Thursday, August 28, 2014

Masjid Yang Dikenang-Kenang


As Salam 

Apa khabar semua. Hari jumaat yutaka tidak ke mana-mana, hanya duduk di rumah mengemas dan menguruskan rumah tangga. Suami yang ringan tulang dicintai isterinya. Itulah yang cuba yutaka biasakan di dalam rumahtangga. Kali ini yutaka bukan hendak bercerita mengenai masjid yang dibina. Tetapi memang kali ini yutaka ingin membawakan kisah masjid yang memberi seribu satu kenangan di dalam diri yutaka. Sebab itu label kali ini ditulis LIFE bukan MARRIED. Hehe.

Maaf ya, yutaka tidak sempat untuk melihat apa namanya masjid ini. Sebenarnya masjid ini merupakan masjid yang selalu arwah ayah bawa ketika yutaka di zaman kanak-kanak. Sebab itu masjid ini sangat meninggalkan kenangan yang indah sehingga ke hari ini. Jika dahulunya yutaka pergi berdua, hari ini yutaka pergi sendirian. Apabila melangkah masuk ke masjid ini, tersingkap segala kenangan yutaka bersama arwah ayah. Bersabarlah wahai hati.


Masjid ini masih tidak berubah struktur luaran dan dalamannya. Cuma ada penambahan pembaikan untuk keselesaan jemaahnya untuk menunaikan rukun Islam kedua iaitu menunai solat. Sebab itu apabila yutaka selesai membaca doa iktikaf masjid, yutaka perhatikan landskap dalamannya masih seperti dulu. Teringat zaman kanak kanak ketika bersolat di sini. Arwah ayah selalu membawa yutaka bersolat Maghrib dan Isyak di sini satu ketika dahulu.

Ketika zaman kecil dahulu, memang yutaka suka bermain dengan rakan-rakan. Kadangkala sampai tidak menghormati tempat seperti bermain di dalam masjid ini. Berlari lari, bermain sorok sorok dan membuat bising itulah yang berlaku apabila yutaka berjumpa dengan rakan yutaka. Balik masjid, arwah ayah menegur yutaka mengenai pentingnya kesopanan dan menghormati masjid. Esoknya yutaka cuba memperbaiki diri dan tidak bermain dan membuat bising ketika berada di masjid walaupun ada rakan yang mengajaknya.


Ada lagi satu kisah di mana suatu hari arwah ayah memanggil yutaka ketika ayah sedang berbual dengan rakannya.Ketika itu yutaka sudah tidak membuat bising di masjid.Yutaka pun mendapatkan arwah ayah dalam keadaan terpinga-pinga. 

Arwah ayah : Meh sini belajar cara solat yang betul

Yutaka pun diajar cara bersolat yang betul. Memang di sekolah agama rakyat ustaz ustazah ada mengajar tetapi kali ini yutaka diajar agar lebih tertib dan sempurna pergerakan solat. Yutaka sehingga kini berterima kasih kepada arwah ayah atas jasanya. Arwah ayah juga menitikberatkan mengenai solat Tahajjud. Sehingga kini, yutaka masih belum menjadikan Tahajjud sebagai rutin harian. Namun niat itu ada dan harapan masih dijiwa.


( Di kedudukan lelaki berbaju cokelat bersebelahan lelaki yang berdiri itu lah yutaka diajar cara bersolat dengan betul )

Walaupun arwah ayah sudah meninggalkan yutaka, yutaka tetap mendoakan kesejahteraan arwah setiap kali selesai solat Fardhu lima waktu sehari. Terasa sungguh kehilangan arwah. Arwah ayah ada di dalam hati anak anaknya. Mungkin jika ada kesempatan umur yang panjang, yutaka cadang akan membawa anak dan isteri yutaka ke sini. 


No comments: