Tuesday, November 10, 2015

Hat Trick Fail Bahagian Akhir


As salam

Hat trick Fail Bahagian Akhir. Nama pun hat trick, jadi ada tiga sahajalah post mengenai kegagalan ini. Post sebelum ini ada menyebut mengenai kegagalan yutaka di dalam temuduga, kali ini kegagalan kali ketiga. Jom kita ikuti kisah kegagalan kali ketiga.


PEGAWAI TADBIR NEGERI

Setelah gagal di dalam temuduga Penolong Pegawai Tadbir, yutaka merasakan ada rezeki untuk yutaka untuk menjawat jawatan Pegawai Tadbir Negeri. Jadi seperti biasa, yutaka memohon dengan harapan setinggi gunung. Harap-harap dapatlah mengena kali ini.

Perjalanan permohonan ini bermula dengan ujian online mengenai segala hal ehwal negeri. Dari adat, sejarah dan budaya semuanya ditanya. Itu soalan pengetahuan am. Berasap kepala yutaka. Jika di sekolah yutaka belajar mengenai Malaysia, namun soalan kali ini lebih spesifik ke arah negeri. 40 minit, selesai menjawab. Selepas itu kertas soalan ilmu kira-kira. Alhamdulillah soalannya senang bagi yutaka. Sehingga kan ada masa berbaki setelah selesai menjawabnya.  Terakhir sekali kertas soalan sahsiah. Itu pejam mata yutaka menjawabnya sebab jawapannya YA atau TIDAK.


Sebulan yutaka menunggu keputusan peperiksaan online. Mengikut apa yang yutaka jawab peperiksaan online, yutaka sangat yakin dengan ujian matematik dan ujian sahsiah. Ujian pengetahuan am tu memang tidak berapa yakin. Akhirnya keputusan pun keluar .. Alhamdulillah, yutaka lulus peperiksaan online. Peringkat seterusnya adalah ujian kecergasan.

Ujian kecergasan meliputi 4 ujian. Ujian BMI, ujian bip test, ujian futsal, dan ujian badminton. BMI ok. Ujian bip test ni ada pancit sedikit. Banyak lemak terkumpul menyebabkan keputusan ujian berkenaan kurang memberangsangkan. Rehat 5 minit, bersambung ujian futsal. Berehat lagi 5 minit, ujian badminton. Selepas ujian itu, balik rumah tidur berdengkur kepenatan. Krooo ... krooo .. krooo.

Daripada 500 orang, 200 dipanggil untuk ke peringkat temuduga. Yutaka berharap yutaka dapat melepasi ujian kecergasan berkenaan. Yutaka pun pergi bertanya kepada pusat temuduga. Jawapannya adalah ... yutaka GAGAL. Terus berkecai impian umpama sebuah gelas jatuh ke lantai. Sedihnya teramat sangat. Apakah hikmah yang bakal yutaka terima? 


Hikmah Di sebalik Kegagalan

Hikmahnya adalah .. hurm.. yutaka tidak diberikan ilham lagi. huhu. Sebenarnya yutaka mempunyai hasrat untuk membantu orang sekiranya yutaka berjaya menjadi Pegawai Tadbir Negeri. Namun begitu, nampak gayanya yutaka bukanlah orang yang layak untuk membantu orang lain. Mungkin tugas itu diberikan kepada orang yang lebih layak dan berkemampuan. 

Redha. Itulah yang mampu yutaka lakukan. Yutaka sudah cuba yang termampu, namun masih belum ada magnet untuk mendapatkannya. Sebenarnya yutaka sedih kerana belum lagi menunaikan impian ibu dan arwah ayah yutaka. Mereka mahukan yutaka menjadi seorang pegawai. 

Maafkan yutaka, mak abah. Yutaka sudah lakukan sehabis baik ...





Sunday, November 8, 2015

Hat Trick Fail Bahagian Dua


As Salam

Berjumpa lagi kita di laman blog ini. Itulah memandai letak bahagian satu dalam post Hat Trick Fail, jadi hendak tak nak kena la ada sambungannya. Hat Trick Bahagian Dua adalah sambungan daripada episod kegagalan temuduga. Kali ini yutaka gagal di dalam temuduga Penolong Pegawai Tadbir.


PENOLONG PEGAWAI TADBIR

Oleh kerana kesedaran akan mencabarnya untuk memohon jawatan pegawai, yutaka mengambil peperiksaan kenaikan pangkat secara lantikan untuk jawatan Penolong Pegawai Tadbir. Jika yutaka lulus peperiksaan ini, yutaka boleh gunakan untuk memohon jawatan Penolong Pegawai Tadbir. Alhamdulillah lulus juga peperiksaan ini walaupun mengambilnya 3 tahun berturut-turut.

