Tuesday, May 27, 2014

Bila Ibu Berdoa




As Salam

Minggu ini merupakan minggu agak sibuk di dalam kalendar hidup yutaka. Ini kerana minggu ini yutaka kena berkemas kemas untuk bertukar rumah dan pejabat bersama isteri tercinta. Permohonan bertukar ini dibuat atas sebab yutaka ingin menjaga ibu tercinta. Nasib baik puan isteri memahami dan menyokong hasrat suaminya ini. LOVE U darling ...

Yutaka dan isteri memang tinggal berjauhan dengan ibu dan ibu mertua. Sebagai seorang anak lelaki, yutaka memang ingin menjaga ibu kandung yutaka. Ini kerana tanggungjawab sebagai seorang anak lelaki ke atas ibu kandungnya adalah sehingga akhir hayat. Kedudukan ibu kandung terletak di tangga yang paling atas melebihi kedudukan puan isteri.



Jika diikutkan logik akal, agak sukar untuk yutaka dan isteri bertukar. Ini kerana isteri boleh bertukar jika ada pengambilan pekerja baru. Di situ baru boleh diadakan pertukaran besar besaran. Yutaka pun sama, boleh bertukar tetapi dengan pengganti serentak. Siapa mahu bertukar ke daerah lain? Terdapat satu lagi pilihan iaitu yutaka kena menunggu pengambilan pekerja baru. Payah bukan?

Walaupun pada awalnya jalan pertukaran itu nampak buntu dan tersekat, namun yutaka sentiasa berdoa siang dan malam supaya Allah permudahkan urusan pertukaran yutaka dan isteri. Di samping berdoa, yutaka tidak lupa untuk bertawakal. Percaya kepada Allah di mana Allah akan mempermudahkan urusan pertukaran ini. Ibu yutaka pun turut berdoa kepada Allah.

Syukur kepadaNya kerana permohonan pertukaran yutaka dan isteri berjaya. Mungkin ini adalah berkat doa ibu yutaka yang sentiasa berdoa siang malam. Seperti kata orang tua tua, keberkatan hidup anak terletak kepada doa ibunya. Dan mungkin Allah perkenankan hasrat yutaka untuk menjaga ibu setelah yutaka kehilangan ayah pada tiga tahun lepas.



Tetapi semuanya kerja Allah. Yutaka mampu berusaha, berdoa dan bertawakal. Sebagai anak lelaki, yutaka ingin menjaga ibu yutaka semampu yang boleh kerana yutaka pernah berkata kepada arwah ayah semasa mengiringi arwah ayah ke tanah perkuburan

 "Abah, angah akan cuba jaga mak baik baik"

Kehilangan ayah memang amat memeritkan. Jadi sementara ada hayat dikandung badan, yutaka ingin berbakti kepada ibu yutaka. Syurga anak itu adalah pada ibunya. Renung renungkan dan selamat beramal.



Tuesday, May 20, 2014

Oh Isteri I Love You




As Salam

Hari ini merupakan satu pengakuan ikhlas yutaka sebagai seorang lelaki yang sudah bersuami. Sepanjang usia perkahwinan yutaka yang masih hijau ini, yutaka sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang memahami, cantik dan tidak banyak karenah. Apabila suami memuji isterinya di hadapan, adakalanya si isteri tergelak tergolek golek kerana gembira. Nanti timbul dialog "yelah tu .. mesti ada apa apa ni". Hehe.

Rumahtangga yang bahagia memerlukan pengorbanan dan toleransi setiap pasangan. Berbekalkan kepada contoh terbaik arwah ayah yutaka sendiri, pendekatan yang dilakukan adalah setiap perkara dilakukan bersama. Untuk itu yutaka cuba praktikkan pendekatan itu yang dirasakan dapat mengharmonikan rumahtangga. Di antara contoh aktiviti bersama adalah

a) Bersolat fardhu secara berjemaah
b) Membaca Al-Quran bersama
c) Pergi membeli belah bersama
d) Memasak dan membasuh bersama


Di antara empat contoh di atas, yutaka paling kurang mahir di dalam memasak. Biasanya jika isteri memasak, yutaka akan membasuh baju, menyidai baju. Yutaka lebih gemar memakan masakan isteri yang sedap sedap. Sebenarnya apa juga masakan isteri, yutaka suka makan. Yutaka tidak memilih dan tidak cerewet. Isteri yutaka selalu memuji yutaka depan ibu kandung dan ibu mertua mengenai sikap yutaka yang tidak memilih di dalam pemakanan. Sesungguhnya air tangan isteri pengikat kasih sayang suaminya.

Berjemaah di dalam menunaikan solat Fardhu akan cuba dilakukan jika ada kesempatan. Selain daripada 27 darjat pahala ia juga dapat mengeratkan lagi kasih sayang suami isteri. Yutaka dapat merasakan solat berjemaah bersama isteri itu sangat indah berbanding dengan solat bersendirian. Setelah bersolat berjemaah, Al-Quran akan dibacakan secara berjemaah juga. Yutaka akan membaca dahulu dan diikuti oleh isteri. Jika ada salah makhraj tajwidnya, kami saling memperbetulkan.



