Tuesday, July 3, 2012

SOLAT ITU REZEKI



As Salam

Hari ini yutaka ingin sekali menyentuh mengenai satu bab iaitu mengenai SOLAT. Siapa yang tidak faham mengenai solat. Solat bagi umat Islam adalah merupakan rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah. Setelah kita bersaksi bahawa tiada Tuhan yang perlu disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, maka wajarlah kita mempraktikkan ucapan itu. Bagaimana hendak mempraktikkan nya? Semestinyalah dengan bersolat

Solat itu ada 5 waktu sahaja. Dengan tidak memerlukan masa yang lama untuk setiap waktu, terkadang manusia ini sangat berat untuk sujud kepadaNya. Sujud kepadaNya ini merupakan satu tanda yang menunjukkan bahawa kita sentiasa mengingati pencipta kita iaitu Allah Yang Maha Esa. Rezeki Allah sangat bersangkut paut dengan soal solat 5 waktu ini.

Solat itu rezeki. Itulah pesanan ibu yutaka kepada yutaka. Apakah yang dimaksudkan dengan solat itu rezeki? Sesungguhnya rezeki itu datangnya daripada Allah. Tanpa keizinan dariNya, tidak mungkin kita akan beroleh rezeki itu. Insya Allah, rezeki yang diberkati itu diberikan kepada hamba Allah yang sentiasa menjaga solatnya ketika hidup di bumi. Ayat mudahnya adalah " jika kita ingat Allah, Allah akan ingat kita "

Ada juga yang berkata tidak semestinya solat itu rezeki. Ada juga orang yang tidak bersolat itu kaya. Tetapi cuba kita lihat kehidupan orang yang kaya hartanya tetapi tidak bersolat. Adakah dia akan beroleh kebahagiaan yang sebenar seperti mempunyai anak-anak yang soleh, keluarga yang bahagia, dan hati yang tenang? Ada sahaja ujian daripada Allah untuk mereka yang sombong untuk menyembahNya.

Bersolat yang sebaiknya adalah bersolat apabila sampai waktunya. Tidak melengahkan solat kerana semata-mata perkara duniawi. Janganlah kita melakukan solat di waktu haram iaitu waktu di hujung. Ini kerana ditakuti kita akan meninggalkan solat apabila sampai waktu solat berikutnya. Bila sudah meninggalkan solat, kita akan semakin jauh dengan Allah kerana kita telah meruntuhkan tiang-tiang agama Islam itu sendiri.