Sunday, January 12, 2014

Semakin Tua




As Salam

Apa khabar pembaca sekalian. Sejak kebelakangan ini adik yutaka sering mengatakan yutaka sudah tua. Ini kerana beliau ternampak dan terlihat yutaka begitu lambat ketika hendak bangun dari posisi duduk sambil menyebut perkataan Allah. Kebiasaan yang kita nampak, perlakuan seperti itu dilakukan oleh warga emas. Adakah yutaka sudah semakin tua? Hehe. Jawapannya adalah YA

Dahulu sebelum berkahwin dan bernikah, yutaka agak terasa apabila rakan rakan mengatakan yutaka sudah tua tetapi masih belum bernikah. Sering kali yutaka mengingatkan diri bahawa yutaka masih lagi muda remaja. Kira tidak boleh menerima kenyataan bahawa usia yutaka semakin bertambah dari setahun ke setahun. Tetapi itu dulu lah, zaman budak budak yang masih lagi leka dengan urusan duniawi dan kurang peka terhadap urusan ukhrawi (akhirat)



Sekarang ini bila adik yutaka berkata yutaka sudah tua, yutaka akan berkata " Abang memang sudah tua. Tunggu malaikat ambil nyawa je ni ". Kedengaran agak menakutkan jawapan itu tetapi itulah realiti kehidupan di mana semakin bertambah usia kita, semakin dekat kita kepada alam kematian. Dan semakin bertambah usia, semakin berat tanggungjawab kita terhadap pinjaman Allah seperti nyawa, harta, agama, dan lain lain. Jadi adakah kita tidak tersedar akan hakikat dunia yang sementara ini?

Bukan tidak boleh menikmati rezeki dunia, tetapi kurniaan rezeki itu mestilah diselarikan dengan amal kebajikan kita. Semakin bertambah rezeki kita, ibadah kepada Allah mestilah bertambah. Jangan kita terlupa akan sujud kepada Allah atas kenikmatan yang diberikan. Janganlah kita lupa pada jiran jiran kita, kerana mungkin mereka tidak cukup makan minum. Jangan lupa pada anak anak yatim piatu yang semestinya tidak mampu hidup tanpa bantuan dan sokongan ahli masyarakat yang lain.


Berbicara soal kematian ini, pastinya ada sedikit kegusaran di hati yutaka. Yutaka gusar sekiranya amalan untuk di alam sana terlalu sedikit berbanding dengan dosa yang telah dilakukan. Bagaimana kehidupan di alam kubur yang gelap tanpa lampu yang bercahaya? Yutaka sendiri pun agak teraba raba dan cemas ketika tiada bekalan elektrik di rumah. Bagaimana agaknya gelap ketika di dalam kubur yang tiada lampu @ telefon bimbit untuk menerangi ruang gelap di dalam kubur?

Tetapi jangan risau, kerana amal ibadah yang banyak dapat membantu kita di alam kubur dan di alam akhirat sana. Jadi persoalannya adakah kita sudah bersedia untuk menemui Allah? Jika tidak, fikirkan kembali. Kerana takut nanti kita dijemput di dalam keadaan kufur atau terpesong jauh daripada ajaran Islam. Setiap manusia tidak akan terlepas daripada dosa. Pohonlah kemaafan kepada Allah dan manusia. Berubahlah ke arah kebaikan kerana setiap perubahan pasti terselit ketenangan di jiwa. Insya Allah.



No comments: