Islam, jangan biarkan Islam tenggelam disebabkan ketaksuban kita terhadap politik. Orang tua pernah berkata-kata biarlah bersederhana, jika berlebihan akan memudaratkan. Tetapi yutaka paling anti dengan sentimen mempolitikkan agama. Agama Islam dipermainkan dan dipergunakan oleh orang kafir untuk kepentingan peribadi. Jika kita sayangkan agama kita, kita perlu bangun untuk menegakkan agama Islam. Jangan hanya pandai bermain kata-kata untuk memutarbelitkan hukum agama.



Wednesday, April 24, 2013

Tahajjud Paling Syahdu


As Salam

Hari ini seperti hari biasa yutaka bekerja di pejabat yang sama. Semenjak dua menjak ini, yutaka seperti teringin menunaikan solat tahajjud sepertiga malam. Tiba-tiba je kan. Tetapi ini bukan buang tabiat ye. Sebenarnya yutaka terasa seperti ingin meluangkan sedikit masa untuk bermunajat kepadaNya. Sudah lama terpendam niat di hati untuk menunaikan solat - solat sunat sepertiga malam.

Untuk permulaan, niat sudah disemat dan sudah di set kan alarm jam untuk bangun pagi. Tetapi cubaan pertama tidak menjadi, yutaka bangun selepas pukul 6.00 pagi. Ok .. tidak mengapa lah. Yutaka cuba lagi untuk esok harinya. Kali ini yutaka lambatkan sedikit waktunya. Syukur cubaan kali kedua berjaya. Yutaka sempat menunaikan solat Tahajjud.


Di dalam surah Al-Israa Ayat 79 

" Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajjud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu ; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu - pada hari akhirat - di tempat yang terpuji. "
 
Berdasarkan ayat di atas, memang kita disarankan untuk bersolat tahajjud di waktu awal pagi. Jadi berdasarkan pengalaman yutaka, sebenarnya solat tahajjud ini sangat asyik dan syahdu apabila dilakukan di waktu awal pagi. Ketika orang masih lena diulit mimpi indah, kita bangun bermunajat kepadaNya. Apa yang yutaka rasa ketika itu adalah merasakan diri sangat kerdil di sisiNya. Begitu sayu ketika memanjatkan doa kerana mungkin ketika itu hati yutaka sangat lembut. Entah mengapa ketika berdoa itu yutaka rasa sangat sedih dan syahdu. Begitu indahnya solat sunat di waktu awal pagi. Terasa tenang hati ketika itu. Hal ini terjadi mungkin disebabkan ketika itu tahap kesedaran dan fokus yutaka sangat tinggi. 


Walaupun begitu terdapat banyak fadilat bersolat tahajjud di antaranya 

KURNIAAN DI DUNIA IALAH:

- Jauh daripada segala penyakit.
- Lahir kesan takwa pada wajahnya
- Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia.
- Percakapannya mengandungi hikmah.
- Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati).

KURNIAAN DI AKHIRAT IALAH:

- Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri.
- Dipermudahkan hisab.
- Cepat melalui Sirat al-Mustaqim – seperti kilat.
- Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.

Marilah kita cuba untuk bersolat tahajjud. Jika kita boleh bangun pagi untuk menonton bola sepak atau mungkin kita boleh berjaga malam untuk ber internet, kita cuba selitkan untuk bermunajat kepadaNya. Insya Allah ada ganjaran yang akan diperolehi.




Monday, April 22, 2013

Sedalam Mana Kesetiaan, Sekuat Mana Kecintaan



As Salam

Hari ini yutaka ingin membawakan satu kisah mengenai KESETIAAN. Selama manakah insan boleh bertahan setia sekiranya dugaan kesakitan menimpa pada pasangan nya. Kita ambil contoh daripada beberapa kisah di bawah ini ya

a) Di dalam drama Hanya Padamu ( TV3 ), Tuan Arman sudah penat dengan kesakitan isterinya. Pada mulanya, isterinya dijaga dengan penuh kasih sayang. Tidak lama kemudian, dijaga isterinya kerana simpati. Kemudian apabila sudah penat, dia mula merungut kerana isterinya tidak juga sembuh.

b) Ada kisah mengenai si suami yang patah kaki sebelah kerana kemalangan. Si isteri mula goyah sehingga sanggup meminta cerai dengan suaminya kerana dirasakan suaminya tidak mampu untuk menyara kehidupan keluarganya. Walaupun punya anak yang ramai, namun si isteri tetap mahu menanggung susah senang bersama.

c) Kisah seorang suami yang memfailkan penceraian kerana sudah penat menjaga isterinya yang sakit sejak 7 tahun lepas. Isterinya sekarang tidak mampu bergerak dan dijadikan alasan untuk diceraikan.

Itu situasi institusi kekeluargaan sekarang, tetapi tidak pada zaman datuk nenek moyang kita dahulu. Orang dulu-dulu lebih setia orangnya. Tidak kisah betapa payahnya hidup, namun diharungi bersama. Bila sakit, dijaganya dengan penuh kasih sayang. Tidak terlintas di fikiran untuk lari daripada tanggungjawab. Jauh sekali untuk menceraikan pasangan yang sedang menderita sakit.

Tetapi masih adakah istilah kesetiaan di hati pasangan suami isteri sekarang ini? Jika ada, syukur alhamdulillah. Terkadang Allah sengaja menguji rumahtangga kita dengan sedikit kesakitan.

 

Adakah Lelaki Layak Berpoligami ?


As Salam

Hari ini yutaka ingin membawakan kisah poligami. Poligami adalah berkahwin lebih daripada satu. Di dalam Islam, lelaki dibenarkan berkahwin sampai 4 orang. Begitu besar kuasa lelaki di dalam poligami. Tetapi ada syaratnya. Syaratnya adalah mampu berlaku adil ke atas tanggungan nya. Nampak begitu seronok apabila diberikan kuasa itu, tetapi begitu berat tanggungjawab yang perlu dipikul.

Isu berpoligami ini memang amat sensitif bagi pihak wanita. Manakan tidak, pastinya semua wanita tidak mahu dimadukan atau bermadu. Ini kerana mereka perlu BERKONGSI dan melakukan PENGORBANAN yang bukan calang-calang cabarannya. Pada kebiasaannya, wanita akan mencari PAYUNG besar untuk bisa memayungi kehidupan sehariannya. Maka, sasaran nya adalah lelaki yang stabil dari segi kewangan nya. Lelaki yang stabil ini biasanya adalah lelaki yang sudah berumahtangga. Peratusan lelaki bujang yang stabil kewangan nya adalah rendah. Bagi wanita yang mempunyai suami yang kaya raya, BERHATI-HATI lah ye.




Lelaki yang ingin berpoligami ini mempunyai dua sebab utama iaitu pertamanya memang sejak azali si lelaki itu mata keranjang dan keduanya ingin merasai kasih sayang dan belaian seorang wanita. Lelaki yang bermata keranjang ini lebih kepada ingin berkahwin sebab nafsu. Bermakna bukan tanggungjawab yang difikirkan tetapi lebih kepada keseronokan nafsu di ranjang sahaja yang difikirkan.

Lelaki yang ingin merasai kasih sayang dan belaian seorang wanita pula lain ceritanya. Kadangkala pihak isteri terlalu sibuk dengan kehidupan kerjayanya atau mungkin terlalu sibuk dengan tanggungjawab terhadap rumahtangga sehingga tanggungjawab terhadap suaminya terabai. Atau mungkin sikap isteri yang tidak mengendahkan pentingnya menghangatkan rasa cinta di dalam rumahtangga menyebabkan kehidupan rumahtangga itu bosan dan tidak bermaya.




Ada lelaki yang tidak menunjukkan apa yang dia mahu. Mungkin faktor ego atau malu menyebabkan mereka sentiasa mengharapkan langkah si isteri di dalam menyemarakkan api cinta di hati mereka berdua. Dan apabila melihatkan si suami tidak kisah, maka si isteri menganggap langkah untuk menyemarakkan rasa cinta itu tidak perlu dilakukan. Jadi apabila sudah lama tidak bermanja-manja, maka si lelaki mudah cair apabila digoda oleh wanita lain.

Jadi persoalan di atas tidak boleh yutaka jawab setakat ini. Ini kerana manusia ini sangat banyak karenahnya. Terpulang kepada mereka yang sudah berumahtangga sahaja untuk menjawabnya. Tetapi menurut pemerhatian dan pengalaman mereka yang sudah berpoligami, mereka menyesal berpoligami. Banyak masalah yang timbul. Mula-mula mereka seronok, lama-lama mereka tidak seronok kerana banyak masalah yang timbul. RENUNG-RENUNGKAN sebelum bertindak. 






Friday, April 19, 2013

Racism Ruins Lives



As Salam

Hari ini yutaka ada pergi ke bank atas sesuatu urusan. Masuk ke sesuatu bank ( kebanyakkan staf berbangsa Cina ) itu dengan sedikit terpinga. Yelah, yutaka tidak tahu di manakah hendak berurusan. Tiada seorang frontliner staf di situ. Nasib baik yutaka nampak mesin nombor. Jadi tekan lah ikon customer services. Apabila nombor dipanggil, yutaka cakaplah mengenai urusan yang hendak dibuat. Staf bank tersebut meminta yutaka pergi naik ke tingkat atas.

Sesampai di tingkat atas, sekali lagi yutaka terpinga. Sebab di sana tiada kaunter untuk bertanya. Jadi yutaka masuklah ke ruangan kerja dengan mata mencari seseorang untuk bertanya. Staf berbangsa Melayu bertanya kepada yutaka. " Ada urusan apa ya? " Setelah diberitahu ke mana hala tuju nya yutaka pergi lah ke tempat yang berkenaan. Duduk sekali lagi. Di depan yutaka ada staf bank berbangsa Cina sedang sibuk tanpa mempedulikan yutaka. Selang 2 minit kemudian, ada pelanggan berbangsa Cina duduk bersebelahan yutaka. Staf berbangsa Cina yang sibuk tadi terus bertanya kepada pelanggan berbangsa Cina tersebut.


Yutaka terfikir, kenapa yutaka tidak dilayan dahulu berbanding dengan pelanggan berbangsa Cina tersebut? Adakah kerana yutaka bukan berbangsa Cina? Yutaka merasakan bank tersebut memang budaya nya adalah CHINESE FIRST, OTHERS LAST. Bermaksud pelanggan berbangsa Cina diutamakan dahulu, pelanggan lain akan dilayan kemudian. Kenapa yutaka berkata demikian ? Ini kerana sudah 2 bank yang sama yutaka pergi, kebanyakkan layanan terhadap bangsa Cina memang terbaik. Tetapi tidak pada bangsa lain.

Kenapa perlu ada sikap perkauman terhadap bangsa lain. Bangsa lain tetap berhak untuk diberi layanan sama rata, Perdana Menteri Malaysia sudah menerapkan 1Malaysia di mana setiap bangsa berhak untuk menikmati kehidupan yang baik secara sama rata dengan bangsa lain. Yutaka selepas ini memang tidak akan lagi berurusan bank yang berbentuk permata itu. Lebih baik berurusan dengan Tabung Haji, Bank Islam dan Ambank. Kerana layanan mereka tetap terbaik.



Thursday, April 18, 2013

ADIRA & ALIFF AZIZ - KEAJAIBAN CINTA



KEAJAIBAN CINTA

Takkan pernah aku menyerah
Walau harus terpisah ruang
Hanya bisa bermimpi
Terlukis dalam khayal
Betapaku tunjuk setia

Biar waktu terus berlalu
Hati takkan pernah berhenti
Menyanyikan lagumu
Membaca puisimu
Selamanya aku rindu

Biar hujan yang turun
Membasahi jiwa ini
Ku tetap setia menanti dirimu


Chorus
Kerna cinta ku mampu mematahkan sepi
Ku sanggup menunggu dirimu
Walau seumur hidup
Kerna cinta ruang tak menjadi misteri
Hanya ku melihat dirimu
Datang memeluk daku

Biar hujan yang turun
Membasahi jiwa ini
Ku tetap setia menanti dirimu


Monday, April 8, 2013

Pegawai Tadbir Dan Diplomatik



As Salam

Pagi-pagi yutaka sudah membuka laman web http://www.spa.gov.my untuk melihat jadual peperiksaan Pegawai Tadbir Dan Diplomatik. Begitu bersabar sekali yutaka memasukkan nombor kad pengenalan yutaka. Akhirnya yutaka berjaya dan akan mengambil peperiksaan di kampung halaman. Hati sudah berdegup kencang. Dup Dap Dup Dap

Kenapa hendak berdebar? Sebenarnya yutaka masih belum lagi mengulangkaji pelajaran. Jadi macam mana hendak lulus peperiksaan tersebut? Ya Allah tolong saya .. Sebenarnya ini bukan kali pertama yutaka mengambil peperiksaan PTD. Sudah tidak terkira lagi berapa kali yutaka kandas di dalam peperiksaan PTD ini. Hebat bukan? Haha .. Ketawa kan diri sendiri.

Hendak buat macam mana kan, hendak menjadi pegawai mestilah kena melalui pelbagai proses. Mula-mula sekali peperiksaan, selepas itu Assessment di INTAN, dan terakhir sekali temuduga. Dulu yutaka bukan jurusan kesihatan atau cikgu di mana keluar-keluar terus dapat kerja yang bergaji besar. Dan dulu juga yutaka bukan daripada Kolej Poly Tech Mara di mana kalau keputusan ijazah bagus, boleh sambung Master di luar negara. Selepas habis master boleh jadi pensyarah di KPTM.


Tetapi tidak mengapalah, saringan pon saringan lah. Memang semakin ramai pemegang ijazah di Malaysia sekarang ini. Jadi tidak mungkin kesemua pemegang ijazah ini menjadi pegawai lantaran kekosongan pegawai sangat terhad. Jadi pemilihan seseorang pegawai itu sangat ketat kerana pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia ingin mengambil pegawai yang benar-benar layak untuk menjawatnya.

Walaupun sudah beberapa kali KANDAS di medan peperiksaan, yutaka tetap akan berusaha untuk suatu kehidupan yang lebih selesa daripada sekarang. Mungkin orang akan berkata, jadi PTD bukanlah kaya mana pun. Gaji kerja kerajaan berapa la sangat kan. Jauh berbeza daripada gaji kerja swasta. Itu pendapat masing-masing. Yutaka cuma ingin meningkatkan kerjaya yutaka ke tahap yang lebih tinggi kerana yutaka ingin berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Apa yang penting adalah yutaka akan terus berusaha untuk meningkatkan kerjaya yutaka sekarang ini. Allah tidak akan mengubah sesuatu nasib seseorang melainkan manusia itu yang mengubahnya. Jadi berusahalah untuk kehidupan yang lebih baik. Kerajaan sudah menyediakan beberapa peluang kerjaya untuk rakyatnya, jadi rakyatnya perlulah merebut dengan hasil usaha sendiri. Selamat Maju Jaya kepada saya.


Friday, April 5, 2013

CINTA KASIH




As Salam

Selasa lepas adalah episod terakhir drama Cinta Kasih di TV3. Cinta Kasih ini dibintangi oleh Adi Putra, Wawa Zainal dan Shah Jaszle. Yutaka antara salah seorang peminat yang menunggu cerita itu ditayangkan pada setiap hari Selasa. Isteri yutaka turut menemani walaupun dia tidak berapa minat dengan salah seorang pelakon drama ini. Terima Kasih Sayang .. hehe

Seperti biasa, yutaka akan membawakan beberapa pengajaran di sebalik drama ini

JANGAN CURANG

Walaupun suatu perkahwinan itu dilakukan secara paksaan, setiap pasangan perlulah belajar untuk menyintai pasangan mereka. Ini kerana setiap cinta itu boleh dipupuk jika kena dengan caranya dan dilakukan dengan ikhlas. Kita perlu berfikir secara positif, mungkin pasangan yang dikahwini secara paksa itu adalah jodoh yang terbaik. 


  TINGGALKAN KEKASIH LAMA

Jika anda terjumpa dengan bekas kekasih anda, jangan gedik sangat hendak menyambung kembali perasaan cinta itu. Anggaplah anda tiada jodoh dengan bekas kekasih anda itu. Biarkan bekas kekasih anda menjalani kehidupan mereka sendiri. Kita perlu menjaga hati pasangan kita itu. Bayangkan muka dan perasaan pasangan anda sekiranya dia mendapat tahu anda masih lagi berhubung dengan bekas kekasih. Pasti sangat terluka.


PERTAHANKAN RUMAHTANGGA

Salah satu dialog si suami apabila mendapat tahu isterinya curang adalah " Abang akan pertahankan rumahtangga kita dengan nyawa abang ". Begitu sabar dan tabahnya si lelaki yang sangat bersabar untuk merebut hati isterinya yang curang. Sedih ooo tengok reaksi Adi Putra. Begitulah kuatnya rasa cinta si suami kepada isterinya. Mungkin cintanya terhadap isterinya adalah kerana Allah.


Itulah pengajaran yang yutaka nampak. Marilah kita bina hubungan kekeluargaan yang bahagia. Usah dikenang perkara yang lepas, binalah kebahagiaan hari ini yang mungkin lebih manis daripada yang lepas.


Pada pendapat saya cerita ini : Best Gred A-

Anugerah Bintang Paling Popular



As Salam

Hari ini hari jumaat. Lagi 2 hari ada ABPBH (Anugerah Bintang Popular Berita Harian). Ramai artis berdebar-debar untuk majlis itu, tidak ketinggalan peminat-peminat yang sudah mengundi artis kesayangan mereka. Popular ini tidak semestinya terbaik. Popular mungkin selalu keluar majalah, drama dan gosip. Itulah istilah popular. Tetapi tidak dinafikan yang terbaik pun popular juga. Peminat sekarang lebih bijak di dalam menilai bakat seseorang artis itu.

Untuk tajuk di atas, yutaka ingin dedikasikan Anugerah Bintang Paling Popular kepada orang yang paling dekat dengan yutaka. Bukan hanya popular tetapi anugerah ini lebih kepada anugerah popular dan terbaik sepanjang zaman


Anugerah Bintang Terbaik dan Popular

Anugerah Bapa Terbaik Sepanjang Zaman : Arwah ayah yutaka
Anugerah Ibu Terbaik Sepanjang Zaman : Ibu yutaka
Anugerah Teman Tiada Pengganti : Isteri yutaka
Anugerah Insan Islamik Berwajah Artis : Abang sulung yutaka
Anugerah Insan Perunding Kewangan : Adik yutaka nombor 3
Anugerah Insan Bisnes Online : Adik perempuan yutaka
Anugerah Kanak-kanak Bermotivasi : Adik bongsu yutaka

Anugerah Pengarah Jabatan Terbaik : Dato Haji Obet bin Tawil 
Anugerah Penyelia Jabatan Terbaik : Puan Mutiah binti Pardi
Anugerah Kakitangan Jabatan slumber : jabatan yutaka pertama
Anugerah Jabatan yang happening : jabatan yutaka yang kedua
Anugerah Kaunter Jabatan Terbaik : jabatan yutaka sekarang ini

Anugerah Rakan Sekerja Terbaik : Encik Hairol bin Selamat
Anugerah Rakan Sekerja Bermotivasi : Encik Munzir bin Mustafa
Anugerah Pembaca Blog Terbaik : Pembaca blog yutaka


Kepada sesiapa yang tiada nama di atas, jangan sedih ya. Kepada semua rakan-rakan yutaka, tidak kira di dalam blog atau di dunia realiti, yutaka tetap hargainya. Kepada semua insan yang pernah membuatkan kehidupan yutaka "hangit", yutaka berdoa agar mereka ini sentiasa membahagiakan orang lain di kemudian hari. Insya Allah.