Thursday, August 28, 2014

Masjid Yang Dikenang-Kenang


As Salam 

Apa khabar semua. Hari jumaat yutaka tidak ke mana-mana, hanya duduk di rumah mengemas dan menguruskan rumah tangga. Suami yang ringan tulang dicintai isterinya. Itulah yang cuba yutaka biasakan di dalam rumahtangga. Kali ini yutaka bukan hendak bercerita mengenai masjid yang dibina. Tetapi memang kali ini yutaka ingin membawakan kisah masjid yang memberi seribu satu kenangan di dalam diri yutaka. Sebab itu label kali ini ditulis LIFE bukan MARRIED. Hehe.

Maaf ya, yutaka tidak sempat untuk melihat apa namanya masjid ini. Sebenarnya masjid ini merupakan masjid yang selalu arwah ayah bawa ketika yutaka di zaman kanak-kanak. Sebab itu masjid ini sangat meninggalkan kenangan yang indah sehingga ke hari ini. Jika dahulunya yutaka pergi berdua, hari ini yutaka pergi sendirian. Apabila melangkah masuk ke masjid ini, tersingkap segala kenangan yutaka bersama arwah ayah. Bersabarlah wahai hati.


Masjid ini masih tidak berubah struktur luaran dan dalamannya. Cuma ada penambahan pembaikan untuk keselesaan jemaahnya untuk menunaikan rukun Islam kedua iaitu menunai solat. Sebab itu apabila yutaka selesai membaca doa iktikaf masjid, yutaka perhatikan landskap dalamannya masih seperti dulu. Teringat zaman kanak kanak ketika bersolat di sini. Arwah ayah selalu membawa yutaka bersolat Maghrib dan Isyak di sini satu ketika dahulu.

Ketika zaman kecil dahulu, memang yutaka suka bermain dengan rakan-rakan. Kadangkala sampai tidak menghormati tempat seperti bermain di dalam masjid ini. Berlari lari, bermain sorok sorok dan membuat bising itulah yang berlaku apabila yutaka berjumpa dengan rakan yutaka. Balik masjid, arwah ayah menegur yutaka mengenai pentingnya kesopanan dan menghormati masjid. Esoknya yutaka cuba memperbaiki diri dan tidak bermain dan membuat bising ketika berada di masjid walaupun ada rakan yang mengajaknya.


Ada lagi satu kisah di mana suatu hari arwah ayah memanggil yutaka ketika ayah sedang berbual dengan rakannya.Ketika itu yutaka sudah tidak membuat bising di masjid.Yutaka pun mendapatkan arwah ayah dalam keadaan terpinga-pinga. 

Arwah ayah : Meh sini belajar cara solat yang betul

Yutaka pun diajar cara bersolat yang betul. Memang di sekolah agama rakyat ustaz ustazah ada mengajar tetapi kali ini yutaka diajar agar lebih tertib dan sempurna pergerakan solat. Yutaka sehingga kini berterima kasih kepada arwah ayah atas jasanya. Arwah ayah juga menitikberatkan mengenai solat Tahajjud. Sehingga kini, yutaka masih belum menjadikan Tahajjud sebagai rutin harian. Namun niat itu ada dan harapan masih dijiwa.


( Di kedudukan lelaki berbaju cokelat bersebelahan lelaki yang berdiri itu lah yutaka diajar cara bersolat dengan betul )

Walaupun arwah ayah sudah meninggalkan yutaka, yutaka tetap mendoakan kesejahteraan arwah setiap kali selesai solat Fardhu lima waktu sehari. Terasa sungguh kehilangan arwah. Arwah ayah ada di dalam hati anak anaknya. Mungkin jika ada kesempatan umur yang panjang, yutaka cadang akan membawa anak dan isteri yutaka ke sini. 


Thursday, August 21, 2014

Selamat Hari Raya Semua ..



As Salam

Tidak lama lagi berakhirnya bulan Syawal. Begitu cepat masa berlalu. Yutaka masih lagi merasakan kenikmatan berpuasa Ramadhan sehingga kini. Apa pun bulan Ramadhan tetap pergi, masa beranjak sehari sehari dan berganti bulan dan tahun. Cepat betul masa berlalu, cuma kita sahaja yang tidak sedar.

Yutaka ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN kepada semua pembaca blog yutaka ini. Mungkin penulisan yutaka ada mengguris mana mana perasaan kalian. Sesungguhnya yutaka hanya manusia biasa yang tidak sepi daripada membuat kesilapan. Kadangkala emosi menguasai diri tatkala sedang menulis. MAAFKAN saya.

