Wednesday, January 29, 2014

Sambung Belajar Untuk Apa?



As Salam 

Hari ini yutaka ingin membawakan kisah mengenai pentingkah belajar?  Jikalau dahulu kita diberikan harapan belajar sampai universiti, nanti hidup akan senang sebab dapat kerjaya hebat. Tetapi nampaknya harapan itu tidak seindah yang disangka kerana ramai di luar sana yang mempunyai segulung diploma atau ijazah tidak mendapat kerja berdasarkan kelayakan akademiknya.

Jadi persoalannya adalah buat apa belajar tinggi-tinggi sampai berhutang jika mendapat gaji yang sedikit. Tetapi kalau belajar main-main, bagaimana hendak mendapatkan pekerjaan? Jika pemegang diploma dan ijazah pun terkial kial untuk mendapat pekerjaan, bagaimana mereka yang tidak ada kelayakkan akademik yang tinggi? Yutaka mengalami situasi ini di mana jawatan sekarang tidak sama dengan kelayakkan akademik.


Walau bagaimana pun, yutaka bersyukur kerana diberikan rezeki kerjaya sekarang ini. Jika tidak, pastinya susah hendak membayar hutang belajar dan hutang kereta. Jikalau kalian hendak tahu, setiap hari yutaka akan membuka laman web spa8 untuk melihat permohonan yutaka itu. Begitu tinggi harapan yutaka untuk meningkatkan kerjaya yutaka. Namun setakat ini rezeki kerjaya itu belum nampak bayangnya lagi.

Jadi yutaka terfikir untuk cuba berniaga atau orang putih berkata bisnes. Walaupun yutaka tidak mempunyai kelayakan akademik dalam jurusan bisnes tetapi yutaka suka untuk mencuba berniaga. Tetapi untuk berniaga kita mestilah mempunyai ilmu. Tidak ada ilmu, tidak ke mana kita ini. Bertepatan dengan saranan Nabi Muhammad SAW, 9/10 rezeki itu berpunca daripada perniagaan. Itu yang menguatkan lagi iltizam yutaka ingin cuba berniaga.


Sementara menunggu rezeki kerjaya yang belum tiba, yutaka rasa yutaka ingin berniaga. Yutaka mempunyai impian untuk mempunyai perniagaan sendiri dan mewah rezekinya seperti jutawan di luar sana. Bila ada sumber kewangan yang mantap, barulah boleh menyediakan tapak untuk anak cucu berniaga. Teringat kata kata Tun Dr Mahathir

" Bangsa lain sibuk berniaga, tidak makan gaji. Bila mereka sudah tua, perniagaan mereka semakin berkembang dan boleh diwarisi oleh anak dan cucu mereka. Tetapi bagaimana mereka yang makan gaji? Anak anak dan cucu mereka akan bermula daripada bawah dan bertatih tatih semula setelah ayah dan datuk mereka meninggal dunia "


Jubah Lelaki


As Salam

Semalam yutaka pergi menempah jubah lelaki untuk kegunaan sendiri. Sebenarnya yutaka ingin memakainya di majlis perkahwinan adik ipar yang dijangkakan berlangsung dalam bulan April tahun ini. Sebenarnya yutaka ada beberapa lakaran jubah yang dilukis sendiri. Jadi diharapkan pada majlis itu nanti, yutaka dapat memakai jubah hasil lakaran yutaka sendiri. Insya Allah

Idea untuk melakar sendiri jubah lelaki adalah kerana yutaka selalu melihat jubah lelaki yang konsepnya terlalu tradisi. Tradisi adalah jubah berkenaan hanya memainkan satu tone warna. Satu tone warna yang biasa di pasaran adalah warna putih, hitam dan cokelat. Tidak ada permainan warna di dalam jubah di pasaran. Lakaran jubah pula terlalu asas dan sama. (seperti dibawah). Lagi satu, kebanyakkan konsep jubah adalah berlatar belakangkan timur tengah. Penggunaan bunga atau lakaran daun di kolar dan butang sangat biasa dilihat.



Jadi yutaka ingin lari sedikit daripada konsep di pasaran, di mana yutaka ingin menampilkan sesuatu idea segar dan menarik di samping permainan warna yang menarik. Yang paling penting, ianya mengikut syariah Islam yang menutup aurat. Yutaka harap pemakaian jubah ini boleh dijadikan budaya di Malaysia di masa mendatang. Bila jubah lelaki memasuki pasaran, insya Allah aurat lelaki sudah lepas. Mungkin suatu hari nanti, kita akan nampak pemakaian jubah di pasaraya, majlis keramaian dan lain lain. 

Siapa kata lelaki tidak boleh berfesyen? Katakan TIDAK pada seluar pendek atau sendat. Katakan TIDAK kepada baju berlengan pendek yang menampakan bulu ketiak. Katakan TIDAK kepada fesyen yang tidak mengikut syariat Islam. Jadi jika diizinkan, yutaka ingin membina jenama jubah yutaka sendiri di mana akan diterima pakai di pasaran global. Ini merupakan jihad terkecil yutaka untuk kemaslahatan masyarakat Islam di Malaysia. Doa - doakan ya.



Monday, January 13, 2014

Not Available FOREVER



As Salam

Hari ini semasa sarapan pagi ada rakan yutaka membawakan kisah sensasi Arik, Lunak dan Cuta Tarik. Cuta Tarik sudah bernikah tetapi dikaitkan dengan video sensasi tersebut. Jadi yutaka terfikir, kenapakah seorang wanita boleh berlaku curang sedangkan statusnya masih isteri orang? Di dalam facebook pun, ada status mengenai isteri bijak menyembunyikan kecurangannya. NOT AVAILABLE sesuai bagi mereka yang bergelar isteri.

Baru baru ini juga, ada kisah seorang isteri yang berbalas mesej dan gambar dengan seorang pelakon Singapura. Jadi apakah sekarang kemesraan isteri terhadap lelaki bukan mahramnya sudah tiada batasannya? Berbalas mesej secara kerap dengan lelaki lain menunjukkan si isteri sudah mula bosan dengan hubungan rumahtangganya. Atau mungkin si isteri sering memberikan alasan sunyi kerana si suami sibuk bekerja mencari rezeki. 
 
 
Adakah cara menghalalkan hukum? Dewasa ini, orang yang mengamalkan Islam sepenuhnya dianggap orang asing, tidak bebas atau ketinggalan zaman. Pergaulan bebas dan hiburan menjadi biasa di saat ini. Roh Islam semakin menjauh di jiwa masyarakat Islam di saat ini. Mungkin kerana manusa beragama Islam kini semakin jauh dengan ajaran Islam dan Allah. Semuanya kerana hasutan Syaitan dan hawa nafsu.
 
Sesungguhnya lelaki dan wanita ada magnetnya. Sentiasa melekat dan tertarik. Hanya keimanan dan ketakwaan sahaja yang boleh menepis godaan syaitan. Di dalam pejabat biasanya, yutaka pernah melihat seorang lelaki lain dan isteri orang lain makan bersama berdua sedangkan mereka bukan mahramnya. Bila ditegur dikatakan Best Friend Forever atau sekadar makan sahaja. Atau mungkin lelaki menumpangkan isteri orang yang bukan mahramnya pergi kerja secara berdua. Alasannya ingin menjimatkan kos minyak atau sekali jalan ke pejabat.
 
 
 
Alasan di atas adalah penepis fitnah apabila orang mula bercerita mengenai tahap kemesraan mereka. Tetapi di sebalik lelaki dan wanita yang bukan mahramnya itu adalah syaitan. Adakah lelaki dan wanita itu boleh menahan godaan syaitan? Adakah kemesraan yang pada mulanya kawan pasti tidak akan bertukar sayang? Jawapannya adalah TIDAK. Kerana manusia mempunyai hati yang sangat rapuh dan tahap keimanan yang tidak teguh.   
 
Jadi kepada puan isteri, jagalah diri masing masing. Elakkan berlaku fitnah kerana sesungguhnya setiap fitnah itu pasti ada keburukan yang terselit. Elakkan daripada bermesej mesej dengan lelaki lain walaupun BFF. Elakkan makan dan pergi ke mana mana dengan lelaki lain yang bukan mahram kerana sesungguhnya itu merupakan kunci kepada kemesraan kecurangan.Carilah rakan wanita yang baik yang boleh menjadi peneman makan sarapan dan carilah rakan wanita yang memandu untuk menumpang ke tempat kerja. 


Paling penting jadikan suami peneman di kala suka dan duka. Jangan cari orang lain. Jika suami tiada di sisi, JANGAN sesekali meluahkan perasaaan terhadap lelaki lain. Carilah ibu atau adik beradik untuk meluahkan perasaan. Jagalah diri dan kesucian sebagai isteri. Kerana sesungguhnya suami adalah pelindung kepada isterinya. Jangan bagi sebarang alasan untuk menghalalkan cara dan hukum. Jangan jadi syaitan yang sentiasa mencari alasan untuk mengingkari suruhan Allah. Insya Allah, dengan mengelakkan fitnah kehidupan rumahtangga akan bahagia.


Sunday, January 12, 2014

Semakin Tua




As Salam

Apa khabar pembaca sekalian. Sejak kebelakangan ini adik yutaka sering mengatakan yutaka sudah tua. Ini kerana beliau ternampak dan terlihat yutaka begitu lambat ketika hendak bangun dari posisi duduk sambil menyebut perkataan Allah. Kebiasaan yang kita nampak, perlakuan seperti itu dilakukan oleh warga emas. Adakah yutaka sudah semakin tua? Hehe. Jawapannya adalah YA

Dahulu sebelum berkahwin dan bernikah, yutaka agak terasa apabila rakan rakan mengatakan yutaka sudah tua tetapi masih belum bernikah. Sering kali yutaka mengingatkan diri bahawa yutaka masih lagi muda remaja. Kira tidak boleh menerima kenyataan bahawa usia yutaka semakin bertambah dari setahun ke setahun. Tetapi itu dulu lah, zaman budak budak yang masih lagi leka dengan urusan duniawi dan kurang peka terhadap urusan ukhrawi (akhirat)



Sekarang ini bila adik yutaka berkata yutaka sudah tua, yutaka akan berkata " Abang memang sudah tua. Tunggu malaikat ambil nyawa je ni ". Kedengaran agak menakutkan jawapan itu tetapi itulah realiti kehidupan di mana semakin bertambah usia kita, semakin dekat kita kepada alam kematian. Dan semakin bertambah usia, semakin berat tanggungjawab kita terhadap pinjaman Allah seperti nyawa, harta, agama, dan lain lain. Jadi adakah kita tidak tersedar akan hakikat dunia yang sementara ini?

Bukan tidak boleh menikmati rezeki dunia, tetapi kurniaan rezeki itu mestilah diselarikan dengan amal kebajikan kita. Semakin bertambah rezeki kita, ibadah kepada Allah mestilah bertambah. Jangan kita terlupa akan sujud kepada Allah atas kenikmatan yang diberikan. Janganlah kita lupa pada jiran jiran kita, kerana mungkin mereka tidak cukup makan minum. Jangan lupa pada anak anak yatim piatu yang semestinya tidak mampu hidup tanpa bantuan dan sokongan ahli masyarakat yang lain.


Berbicara soal kematian ini, pastinya ada sedikit kegusaran di hati yutaka. Yutaka gusar sekiranya amalan untuk di alam sana terlalu sedikit berbanding dengan dosa yang telah dilakukan. Bagaimana kehidupan di alam kubur yang gelap tanpa lampu yang bercahaya? Yutaka sendiri pun agak teraba raba dan cemas ketika tiada bekalan elektrik di rumah. Bagaimana agaknya gelap ketika di dalam kubur yang tiada lampu @ telefon bimbit untuk menerangi ruang gelap di dalam kubur?

Tetapi jangan risau, kerana amal ibadah yang banyak dapat membantu kita di alam kubur dan di alam akhirat sana. Jadi persoalannya adakah kita sudah bersedia untuk menemui Allah? Jika tidak, fikirkan kembali. Kerana takut nanti kita dijemput di dalam keadaan kufur atau terpesong jauh daripada ajaran Islam. Setiap manusia tidak akan terlepas daripada dosa. Pohonlah kemaafan kepada Allah dan manusia. Berubahlah ke arah kebaikan kerana setiap perubahan pasti terselit ketenangan di jiwa. Insya Allah.



Wednesday, January 1, 2014

Pentingkah Azam Tahun Baru 2014 ?



As Salam

Apabila bercerita mengenai kehadiran tahun baru, mesti orang akan memasang azam atau harapan yang ingin dicapai sepanjang tahun baru. Semua sudah bersiap sedia dengan azam yang telah mungkin ditulis berjela jela di dalam "money la card" atau kertas "ma jonk". Tetapi biasanya orang akan menganggap perbuatan itu "poyo" atau "gedik" kerana itu adalah angan angan mat jenin yang tidak mungkin akan tercapai. Orang kata "sembang lebih" atau "hangat hangat tahi ayam"

Memang biasa jika akan ada yang ketawa apabila kita berazam. Itu normal bagi orang yang mempunyai pemikiran negatif di mana akan cuba menidakkan azam tahun baru kita. Tetapi adakah azam itu penting untuk diwujudkan? Bagi yutaka azam itu perlu diwujudkan tetapi azam itu tidak semestinya terletak pada suatu tempoh tertentu sahaja. Bermakna tiap tiap masa pun, kita boleh berazam. Tidak semestinya mesti pada tahun baru sahaja.


Jika kita hendak berubah, maka berubahlah. Jangan melengahkan masa untuk terus berubah kerana hati kita tidak sekuat besi yang bisa menawan atau menangkis segala cubaan. Sebagai contoh, kita berazam hendak cukupkan solat 5 waktu @ kita hendak membuang tabiat berhenti merokok @ hendak menutup aurat. Jika kita lengahkan masa untuk berubah, sampai bila bila kita akan terus melakukan perkara negatif dan tidak berani melakukan perkara positif. Jadi bila masa kita hendak berubah?

Perubahan wawasan dan pendekatan pelaksaan perlu dilakukan segera. Jika tunggu hingga tahun hadapan, kita mungkin tidak bergerak ke mana mana. Tetapi jangan bersedih jika tidak tercapai azam yang baik itu. Sentiasalah berusaha, berdoa, dan bertawakal kepadaNya. Orang kata niat yang baik pun dapat pahala, jadi jangan berhenti untuk berazam melakukan perkara positif. Insya Allah ada ganjaran dan keuntungan di kemudian hari. Yang penting niat kerana Allah. Sebab Allah itu Maha Berkuasa yang mampu menunaikan segala azam kita itu.


Kalau kita masih mempunyai keinginan berazam, kita sebenarnya masih mempunyai nilai positif. Jangan takut untuk berazam walaupun kita tahu kesudahannya adalah negatif. Tetapi jangan hanya tahu berazam sahaja, tanpa usaha. Jika kita tiada usaha untuk melaksanakan azam yang dibuat, ianya umpama angan - angan mat jenin. Hanya berangan angan sahaja, tetapi usahanya adalah kosong. Teruskan berjuang untuk melaksanakan azam anda. Anda mampu mengubahnya. Azam perlulah realistik dan yang mampu kita capai. Selamat Berazam Wahai Rakan Rakan.



Selamat Datang 2014



As Salam

Hari ini 1 Januari 2014 merupakan hari pertama dalam kalendar 2014. Sudah genap setahun yutaka bernikah dengan isteri tercinta. Banyak kenangan sepanjang bergelar encik suami ini. Yutaka pun sudah setahun tinggal dan bekerja di perantauan. Perantauan jauh daripada pandangan ibu kandung yutaka. Hanya tinggal ibu sahaja harta paling bernilai di dalam hidup yutaka. Ayah sudah tiada lagi. Sedih apabila kehilangan seorang ayah. Sob Sob Sob.

Tetapi hidup di perantauan ini bukan masalah kepada yutaka kerana sebelum ini yutaka pernah belajar jauh. Cuma yutaka mengimpikan untuk duduk berdekatan dengan ibu yutaka sahaja. Sebab tanggungjawab sebagai seorang anak lelaki kepada ibu bapanya adalah sampai bila-bila. Tiada nokhtah di dalam menjaga ibu bapanya. Sebab itu yutaka berharap tahun 2014, yutaka dan isteri dapat jawatan baru di mana yutaka boleh berpindah berdekatan dengan rumah ibu kandung yutaka. Moga Allah memperkenankan permintaan yutaka ini. Amin3x.


Yutaka banyak sebenarnya hendak lakukan sepanjang tahun 2014. Ianya lebih kepada menulis dan melukis. Walaupun bakat itu hanya sekecil zarah, namun yutaka berharap dengan bakat sekecil zarah itu dapat membuahkan kejayaan dan hasil. Selain itu yutaka ingin lagi mendekatkan diri kepada Allah. Sebab sekarang ini yutaka semakin sibuk dengan urusan duniawi. Urusan ukhrawi ini ada tetapi sedikit sahaja. Rasanya tidak berpatutan dan selari dengan rezeki yang Allah berikan.

Yutaka berharap tahun 2014 adalah tahun gemilang yutaka. Mungkin kedengaran seperti angan angan mat jenin. Tetapi insya Allah, dengan sokongan daripada ibu, famili yutaka harap dapat menghasilkan sesuatu di dunia 2014. Seperti kata adik yutaka, yutaka seperti perancang yang banyak idea. Idea itu boleh digunakan untuk mendatangkan keuntungan wang. Yutaka akan lebih fokus di tahun 2014. Kalau tercapai, esok lusa boleh nyanyi lagu awi rafael - KALAU AKU KAYA versi yutaka sendiri.