As Salam
Dua minggu kebelakangan ini adalah minggu sedih bagi yutaka. Sedih kerana yutaka gagal mendapat dua jawatan yang telah melepasi sehingga ke peringkat temuduga. Ibarat sebelah kaki sudah menjejak namun terpaksa menarik balik kaki itu kerana gagal di dalam temuduga. Pada mulanya yutaka yakin mungkin salah satu akan sangkut, namun sangkaan itu meleset kerana kedua duanya yutaka gagal untuk mendapatkannya.
Yutaka bukanlah insan yang bertuah yang terus dapat kerja selepas habis belajar dan tidak punya talian dalaman yang kuat dengan panel temuduga. Contoh insan yang bertuah adalah insan yang mengikuti bidang perguruan, kesihatan, kepolisian, ketenteraan atau insan yang mendapat tajaan pendidikan dari kolej atau universiti. Mereka yang bertuah ini tidak perlu pening kepala untuk mendapatkan pekerjaan kerana pekerjaan itu menanti mereka selepas mereka graduasi.
Yutaka juga tidak mempunyai talian dalaman atau dikenali sebagai "cable" yang membolehkan yutaka mendapatkan sesuatu pekerjaan. Walaupun sakit hati berkenaan dengan isu cable ini, yutaka lebih rela yutaka mendapatkan pekerjaan itu adalah atas usaha sendiri. Pendapat peribadi yutaka adalah mereka yang menggunakan cable ini seolah-olah menutup rezeki insan lain yang benar benar layak. Walaupun rezeki itu datang dari Allah, namun penggunaan cable ini sangat-sangat nakal sehingga menyebabkan insan lain tidak termasuk di dalam senarai yang berjaya.
Yutaka masih belum lagi menunaikan hasrat ibu dan arwah ayah yutaka untuk menjawat jawatan yang lebih baik. Teringat kata-kata ayah :
"Kalau kau dapat jawatan itu, kau pakailah pen mahal abah ni"
Walaupun itu hanyalah sebuah pen, namun penantian itu masih belum nampak bayangnya. Sehingga hari ini pen berkenaan masih tidak yutaka gunakan walaupun arwah ayah sudah pergi buat selamanya. Yutaka pasti ada hikmah di sebalik kegagalan yutaka untuk merebut salah satu jawatan berkenaan. Namun sebagai manusia biasa, rasa sedih tidak mampu dibendung. Insya Allah rezeki itu pasti tiba tepat pada masanya.
Buat ketika ini, yutaka perlu meneruskan kehidupan yutaka seperti biasa. Mungkin yutaka akan cuba menyiapkan karya yutaka yang pertama yang selalu tertangguh tidak siap-siap lagi. Inilah akibatnya selalu bertangguh. Kalau tidak mesti sudah diterbitkan dan dipasarkan. Hihi.