Sunday, November 8, 2015

Hat Trick Fail Bahagian Dua


As Salam

Berjumpa lagi kita di laman blog ini. Itulah memandai letak bahagian satu dalam post Hat Trick Fail, jadi hendak tak nak kena la ada sambungannya. Hat Trick Bahagian Dua adalah sambungan daripada episod kegagalan temuduga. Kali ini yutaka gagal di dalam temuduga Penolong Pegawai Tadbir.


PENOLONG PEGAWAI TADBIR

Oleh kerana kesedaran akan mencabarnya untuk memohon jawatan pegawai, yutaka mengambil peperiksaan kenaikan pangkat secara lantikan untuk jawatan Penolong Pegawai Tadbir. Jika yutaka lulus peperiksaan ini, yutaka boleh gunakan untuk memohon jawatan Penolong Pegawai Tadbir. Alhamdulillah lulus juga peperiksaan ini walaupun mengambilnya 3 tahun berturut-turut.

Kebetulan keluar iklan jawatan tersebut, jadi yutaka gunakan keputusan peperiksaan itu bagi memohon jawatan berkenaan. Alhamdulillah dipanggil temuduga. Secara kebetulan, kali ini pihak melantik jawatan meletakkan syarat lulus peperiksaan berkenaan untuk dipanggil temuduga. Yutaka merupakan salah seorang calon yang berjaya.

Syukur juga kerana mendapat tarikh temuduga terawal. Fobia dapat tarikh akhir-akhir. Yutaka ditanya mengenai hal agama Islam. Melihatkan sijil sekolah agama yang begitu memberansangkan, maka soalan yang keluar adalah sangat mencabar. Yutaka jawablah yang termampu. Nampak gayanya memang kesemua soalan dapat dijawab dengan jayanya. Dalam hati, ada harapan ni.

Yutaka tunggulah keputusan diumumkan. Berdebar juga. Tanya pihak yang melantik, dan jawapannya adalah 

"Nama awak tiada dalam senarai yang berjaya. Sila cuba lagi"

Yutaka mengangguk lemah. Berkecai harapan yang dibina. Setelah diselidiki, pihak yang melantik mengutamakan pekerja yang sudah lama berkhidmat. Sedangkan yutaka boleh dikirakan separuh baru separuh lama. Ok gagal lagi. Sedihnya.


Hikmah Disebalik Kegagalan

Setakat ini yutaka belum terfikir lagi apakah hikmahnya yutaka gagal. Mungkin Allah mahu berikan rezeki yang lebih baik. Mungkin jadi pegawai. Siapa tahu? Yutaka redha akan ujian ini. Gagal Kali Kedua. 

Saturday, November 7, 2015

Hat Trick Fail Bahagian Satu



As Salam

Hari ini yutaka ingin menceritakan mengenai hat rick fail. Jika di dalam bahasa bola sepak, hat trick membawa maksud 3 gol. Hatrik fail pula membawa maksud 3 kali kegagalan berturutan. Jom ikut yutaka menyusuri hat trick fail ni.

Di dalam dua tahun kebelakangan ini, yutaka ada menghadiri tiga temuduga untuk kenaikan pangkat di dalam sektor awam. Jawatan tersebut adalah PEGAWAI PENERANGAN, PENOLONG PEGAWAI TADBIR, PEGAWAI TADBIR NEGERI JOHOR.


PEGAWAI PENERANGAN

Mulanya yutaka ada mengambil peperiksaan. Syukur keputusannya berjaya. Peringkat seterusnya adalah Assesment di Politeknik Port Dickson. Alhamdulillah yutaka berjaya melepasinya. Peringkat terakhir adalah temuduga. Peringkat ini sangat mengujakan kerana sebelah kaki yutaka sudah dapat jawatan tersebut. Temuduga yutaka adalah hari ketiga terakhir daripada jadual temuduga. Bermaksud temuduga dijalankan selama sebulan di seluruh Malaysia, Jadi tiga hari sebelum tu adalah hari temuduga untuk yutaka.

