Saturday, July 19, 2014

Jihad Menjaga Ibu Bapa




As Salam

Bercerita mengenai jihad memang panjang huraiannya. Huraian itu kalau dikupas satu persatu boleh memakan masa berbulan bulan atau bertahun tahun. Tetapi jihad ni seringkali disalah ertikan dan dipandang enteng oleh manusia sekarang ini. Ketika zaman Rasulullah, berduyun manusia ingin berjihad di jalan Allah, tetapi zaman sekarang manusia semakin takut untuk berjihad.

Jihadnya sahabat sahabat Rasulullah adalah mempertahankan agama Islam yang mulia. Tetapi zaman moden yang serba serbi materialistik ini menjadikan jihad sebagai jalan terakhir. Kebanyakan antara kita takut untuk berjuang untuk agama Islam. Ketakutan mereka ini kerana mereka takut untuk mati di jalan Allah. Ada juga manusia tertipu dengan tawaran duniawi yang bersifat sementara.


Berbalik kepada jihad ini yutaka teringat satu kisah dahulu yang telah diceritakan kepada yutaka mengenai jihad. Menurut Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

 "Pada suatu hari seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW, memohon izin untuk ikut berjihad bersama Baginda. Lantas Rasulullah SAW bertanya kepada lelaki itu: "Adakah orang tuamu masih hidup?" Jawabnya: "Ya, mereka masih hidup." Rasulullah SAW bersabda: "Dalam diri orang tuamu itulah terdapat nilai jihad." 


Jadi ketika kita sedang berjihad di jalan Allah iaitu mencari rezeki yang halal, janganlah dilupakan ibu bapa di kampung. Jika ingin melibatkan diri di dalam jihad di bumi Islam yang teraniaya, fikirkan semula jika ibu bapa kita masih hidup. Ibu bapa adalah syurga kita. Jika mereka redha, maka Insya Allah berkatlah hidup anak anaknya di dunia dan di akhirat. Betapa besarnya pahala menjaga kedua ibu bapa kita dengan hati yang ikhlas dan jujur. 

Tidak berkat hidup anaknya jika membiarkan ibu bapanya tidak terbela nasibnya. Jangan tersalah memilih jalan jihad. Perhatikan dahulu kemampuan kita untuk berjihad. Jika masih mempunyai ibu bapa, eloklah menjaga mereka sehingga ke akhir hayat mereka. Ada jihad yang betul berlandaskan syariat dan ada yang jihad yang menghalalkan cara. Jihad menjaga ibu bapa itu adalah jihad yang terbaik dan barakah. Insya Allah.


Marah Kita Tidak Panjang



As Salam

Baru baru ini timbul viral di Facebook mengenai tingkah seorang wanita yang memarahi seorang pakcik di atas jalan raya. Begitu marah sekali wanita berkenaan sehingga mengetuk kereta pakcik berkenaan beberapa kali dengan menggunakan pengunci stereng. Situasi itu dirakam dan dimasukkan ke dalam Facebook dan akhirnya bom kebabom meletup letup nama wanita dan nama kenderaan wanita berkenaan.

Begitulah manusia, memang mempunyai sifat amarah yang pelbagai tahap. Ada yang marah sepanjang masa iaitu panas baran dan ada yang marah tetapi masih boleh bersabar dan tenang. Apabila manusia sedang marah, syaitan di sebelah akan sentiasa menyucuk tajam dan hati juga kadangkala tidak mampu mengawal sendirian. Hati ini sebenarnya tidak seteguh akal fikiran kerana akal boleh memikirkan baik dan buruk. Jika akal menguasai hati, insya Allah kemarahan itu masih boleh dikawal dengan bijaknya.


Jadi di sini mungkin yutaka dapat meninggalkan beberapa tips untuk mengawal kemarahan yang sedang meletus di hati :

a) Apabila sedang marah, dekatkan diri anda dengan air. Minum air atau mengambil wuduk mungkin jalan terbaik untuk mengurangkan suhu kemarahan dijiwa. Amarah ini umpama api maya yang sedang marak di dalam jiwa. Jadi untuk menghilangkan api kita memerlukan air untuk memadamkannya.

b) Apabila sedang marah, cuba dapatkan wangian lembut untuk mengurangkan tekanan di jiwa. Kewangian dapat membawa hati kembali tenang dan tenteram. Jika boleh kita bolehlah membawa minyak wangi yang bersaiz kecil ke mana sahaja kita pergi. Untungnya adalah kita boleh sentiasa wangi dan dapat mengawal amarah di hati.

c) Ketika sedang marah juga, kita hendaklah mengambil pendekatan diam dan berfikir. Cara ini tidak semua mampu melakukan kerana tidak semua mampu berfikir secara rasional ketika marah. Yutaka selalu mengambil pendekatan ini. Walaupun pendekatan ini sakit pada mulanya namun pengakhirannya sangat baik. Ini kerana selepas tenang kita akan merasa menyesal kerana mengamuk tidak ingat dunia.

d) Berselawat dan berzikirlah kepada Allah. Walaupun nampak mudah, kita mungkin sering terlupa. Memuji muji Allah dan berdoa supaya kita sentiasa bersabar dengan ujian amarah. Allah sentiasa mendengar keluh resah hambanya. Mintalah kepadaNya dan berserah lah kepadaNya. Insya Allah hidup diberkati walau apa juga ujian yang melanda. 


Itulah antara tips terbaik untuk kita mengawal maraknya api kemarahan di hati. Kita bukan malaikat yang sentiasa sujud taat beribadat kepadaNya. Untuk melatih hati supaya bersabar, hendaklah kita sentiasa berzikir dan membaca Al-Quran. Hati kita hendaklah diberikan santapan rohani secara berterusan. Jika hati sentiasa disajikan dengan muzik yang melalaikan, kita tengoklah keadaaannya ketika marah. Memang sangat menakutkan.

Tuesday, July 8, 2014

Ragam Penjual Bazar Ramadhan


As Salam 

Hari ini sudah lebih seminggu umat Islam menunaikan puasa di bulan Ramadhan. Banyak pengalaman suka duka pahit manis yang kita alami semasa di bulan Ramadhan. Syukur kepada Allah, yutaka dan isteri sempat berpuasa dan berbuka di rumah ibu dan ibu mertua. Sesungguhnya berbuka puasa bersama insan bernama ibu ini sangat mengujakan.


Berbalik kepada berbuka puasa, tidak semua insan yang sempat memasak. Jadi pilihan terakhir adalah singgah di bazar Ramadhan. Setakat ini yutaka sempat mengunjungi bazar Ramadhan sebanyak dua kali. Pertama untuk mencari air katira dan kedua kerana memang terpaksa beli juadah berbuka puasa. Sekarang ini bazar Ramadhan tidak sama dengan bazar Ramadhan dahulu.

Kenapa yutaka berkata demikian, kerana tahun 2014 ini penuh dengan rungutan dan kes yang melibatkan penjual bazar Ramadhan. Kes paling dahsyat adalah kes di mana tiga kanak kanak dimasukkan ke dalam hospital kerana keracunan. Keracunan ini berlaku kerana mereka memakan roti john yang telah dibeli di bazar Ramadhan. Bapa kepada kanak kanak berkenaan telah memaafkan penjual roti john berkenaan sempena mengambil barakah bulan Ramadhan.


Rungutan lain adalah harga makanan terlalu mahal. Ada yang murah tetapi kualitinya terlalu rendah. Ada yang basi makanannya dan ada jelantah nasinya (yutaka pernah memakan nasi lemak yang jelantah) Adakah peniaga sekarang lebih mengutamakan keuntungan semata mata? Ini bertitik tolak daripada sikap mahu bermewah di bulan Syawal nanti. Peniaga oh Peniaga 

Memang berniaga itu digalakkan kerana 9/10 punca rezeki datangnya daripada berniaga. Tetapi janganlah hanya berfikir soal keuntungan semata mata tanpa mengutamakan kebersihan dan kualiti jualan.Ikutlah cara Rasulullah berniaga di mana beliau adalah seorang yang jujur dan amanah di dalam berniaga. Jika kita menipu di dalam berniaga, memang tidak akan berkatlah rezeki itu kerana pembeli yang teraniaya akan berdoa kepada Allah.