KOSONG KOSONG 0-0 ya.




Friday, August 15, 2014

Program Assessment Centre (PAC)


As Salam

Baru baru ini yutaka berpeluang untuk mengikuti Program Assessment Centre (PAC) anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia di Port Dickson, Negeri Sembilan. Ini merupakan kali pertama yutaka mengikuti program PAC ini. PAC ini mesti dihadiri setelah seseorang itu LULUS ujian bertulis. Syukur setelah banyak kali menghadiri peperiksaan, kali ini yutaka berjaya lulus ujian bertulis ini.



Sungguh berdebar sekali mengikuti program PAC ini. Sebelum menjejakkan kaki di tempat PAC, yutaka ada bertanya kepada rakan rakan yang pernah mengikuti PAC itu sendiri. Di dalam program PAC tersebut terdapat beberapa segmen yang perlu diikuti oleh setiap peserta. Yutaka perlu melengkapkan ENAM segmen iaitu Ujian Sahsiah dan Minat, Debat Ala Parlimen, Penyelesaian Masalah, Group Discussion, Pengucapan Awam dan Public Speaking.

Ujian Sahsiah dan Minat ini memerlukan yutaka menjawab 250 soalan berbentuk objektif di dalam masa 30 minit. Walaupun soalannya mudah tetapi untuk menjawab 250 soalan di samping melorekkan borang OMR sangat mencabar minda. Ada seorang rakan yutaka tidak berjaya menyelesaikan 250 soalan tersebut. Nasib baik ketika itu yutaka ada membawa pensel 2B. Terima kasih kepada isteri tercinta kerana menyediakan satu kotak alat tulis kepada suaminya ini.

Debat Ala Parlimen ini juga tidak kurang mencabarnya. Walaupun tajuknya sangat umum, namun untuk berdebat dengan orang lain bukan bidang yutaka. Biasanya debat debat ini dilakukan oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang sahaja. Yutaka pun tidak begitu meminati program debat di parlimen kerana debat parlimen selalu ada insiden pergaduhan perang mulut. Lebih baik menonton rancangan ceramah agama Ustaz Kazim Elias.



Penyelesaian Masalah pula memerlukan kerjasama daripada ahli kumpulan untuk menyelesaikan masalah yang diberikan. Yutaka mengambil peranan menulis di kertas majong di samping memberikan idea untuk ditulis. Barulah nampak sumbangan tambahan yang diberikan. Konon konon hendak markah lebih la. Hehe. Setelah dibincangkan, ahli kumpulan hendaklah membentangkan isi isi yang telah dibincangkan. Pendekatan yang digunakan sedikit berbeza apabila penilai bertanya kan soalan. Memang terkejut sebab soalan ditanya dan dikehendaki menjawab saat itu juga. 

Group Discussion sama seperti penyelesaian masalah tetapi peserta hendaklah bercakap di dalam Bahasa Inggeris di dalam memberikan idea untuk menyelesaikan masalah yang telah diberikan. Kali ini tidak ada masa untuk berbincang di kalangan ahli. Soalan diberikan dan perbincangan terus dijalankan. Pendekatan ini membuatkan yutaka terpaksa berfikir pantas untuk memberikan idea. Memang tunggang langgang tatabahasa Bahasa Inggeris tetapi sekurang kurangnya penilai faham maksud yang cuba disampaikan.



 Pengucapan Awam pula memerlukan seseorang berucap di khalayak ramai. Tajuk pengucapan awam diberikan semasa proses mendaftar di pagi hari. Yutaka kena tajuk Good Service Tax (GST). Pening juga dapat tajuk yang sedang panas ketika ini. Nasib baik yutaka ada membawa nota GST ini, kalau tidak memang melalut lah. Masa diberikan 5 minit. Yutaka rasa sangat pendek masa yang diberikan kerana ketika 4 minit yutaka baru membentangkan isi yang pertama. 

Public Speaking pula, yutaka rasa yutaka paling tidak konsisten sekali. Mungkin rasa gementar membuatkan yutaka tidak berucap tetapi lebih kepada membaca teks. Intonasi suara dan penampilan tip top tetapi bahagian public speaking tu rasa ada kelemahannya. Kalau diberikan peluang, yutaka ingin sekali lagi membuat public speaking. Namun peluang hanya sekali sahaja. Yutaka redha dan berserah kepada Allah.