Kebetulan keluar iklan jawatan tersebut, jadi yutaka gunakan keputusan peperiksaan itu bagi memohon jawatan berkenaan. Alhamdulillah dipanggil temuduga. Secara kebetulan, kali ini pihak melantik jawatan meletakkan syarat lulus peperiksaan berkenaan untuk dipanggil temuduga. Yutaka merupakan salah seorang calon yang berjaya.

Syukur juga kerana mendapat tarikh temuduga terawal. Fobia dapat tarikh akhir-akhir. Yutaka ditanya mengenai hal agama Islam. Melihatkan sijil sekolah agama yang begitu memberansangkan, maka soalan yang keluar adalah sangat mencabar. Yutaka jawablah yang termampu. Nampak gayanya memang kesemua soalan dapat dijawab dengan jayanya. Dalam hati, ada harapan ni.

Yutaka tunggulah keputusan diumumkan. Berdebar juga. Tanya pihak yang melantik, dan jawapannya adalah 

"Nama awak tiada dalam senarai yang berjaya. Sila cuba lagi"

Yutaka mengangguk lemah. Berkecai harapan yang dibina. Setelah diselidiki, pihak yang melantik mengutamakan pekerja yang sudah lama berkhidmat. Sedangkan yutaka boleh dikirakan separuh baru separuh lama. Ok gagal lagi. Sedihnya.


Hikmah Disebalik Kegagalan

Setakat ini yutaka belum terfikir lagi apakah hikmahnya yutaka gagal. Mungkin Allah mahu berikan rezeki yang lebih baik. Mungkin jadi pegawai. Siapa tahu? Yutaka redha akan ujian ini. Gagal Kali Kedua. 

Saturday, November 7, 2015

Hat Trick Fail Bahagian Satu



As Salam

Hari ini yutaka ingin menceritakan mengenai hat rick fail. Jika di dalam bahasa bola sepak, hat trick membawa maksud 3 gol. Hatrik fail pula membawa maksud 3 kali kegagalan berturutan. Jom ikut yutaka menyusuri hat trick fail ni.

Di dalam dua tahun kebelakangan ini, yutaka ada menghadiri tiga temuduga untuk kenaikan pangkat di dalam sektor awam. Jawatan tersebut adalah PEGAWAI PENERANGAN, PENOLONG PEGAWAI TADBIR, PEGAWAI TADBIR NEGERI JOHOR.


PEGAWAI PENERANGAN

Mulanya yutaka ada mengambil peperiksaan. Syukur keputusannya berjaya. Peringkat seterusnya adalah Assesment di Politeknik Port Dickson. Alhamdulillah yutaka berjaya melepasinya. Peringkat terakhir adalah temuduga. Peringkat ini sangat mengujakan kerana sebelah kaki yutaka sudah dapat jawatan tersebut. Temuduga yutaka adalah hari ketiga terakhir daripada jadual temuduga. Bermaksud temuduga dijalankan selama sebulan di seluruh Malaysia, Jadi tiga hari sebelum tu adalah hari temuduga untuk yutaka.

Yutaka sampai awal iaitu sebelum pukul 8:00 pagi. Urusetia kelihatan sangat tergesa-gesa menyiapkan dokumen calon temuduga. Katanya penemuduga hendak balik tengah hari. Jadi mahu temuduga bermula awal sedikit. Perasaan sudah lain macam. Yutaka berfikir, kalau hendak balik cepat, bermakna temuduga akan dijalankan sambil lewa dan cepat. 

Tekaan yutaka memang tepat, yutaka ditemuduga sangat cepat. Dalam 10 minit temuduga yutaka telah selesai. Soalan yang ditanya tidak sampai 10 soalan. Mungkin dalam 5 6 soalan begitu. Ok tekaan seterusnya adalah di dalam tempoh 27 hari temuduga, pastinya penemuduga sudah menjumpai calon yang mereka berkenan. Jadi hari-hari terakhir ini adalah hari santai-santai. Pertanyaan pun ala kadar, dan masa yang diambil tidak lama.

Ok tekaan itu sangat tepat, yutaka tidak berjaya melepasi temuduga ini. Sedih dan terkilan


Hikmah Di sebalik Kegagalan

Jika diikutkan memang sangat sedih sebab gagal di dalam temuduga berkenaan. Jadi yutaka cuba mencari hikmah mengikut pandangan yutaka. Pada pandangan yutaka, Allah mahukan yutaka sentiasa bersama dengan keluarga yutaka. Ini kerana penempatan PEGAWAI PENERANGAN adalah di Kuala Lumpur.

Ketika itu, orang rumah sedang sarat mengandung. Jika yutaka mendapat jawatan berkenaan, alamatnya memang agak sukar orang rumah hendak mengharungi pantang sendirian. Proses pertukaran tempat kerja orang rumah pun rumit. Jadi, mungkin Allah hendak mempermudahkan yutaka. Yutaka lebih memerlukan kegembiraan berkeluarga berbanding dengan jawatan PEGAWAI PENERANGAN berkenaan.