Monday, March 31, 2014

Degil Itu Bukan Tegas



As Salam

Hari ini yutaka ingin membawakan mengenai dua sikap yang seakan sama tetapi sedikit berbeza. Degil atau Tegas. Degil bermaksud tidak mau menuruti nasihat orang, keras kepala, kepala batu. Tegas pula bermaksud kemampuan mengekspresikan diri dengan mantap dan pastinya positif. Bermakna tegas mengatakan ke seseorang dengan jelas dan langsung tentang maksud, pendapat, dan perasaanmu tanpa menyinggung perasaan orang itu.

Degil itu sangat angkuh dan sombong. Terasa dirinya sahaja yang betul tanpa memikirkan perasaan orang lain. Matlamat utamanya adalah kepuasan hatinya. Kalau tidak mampu memiliki sesuatu yang dihajati, orang yang degil ini akan memberontak dan membentak sehinggalah apa yang dihajati dimilikki. Degil ini adalah suatu sikap yang membinasakan diri. Ini kerana sikap degil ini amatlah tidak disenangi oleh orang di sekeliling.

Tegas itu tidak angkuh kerana seseorang yang tegas itu boleh bertolak ansur dengan pendapat orang ramai. Namun apabila sesuatu keputusan yang dibuat, keputusan itu akan dipegang selama yang mungkin bersandarkan kepada bukti, dan info yang relevan. Sesungguhnya sikap tegas ini perlu ada di dalam setiap orang lelaki. Kerana lelaki adalah ketua keluarga yang akan membimbing anak isterinya ke syurga. Tegas tidak tergugat dengan pujuk rayu dan air mata anak isterinya. Tegas yang dimaksudkan adalah berkait rapat dengan keselamatan, kehormatan dan akidah keluarganya.


Degil ini biasanya terpupuk semasa zaman kanak kanak. Kebiasaannya kedegilan ini terbentuk hasil daripada kemanjaan yang berlebihan diterima. Ibu bapa yang "dayus" adalah ibu bapa yang memberikan kasih sayang yang membuta tuli. Apa yang dimahukan anaknya dituruti. Apabila semenjak kecil dituruti, sikap degil anak mula terpupuk sedikit demi sedikit dan menjadi darah dagingnya sehingga dewasa. Jadi ibu bapa perlulah sekali sekala menghampakan permintaan anaknya bagi memberikan pengajaran bahawa tidak semua yang kita ingini akan tercapai.

Ibu bapa yang bagus adalah datuk moyang kita. Kita pastinya ada mendengar datuk nenek moyang kita sangat tegas orangnya. Ibu bapa kita sampai kecut perut apabila datuk nenek menjegilkan matanya tanda tidak berkenan dengan sesuatu perkara. Ketegasan inilah yang perlu dipupuk oleh ibu bapa zaman sekarang kepada anak anaknya. Tegas di dalam memelihara maruah diri, keluarga dan akidah. Tegas yang bertempat itulah yang akan menjadikan anak anak menjadi orang bukan "memerang". 

Sesungguhnya hati kita memang degil sejak mula mula dimasukkan di dalam badan kita oleh Allah di mana hati sukar menerima keesaan Allah. Janganlah kita menambahkan tahap kedegilan tersebut. Hati yang degil itu adalah satu virus yang merosakkan diri. Jika seseorang itu degil, kehidupan kita pastinya tidak harmoni. Orang disekeliling akan tersakiti dek kerana sikap degilnya itu.




No comments: