Monday, March 31, 2014

Degil Itu Bukan Tegas



As Salam

Hari ini yutaka ingin membawakan mengenai dua sikap yang seakan sama tetapi sedikit berbeza. Degil atau Tegas. Degil bermaksud tidak mau menuruti nasihat orang, keras kepala, kepala batu. Tegas pula bermaksud kemampuan mengekspresikan diri dengan mantap dan pastinya positif. Bermakna tegas mengatakan ke seseorang dengan jelas dan langsung tentang maksud, pendapat, dan perasaanmu tanpa menyinggung perasaan orang itu.

Degil itu sangat angkuh dan sombong. Terasa dirinya sahaja yang betul tanpa memikirkan perasaan orang lain. Matlamat utamanya adalah kepuasan hatinya. Kalau tidak mampu memiliki sesuatu yang dihajati, orang yang degil ini akan memberontak dan membentak sehinggalah apa yang dihajati dimilikki. Degil ini adalah suatu sikap yang membinasakan diri. Ini kerana sikap degil ini amatlah tidak disenangi oleh orang di sekeliling.

Tegas itu tidak angkuh kerana seseorang yang tegas itu boleh bertolak ansur dengan pendapat orang ramai. Namun apabila sesuatu keputusan yang dibuat, keputusan itu akan dipegang selama yang mungkin bersandarkan kepada bukti, dan info yang relevan. Sesungguhnya sikap tegas ini perlu ada di dalam setiap orang lelaki. Kerana lelaki adalah ketua keluarga yang akan membimbing anak isterinya ke syurga. Tegas tidak tergugat dengan pujuk rayu dan air mata anak isterinya. Tegas yang dimaksudkan adalah berkait rapat dengan keselamatan, kehormatan dan akidah keluarganya.


Degil ini biasanya terpupuk semasa zaman kanak kanak. Kebiasaannya kedegilan ini terbentuk hasil daripada kemanjaan yang berlebihan diterima. Ibu bapa yang "dayus" adalah ibu bapa yang memberikan kasih sayang yang membuta tuli. Apa yang dimahukan anaknya dituruti. Apabila semenjak kecil dituruti, sikap degil anak mula terpupuk sedikit demi sedikit dan menjadi darah dagingnya sehingga dewasa. Jadi ibu bapa perlulah sekali sekala menghampakan permintaan anaknya bagi memberikan pengajaran bahawa tidak semua yang kita ingini akan tercapai.

Ibu bapa yang bagus adalah datuk moyang kita. Kita pastinya ada mendengar datuk nenek moyang kita sangat tegas orangnya. Ibu bapa kita sampai kecut perut apabila datuk nenek menjegilkan matanya tanda tidak berkenan dengan sesuatu perkara. Ketegasan inilah yang perlu dipupuk oleh ibu bapa zaman sekarang kepada anak anaknya. Tegas di dalam memelihara maruah diri, keluarga dan akidah. Tegas yang bertempat itulah yang akan menjadikan anak anak menjadi orang bukan "memerang". 

Sesungguhnya hati kita memang degil sejak mula mula dimasukkan di dalam badan kita oleh Allah di mana hati sukar menerima keesaan Allah. Janganlah kita menambahkan tahap kedegilan tersebut. Hati yang degil itu adalah satu virus yang merosakkan diri. Jika seseorang itu degil, kehidupan kita pastinya tidak harmoni. Orang disekeliling akan tersakiti dek kerana sikap degilnya itu.




Tuesday, March 11, 2014

Sabar Itu Pahit Ditelan


As Salam

Sebelum memulakan bicara, yutaka ingin melahirkan rasa sedih di atas kehilangan penumpang dan krew kapal terbang MH370 yang sehingga kini masih hilang tanpa sebarang bukti dan kesan. Pagi tadi yutaka ada menonton Malaysia Hari Ini di TV3 di mana ada menyelitkan perbualan dengan ibu bapa penumpang MH370 yang mana mereka masih menunggu berita kehilangan anak dan menantunya. Memang sebak seketika waktu itu. Air mata ini bergenangan di sebalik cermin mata yutaka. Yutaka memang seorang yang halus jiwanya. Jika melihat kesusahan orang lain, yutaka pasti tersentuh. 


Untuk meredakan kesedihan ahli keluarga yang terlibat, pihak kerajaan telah menghantar kaunselor untuk membantu jiwa jiwa yang sedang sedih dan risau akan kehilangan penumpang dan krew MS370. Bercerita mengenai kesedihan itu, yutaka pasti perkataan SABAR itu sungguh menyakitkan. Orang yang sedang sedih sebenarnya tahu akan keperluan sabar di dalam menempuhi dugaan, namun pastinya perkataan SABAR tidak begitu sedap di dengar bagi mereka yang sedang berduka.

Bercerita mengenai sabar di dalam menempuhi dugaan, yutaka pernah merasai akan kehilangan bapa tersayang. Memang agak perit apabila ketua keluarga sudah pergi meninggalkan anak dan isteri, Perkataan sabar itu memang sangat menyakitkan. Orang selalu kata "banyakkan bersabar" Bila mendengar perkataan sabar, jiwa ini sakit dan mata terus mengalirkan air mata. Begitu sakitnya ucapan sabar itu. Yutaka tahu dan mengerti akan keperluan SABAR di dalam menempuhi dugaan Allah.


Orang yang sedang sedih ditimpa musibah terutama apabila kehilangan orang tersayang memerlukan seseorang yang pernah mengalami situasi kehilangan tersebut. Ini kerana hanya mereka yang pernah merasai kesedihan yang sama sahaja tahu bagaimana terlukanya dan sedihnya apabila menghadapi dugaan Allah. Bukan perkataan SABAR itu yang dimahukan, tetapi lebih kepada berkongsi pengalaman bagaimana menghadapi situasi berkenaan.

Memang senang melafazkan perkataan SABAR SABAR SABAR, tetapi pada hakikatnya perkataan SABAR itu umpama pisau yang menusuk kalbu. Lagi pedih daripada terluka pada zahir. Bagi yang sedang bersedih ditimpa dugaan, berdoalah kepada Allah supaya menyabarkan hati. Bagi yang menonton dan memerhati kesedihan orang lain, ungkaplah perkataan selain daripada SABAR kerana sesungguhnya perkataan itu sungguh menyakitkan.


Thursday, March 6, 2014

Susah Hendak Berubah



As Salam

Hari ini yutaka ingin bercerita mengenai perubahan. Perubahan daripada jahil kepada yang lebih baik. Banyak kekangan yang perlu dilalui seperti kecaman, sindiran, dan kejian daripada manusia lain. Ada yang tidak senang duduk apabila kita hendak berubah. Semua ini berbalik kepada sikap malu. Malu hendak berubah, malu kalau orang tidak boleh menerima perubahan kita, malu hendak berdakwah dan sebagainya.

Antara contoh terbaik yang yutaka boleh bawakan ialah penyanyi Miss Nina, isteri kepada Noh Hujan. Miss Nina berubah 100 % setelah dia dan suami mengerjakan Haji. Daripada fesyen sehinggalah ke arah berhenti menyanyi. Begitu drastiknya perubahan yang dilaksanakan oleh Miss Nina. Beruntung Noh Hujan kerana ternyata Miss Nina sayangkan dia melalui perubahan yang dilakukan. Sesungguhnya suami bertanggungjawab terhadap aurat dan roh islam isterinya.

Bercakap mengenai perubahan ini, yutaka merasakan bahawa sukarnya manusia untuk berubah sebab takut tersilap langkah. Sebagai contoh : jika kita ada melakukan satu kesilapan, orang akan mencemuh kita dengan mengata kita berbagai bagai. Seperti 

" ingatkan dia baik sangat, rupanya sama je macam kita yang tidak solat 5 waktu " 

Itu contoh-contoh yang kedengaran apabila orang yang sudah berhijrah tersilap langkah melakukan sedikit kesilapan.

Sesungguhnya untuk berubah ini memerlukan kekuatan emosi dan kekuatan minda. Jika kita sudah berhijrah, maka tinggalkanlah perkara yang kurang bermanfaat seperti melepak di kedai kopi, berborak sia sia, menjaga mata hati dan telinga kita daripada perkara yang sia sia. Perubahan ini mengambil masa yang lama. Orang tidak boleh berubah baik dalam sekelip mata. Sebab manusia punya naluri dan keinginan sama seperti manusia lain. Manusia bukan malaikat.

Terkadang juga manusia diuji untuk mengetahui sejauh mana keimanan terhadap Allah. Tetapi ujian Allah adalah mengikut kemampuan seseorang hambaNya. Jadi apabila diuji dengan melakukan kesilapan, maka bertaubatlah. Mohonlah keampunan kepada manusia (jika berkaitan) dan keampunan kepada Allah. Langkah terbaik adalah mengurangkan dan kalau boleh buanglah perkara perkara yang sia sia yang sudah menjadi habit kita. Insya Allah, Allah bersama sama dengan orang yang beriman.




Wednesday, March 5, 2014

Seruan Haji Bahagian Tujuh




As Salam

Menemui kembali di dalam ruangan Haji. Hari ini yutaka ingin membawakan kisah persediaan paling penting sebelum berangkat menunaikan Fardu Haji. Persediaan material akan yutaka bawakan untuk post akan datang. Insya Allah. Persediaan yang yutaka maksudkan adalah mengkhabarkan pemergian kita untuk menunaikan fardu Haji. Pentingkah menghebahkan pemergian kita itu? Jawapannya adalah penting.

Bukan tujuan untuk meninggi diri, tetapi lebih kepada memberikan pengajaran dan kesedaran kepada rakan-rakan lain untuk berazam mengikuti jejak langkah kita nanti. Di sebalik mengkhabarkan pemergian itu, kita bolehlah memohon kemaafan kepada rakan rakan dan sanak saudara. Minta juga mereka mendoakan kesejahteraan kita di sana dan selamat kembali semula ke Malaysia.



Di sebalik memberi pengajaran, kita boleh membantu rakan rakan kita di dalam membacakan doa di depan Kaabah. Mungkin ada yang ingin kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, mungkin ada yang ingin menimang zuriat, mungkin mahukan anaknya berjaya di dalam peperiksaan. Tidak mengapa, kita tolonglah mereka dengan cara berdoa di depan Kaabah atau di tempat tempat yang mustajab untuk berdoa. (pastinya bakal jemaah sudah tahu tempat mana yang mustajab untuk berdoa di Mekkah)

Jika dahulu, jemaah haji siap membuat kenduri kendara bagi memberikan sedekah makanan kepada rakan rakan dan sanak saudara. Ini kerana bagi mereka, menunaikan Haji ini umpama berjihad di jalan Allah. Alangkah beruntungnya jika mereka dijemput di Tanah Suci. Untuk makluman, dahulunya untuk menunaikan Haji mengambil masa setahun (termasuk waktu perjalanan, dan waktu Haji). Perjalanan ke Mekkah menggunakan kapal di mana para jemaah haji dahulunya akan membawa bekalan makanan untuk dibawa ke sana. Ada kisah, jemaah Haji meninggal dunia ketika di dalam perjalanan pergi.



Walaupun sekarang tidak sesukar dahulu. Jemaah Haji akan menggunakan perkhidmatan kapal terbang yang mengambil masa 8 jam perjalanan pergi. Tetapi sebenarnya soal sekejap atau lambat itu bukan ukuran. Jika ada peluang, pergilah berjumpa dengan rakan rakan dan sanak saudara untuk memohon kemaafan. Untuk menunaikan Haji, hati perlu bersih. Hilangkan sifat dan sikap berdendam. Maafkanlah mereka yang pernah menyakiti hati kita dahulu. Jika hati sudah tenang, Insya Allah tenanglah kita di Mekkah nanti.

Jangan risau akan kerapuhan nyawa kita di sana. Berdoalah untuk kesejahteraan kita di sana di samping dapat kembali semula ke tanah air. Kalau bernasib baik, mungkin kita diizinkan untuk meninggal dunia di sana. Alangkah seronoknya bagi mereka yang dijemput ketika menunaikan Haji. Tiada apa yang istimewa di dunia pinjaman ini, alam akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi.








Tuesday, March 4, 2014

Sebelum Dan Selepas



As Salam

Sebelum dan selepas adalah tajuk perbincangan yang yutaka cuba rungkaikan mengenai hal berumahtangga. 

SEBELUM dan SELEPAS

a) dahulunya tidak ada yang memarahi kita seandainya kita ada membuat kesilapan tetapi selepas berumahtangga kita kena bersyukur kerana ada insan tersayang yang sering menegur setiap kesilapan yang kita lakukan secara sedar atau tidak.

b) dahulunya kita suka keluar tanpa melihat jam di jari bersama-sama rakan tetapi selepas berumahtangga kita akan kembali ke rumah sebelum malam menjelma. Ini kerana waktu malam adalah waktu emas yang tidak perlu disia-siakan untuk mencurahkan kasih sayang kepada pasangan dan anak-anak.

c) dahulunya kita seorang yang suka merentan atau mengamuk tak tentu pasal, tetapi selepas berumahtangga emosi merentan kita akan berkurangan kerana jiwa kita telah dijagai oleh pasangan. Ada tempat meluahkan perasaan dan ada orang yang bisa meredakan amarah di hati.

d) dahulunya kita tidak ada matlamat hidup tetapi setelah berumahtangga kita akan lebih bermatlamat. Mencari duit dan mengumpul duit untuk kesejahteraan hidup berumahtangga. Mana yang ada anak mula rajin bekerja untuk mencari sesuap rezeki untuk diberikan. Ketika itu, insya Allah pintu rezeki terbuka untuk kesejahteraan hidup berumahtangga.


e) dahulunya kita selalu suka bergaya mengikut trend. Trend korea, trend jepun semua dicubanya. Setelah berumahtangga, kita bergaya secara sederhana. Tidak perlulah bergaya sangat selepas berkahwin kerana takut nanti ada hati lain yang terpaut. Nanti kena kejar sampai ke rumah, memang berperanglah dengan pasangan. 

f) dahulunya duit kita banyak dibazirkan untuk sesuatu yang tidak bermanfaat. Setelah berkahwin kita mula berjimat jimat untuk keluarga terutama sekali untuk anak anak yang sedang membesar. Kadangkala ibu atau bapa tidak bertukar pakaian baru semata mata untuk membeli keperluan anak anaknya yang sedang membesar. Beralah untuk yang tersayang.

Apa pun perubahan setelah berkahwin itu lebih baik. Perkahwinan menjadikan kita lebih matang di dalam menjalani kehidupan seharian. Tanggungjawab semakin banyak selari dengan usia yang semakin senja. Tetapi jangan risau untuk berkahwin kerana setiap apa yang kita lakukan bersama pasangan yang sah, insya Allah akan diberikan ganjaran daripada Allah.


credit gambar fb : Rumahtangga Harmoni Keluarga Bahagia


Haa .. Kan Dah Kantoi ..


As Salam

Beberapa hari yang lepas, yutaka ada membaca satu kenyataan yang ditampal berdekatan dengan mesin pencetak perakam waktu di sebuah kedai. Kenyataan itu adalah seperti berikut :

" Allah Maha Melihat Akan Apa-Apa Yang Kamu Kerjakan "


Bercerita mengenai kantoi ini, yutaka


Tersenyum yutaka membaca kenyataan tersebut. Tetapi kali ini yutaka tidak mahu membawakan kisah mesin perakam waktu, tetapi lebih kepada makna dan mesej yang ingin disampaikan. Begitu mendalam sekali maksud IHSAN itu. Ingat lagikah kalian tentang maksud IHSAN? IHSAN adalah melakukan ibadat dengan khusyuk, ikhlas dan yakin bahawa Allah sentiasa mengawasi apa yang kita lakukan..

Sebenarnya bila kita yakin tentang kekuasaan Allah Maha Melihat ini, kita takut untuk melakukan dosa kecil dan dosa besar. Ini kerana segala perlakuan kita akan dicatat satu persatu oleh Malaikat Mungkar dan Malaikat Nakir. Bukankah kita patut menyakini dosa pahala kita akan dicatat dan akan diberi balasan dan ganjaran nya. Begitulah beratnya tugas kita sebagai seorang khalifah di bumi Allah ini.

 Tetapi jika ditanya adakah manusia akan terlepas daripada melakukan sebarang dosa. Jawapan nya TIDAK. Kerana manusia adalah makhluk Allah yang lemah dan tidak berdaya. Bagaimana kalau kita tersilap langkah? Adakah kita akan ditimpa balasan yang dahsyat? Jika kita sedar akan kesilapan itu, kita hendaklah segera bertaubat. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Mengasihani. Bersangka baiklah kepada Allah.



Apabila menonton drama TANAH KUBUR di astro, yutaka sangat insaf kerana setiap manusia itu tidaklah segagah mana. Manusia sangat rapuh. Alangkah sakit gigi pun tidak mampu ditahan inikan pula azab azab di alam akhirat nanti. Peninju terkenal Mohamad Ali selalu membawa pemetik api ke mana sahaja dia berada. Beliau akan cepat insaf apabila setiap kali dia hendak membuat sesuatu yang salah, dia akan memetik api ke tangannya. Api yang kecil pun tidak mampu ditahan, inikan pula azab api neraka.

Namun begitu, sekarang ini dunia semakin penuh dengan tipu daya dan fitnah. Di mana sesuatu kebatilan selalu menjadi bukti untuk menjatuhkan kebaikan. Berdoalah kepadaNya agar kita tidak termasuk di dalam golongan pendusta dan pemfitnah tegar dan jauh daripada fitnah manusia. Jika di dunia kita terlepas daripada hukuman, tunggulah nanti di akhirat sana kerana setiap satu perbuatan kita akan dihisab oleh malaikat tanpa tertinggal satu perbuatan sekalipun.