Yutaka suka sekiranya isteri menemani yutaka ke mana sahaja yutaka pergi. Jika waktu bujang, ibu tercinta lah yang menemani. Tetapi setelah berumahtangga, yutaka lebih suka isteri menemani. Ini kerana yutaka mahu melibatkan semua aktiviti yutaka bersama isteri. Mungkin tidak semua suami suka dengan kaedah ini kerana rimas jika selalu berkepit. Kaedah ini dapat mengurangkan kes curang di dalam rumahtangga. Tetapi ini tidak bermakna yutaka tidak pandai berdikari tetapi yutaka lebih suka ditemani oleh isteri ke mana sahaja yutaka pergi.

Tugas seorang suami isteri itu bukanlah mudah dan senang. Ianya akan harmoni sekiranya kesetiaan itu kukuh di hati di samping menjaga kehormatan dan keselamatan diri. Si isteri mestilah menjaga kehormatan dan maruah suaminya dengan berkelakuan baik dan menutup aurat. Si suami mestilah menjaga pandangan mata dan menjaga cinta di hati agar tiada ruang wanita lain dapat bertakhta di hati.

Friday, May 2, 2014

Bujang 1 @ 2 @ 3 @ 4 ?


As Salam

Baru baru ini yutaka ada menghadiri satu majlis persandingan adik ipar yutaka. Ramai yang hadir terasa begitu meriah majlis walimatul urus itu. Di dalam kalangan tetamu yang hadir adalah saudara isteri yang kebetulannya masih bujang lagi. Bila sudah hadir itu, timbullah satu pertanyaan daripada makcik makcik " Kau bila lagi hendak kahwin? ". Jawapan tidak kunjung tiba di bibir si bujang itu. Krik krik krik krik ..



Jodoh itu rahsia Allah yang tidak pernah berjaya dijejaki oleh manusia. Apabila persoalan mengenai jodoh, sudah pastinya manusia tidak boleh menjawabnya. Tarikh sasaran dan anggaran mungkin boleh diletakkan namun yang pastinya saat sah bergelar suami isteri masih belum dipastikan. Siapa kita untuk bertanya mengenai rahsia Allah. Kadangkala pertanyaan jodoh ini menimbulkan sejuta rasa kepada si bujang. Perasaan malu, sedih, marah dan pelbagai rasa lagi bercampur baur apabila mengenangkan diri yang masih lagi membujang.

Apabila aura negatif hasil daripada pemikiran negatif tercetus, pastinya perasaan marah meluap luap dan ini akan menyebabkan insan bujang ini semakin berputus asa mengenai soal jodoh. Mereka sudah berputus harap untuk berusaha, berdoa. Hanya sisa tawakal kepada Allah sahaja yang tinggal. Jika sudah berputus asa ini di dalam hati, bermakna hati sudah tawar untuk meneruskan pencarian jodoh yang terbaik. Ini bermakna semakin ramai yang tidak akan mendapat hikmah perkahwinan itu.



Mulai hari ini, kepada sesiapa yang masih membujang lagi janganlah bersedih lagi. Teruskan hidup secara positif di mana sentiasa berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah. Orang tua tua kata, kita akan dipertemukan dengan orang yang salah berjuta kali dan akhirnya berjumpa dengan orang yang betul dan sesuai sebagai jodoh kita. Jadi mengapa kita berputus harap jika hanya gagal sekali dua di dalam pencarian jodoh? Yutaka ada jawapan kepada persoalan jodoh ini.

Persoalan : Bila hendak berkahwin? Orang lain semua sudah beranak cucu
Jawapan : Insya Allah ada jodohnya di kemudian hari. Tolong doakan saya mendapat jodoh yang terbaik.

Senang bukan jawapannya. Moga doa orang ramai termakbuk satu hari nanti. Namun begitu, janganlah mengharapkan jodoh datang bergolek golek. Teruskan berusaha menjadi insan yang soleh dan solehah. Kerana orang yang baik akan mendapat jodoh yang baik. Insya Allah. Kalau kita yakin kepada Allah, Insya Allah akan dimakbulkan jua oleh Allah. Yang penting kena bersabar di dalam berusaha, berdoa dan bertawakal. 



Jika boleh dielakkan, janganlah mencari jodoh di kalangan mereka yang sudah berkahwin. Jangan merampas hak kebahagiaan orang lain. Sesungguhnya poligami itu menyakitkan. Biarkan si suami orang itu menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna. Tugas seorang suami amat berat di dalam menyediakan kelengkapan duniawi dan ukhrawi.  Tetapi jika sudah ditakdirkan berkahwin dengan suami orang, mungkin ada hikmah di sebalik kisah itu. Tetapi sekiranya boleh, wanita bujang hendaklah mengelakkan bercinta dengan suami orang.

Suami orang mungkin kelihatan agak stabil di dalam kewangannya, tetapi jangan dilupa akan lelaki bujang yang agak sangat komited di dalam menjaga isterinya. Lelaki bujang kurang komitmen berbanding dengan suami orang. Lelaki bujang boleh memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang berbanding dengan lelaki berkahwin. Kalau jadi no 2 @ 3 @ 4, layanan tidak dapat 100 % kerana kasih sayang perlu dibahagi secara adil kepada isteri yang lain. Pilihan anda menentukan masa depan anda.