Saturday, January 19, 2013

AKU YANG BERDOSA



As Salam 

 Sewaktu yutaka pergi menunaikan solat jumaat, yutaka ada mendengar mengenai kursus haji yang akan dijalankan tidak lama lagi. Kursus ini tidak terhad kepada jemaah haji yang sudah mendapat panggilan haji untuk tahun ini sahaja, tetapi terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menambah ilmu berkenaan dengan ibadah haji.

Apabila ditanya mengenai haji, ramai yang memberikan pelbagai reaksi mengenai niat itu. Ada yang berkata duit tidak cukup, belum sampai seru, saya masih muda lagi, saya banyak dosa dan lain-lain. Haji diwajibkan sekali seumur hidup bermakna sesiapa yang mendapat panggilan HAJI untuk pertama kali hendaklah bersiap sedia untuk menyempurnakan dengan jayanya.

Yutaka tertarik mengenai alasan " Aku banyak dosa, takut kat sana nanti Allah bayar tunai " Sebenarnya itu adalah hasutan syaitan yang mahukan kita semakin lalai daripada menyempurnakan rukun Islam yang kelima itu. Jika kita terasa kita banyak dosa, kita segeralah bertaubat nasuha. Insya Allah, taubat itu diterima. Kita bukan malaikat yang bebas daripada sebarang dosa.

Jangan takut untuk menjejakkan kaki di Mekkah. Yang penting kena banyak bersabar dan bertasbih memuji kebesaranNya setiap hari. Jika terdapat sebarang dugaan semasa menunaikan haji, segeralah meminta ampun kepadaNya, kerana Insya Allah di sana segala doa dimakbulkan. Anggaplah dugaan itu ujian dariNya bukan musibbah. Jika kita ikhlas menerima dugaan itu, insya Allah segala urusan di sana dipermudahkan.

 Golongan muda-mudi yang mempunyai duit yang banyak, segeralah mendaftar di TABUNG HAJI. Jangan tunggu usia sudah maghrib, baru sibuk hendak menunaikan haji. Haji bukan setakat kepada bacaan sahaja tetapi juga memerlukan kudrat bagi menyempurnakannya. kepada yang kurang berkemampuan, kita teruskan usaha untuk mengumpul duit bagi menyempurnakan rukun Islam kita yang kelima itu.
 
 

LAMBAIAN HAJI UNTUK SIAPA?


AS SALAM

Haji adalah mengunjungi Baitullah Al-Haram di Mekah untuk menunaikan segala perbuatan-perbuatan haji yang telah diperintahkan oleh Allah demi mengharapkan keredhaanNya pada masa tertentu dengan syarat-syarat tertentu.

Lambaian Haji adalah satu seruan Illahi untuk hambaNya menunaikan fardu haji yang kelima. Tidak semua manusia bisa menjejakkan kaki di bumi al-haram yang penuh barakah itu. Tidak kira betapa penuhnya duit di dalam bank, namun itu bukan jaminan untuk Allah menjemput kita ke sana. Tetapi siapakah tetamu Allah di bulan haji setiap tahun? Adakah ianya bergantung kepada Tabung Haji atau bergantung kepada duit kita?


Yutaka ambil satu iktibar di mana hanya manusia terpilih sahaja yang boleh menjadi tetamu Allah. Di India, terdapat satu kumpulan jemaah Islam di sana yang ingin mengerjakan haji pada suatu tahun tersebut. Mereka pun berkobar-kobar untuk mendapat penerbangan ke Mekah, namun malangnya penerbangan mereka ditolak kerana masalah tertentu. Mengikut perkiraan logikal, mereka tidak dapat menunaikan haji pada tahun tersebut.


Baliklah mereka ke kampung masing-masing, tetapi atas kuasa Allah mereka ditahan oleh pihak Arab Saudi. Pihak Arab Saudi mengatakan masih ada penerbangan khas ke Mekkah. Maka, terbanglah perkumpulan jemaah Islam itu ke Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima. Jadi memang benarlah seperti yang dikata, hanya Allah sahaja yang tahu siapa yang boleh menjadi tetamu di Tanah Haram tersebut.

Lagi iktibar yang boleh diberi perhatian adalah mengenai penerbangan haji yang terpaksa dibatalkan kerana masalah kesihatan di saat akhir. Situasi ini benar-benar berlaku di mana di atas kertas, ada seorang jemaah Islam boleh menunaikan haji ke Mekah. Tetapi tanpa keizinan dariNya, maka pada tahun tersebut jemaah tersebut tidak dapat menyempurnakan ibadah haji.

Jika kita hendak menjejaki Mekkah ini, berdoalah semoga kita semua dipermudahkan urusan untuk mengerjakan ibadah haji ini.


AZAM TAHUN BARU


As Salam

Jika dihitung hari, sudah lama yutaka tidak mencoretkan sesuatu di blog kesayangan "beta" ini. Hari ini yutaka berkesempatan untuk menconteng sepatah dua untuk blog ini. Apabila berbicara mengenai azam, sudah tentu setiap insan mempunyai azam mereka tersendiri. Azam sering dikaitkan dengan impian atau harapan yang ingin dilaksanakan.

Walaupun kaki sudah menjejak ke tanggal 19Januari 2013, kita masih lagi tertanya-tanya apakah azam yang ingin kita laksanakan pada tahun ini. Ada orang berseloroh " azam tahun ini adalah tidak mempunyai azam lagi ". Azam tahun baru kebiasaan nya bertahan sebulan atau dua bulan. Mungkin mengambil istilah tahun baru, kebanyakkan azam berkubur di awal tahun sahaja.


Kita sering terlupa mengenai azam dari sudut ukhrawi. Pernahkan kita terfikir untuk menambah amal jariah kita dengan ikhlas? Atau mungkin mahu menjadi khalifah Allah yang berguna untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara? Jika berbalik kepada azam tahun baru, minda sering diset mengenai ingin menjadi kaya raya, ingin membeli itu ini, ingin berjaya di dalam kerjaya dan sebagainya. Tetapi sadisnya, azam untuk pengisian Islam di dalam jiwa tidak disematkan sekali.

Tidak salah ingin menjadi kaya raya seperti Bill Gates dan sebagainya. Tetapi alangkah manisnya jika ingin menjadi kaya raya supaya boleh bersedekah kepada yang memerlukan. Yutaka sangat bangga dengan TAN SRI SYED MOKHTAR AL - BUKHARY yang tidak melupakan golongan susah walaupun dirinya sudah senang. Adakah kita nampak sesuatu daripada tindakan Tan Sri tersebut? Rezekinya semakin bertambah seiring dengan kebajikan yang dilakukan.