Yutaka sampai awal iaitu sebelum pukul 8:00 pagi. Urusetia kelihatan sangat tergesa-gesa menyiapkan dokumen calon temuduga. Katanya penemuduga hendak balik tengah hari. Jadi mahu temuduga bermula awal sedikit. Perasaan sudah lain macam. Yutaka berfikir, kalau hendak balik cepat, bermakna temuduga akan dijalankan sambil lewa dan cepat. 

Tekaan yutaka memang tepat, yutaka ditemuduga sangat cepat. Dalam 10 minit temuduga yutaka telah selesai. Soalan yang ditanya tidak sampai 10 soalan. Mungkin dalam 5 6 soalan begitu. Ok tekaan seterusnya adalah di dalam tempoh 27 hari temuduga, pastinya penemuduga sudah menjumpai calon yang mereka berkenan. Jadi hari-hari terakhir ini adalah hari santai-santai. Pertanyaan pun ala kadar, dan masa yang diambil tidak lama.

Ok tekaan itu sangat tepat, yutaka tidak berjaya melepasi temuduga ini. Sedih dan terkilan


Hikmah Di sebalik Kegagalan

Jika diikutkan memang sangat sedih sebab gagal di dalam temuduga berkenaan. Jadi yutaka cuba mencari hikmah mengikut pandangan yutaka. Pada pandangan yutaka, Allah mahukan yutaka sentiasa bersama dengan keluarga yutaka. Ini kerana penempatan PEGAWAI PENERANGAN adalah di Kuala Lumpur.

Ketika itu, orang rumah sedang sarat mengandung. Jika yutaka mendapat jawatan berkenaan, alamatnya memang agak sukar orang rumah hendak mengharungi pantang sendirian. Proses pertukaran tempat kerja orang rumah pun rumit. Jadi, mungkin Allah hendak mempermudahkan yutaka. Yutaka lebih memerlukan kegembiraan berkeluarga berbanding dengan jawatan PEGAWAI PENERANGAN berkenaan.



Sunday, September 20, 2015

HAPPY BIRTHDAY TO ME


As Salam

Bulan ini adalah bulan kelahiran Masihi yutaka. Jika dihitung-hitung, sudah nampak banyak usia diri ini. Mood : Sedar Diri. Haha. Dahulunya sebelum berkahwin yutaka rasa umur yutaka dalam 25 26 tahun macam tu walaupun pada hakikatnya umur sudah menghampiri 30 sen. Apabila sudah berkahwin dan mempunyai seorang khalifah junior, umur tidak lagi menjadi perkiraan yutaka. Kadang kala bila orang bertanya mengenai umur, yutaka gagal untuk menjawab dengan tepat. 

Isteri tercinta ada bertanya mengenai hadiah ulang tahun kelahiran. Sebolehnya puan isteri mahu membelikan sesuatu tetapi bagi yutaka hadiah paling istimewa telah diberikan iaitu seorang cahaya mata yang kini semakin pandai bergolek dan menangis minta perhatian. Oleh kerana itu, yutaka tidak memikirkan sangat soal sambutan ulang tahun kelahiran.


Tetapi ada bagusnya isteri mengingatkan mengenai hari ulangtahun kelahiran yutaka, ini kerana yutaka dapat mengira usia sebenar yutaka. Bila sudah tahu tentang usia, barulah yutaka tahu semakin cepat masa berlalu dan mengingati soal amal ibadah. Cukupkah bekalan yutaka untuk menghadap Allah? Usia selama ini adakah digunakan dengan sebaiknya atau sebaliknya?

Jadi sempena bulan kelahiran pada bulan ini, yutaka berazam untuk menjadi kaya harta, kaya iman, dan cukup setakat ini seorang isteri di sisi. Ini kerana dengan harta yang berkoyan koyan, yutaka bercadang untuk membantu golongan susah dan yang memerlukan. Membantu dari segi menyediakan peluang perniagaan. Itulah impian dan cadangan yutaka.


Bila sudah kaya harta, pastinya yutaka ingin kaya iman. Kaya beriman bermaksud, sentiasa setkan di dalam hati untuk rajin bersedekah dan beramal soleh. Kadangkala manusia yang kaya tidak terlepas daripada godaan syaitan. Godaan itu pastinya adalah penyakit hati seperti riak takbur ujub dan kedekut. Susah hendak melawan penyakit hati sebenarnya.

Mengenai isteri, pastinya buat masa sekarang yutaka bersyukur mempunyai seorang isteri di sisi. Masa hadapan yutaka tidak dapat meramalnya tetapi yutaka akan cuba mengikut role model lelaki kaya yang setia pada yang satu isteri. Langkah terbaik adalah mengajak isteri ke mana sahaja yutaka pergi bagi mengelakkan sesuatu fitnah berlaku. Insya Allah.

Akhir kata, 

SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KELAHIRAN, YUTAKA


Wednesday, September 16, 2015

Keterujaan Semakin Berkurang


As Salam

Apa khabar kalian semua. Rindu tidak dengan yutaka? Mesti sudah lama kalian tengok wall kosong tanpa entri yang baru kan? Maafkan yutaka. Kali ini yutaka ingin menceritakan mengenai motivasi yutaka yang sudah semakin menurun untuk bekerja. Motivasi untuk menunjukkan prestasi luar biasa yang selama ini memang menjadi keazaman yutaka.

Keterujaan untuk memberikan lebih usaha semakin merudum kerana yutaka tidak diberikan peluang untuk menunjukkan kebolehan yutaka. Setiap pendapat yutaka dipandang sepi berbanding dengan orang lain. Paling mengharukan apabila mendengar 

"Saya kalau tidak ada si polan tu, memang susah saya. Saya tidak yakin awak mampu buat kerja ini?"


Ayat tu pedih dan sampai sekarang masih terngiang ngian di telinga ini. Kenapa yutaka tidak diberikan peluang untuk belajar melakukan kerja hebat itu? Memang yutaka akui, si polan mempunyai pengalaman dan yutaka yakin dahulunya si polan adalah zero pada permulaannya. Jadi adakah yutaka perlu menjadi zero selamanya?

Sejak peristiwa itu, yutaka menjadi sangat pasif dan tidak teruja untuk melakukan sesuatu yang wow dan hebat. Bukan tidak mahu membuktikan kebolehan tetapi dengan sikap yang ditunjukkan oleh PEMBERI ARAHAN, yutaka hanya bekerja mengikut senarai tugas sahaja. Usaha penambahbaikan yutaka simpan dalam kotak A4 dan meja sahaja. 

Buat apa bersusah payah jika usaha tidak dihargai. Yutaka tidak mengharapkan balasan manusia, tetapi jika tidak dihargai motivasi itu semakin malap dan pudar. Jadi yutaka harap satu hari nanti yutaka dapat menjadi bos kepada PEMBERI ARAHAN itu. Ketika itu, barulah yutaka dapat menunjukkan kebolehan dan kemampuan sebenar yutaka ini.

Semoga impian itu menjadi kenyataan. Kalian doakan yutaka agar yutaka dapat menjadi bos kepada bos yutaka sekarang ini ya. TERIMA KASIH.


Thursday, August 6, 2015

Nasib Penerima Arahan


As Salam

Apa khabar kalian di sana? Entri sebulan sekali sempat yutaka kemaskini sekarang dek kerana terlalu padat jadual hidupnya. Rindu bertandang lagi seakan magnet menarik yutaka untuk menulis sebaris dua kata. Untuk entri kali ini, yutaka ingin meluahkan mengenai nasib yutaka si penerima arahan. Menerima arahan daripada bos yang unik dari segi prinsip dan kepercayaannya.


a) Ruang Kosong

Ruang kosong telah yutaka terima daripada bos yutaka di dalam menjalankan setiap tugas yang diamanahkan. Di dalam bahasa mudah adalah, bos yutaka tidak menyakini yutaka untuk menjalankan tanggungjawab dan tugas. Entah kenapa yutaka dilihat tidak mampu di mata kasar beliau.

b) Kuasa Untuk Bersuara

Setiap suara dan pendapat yang dilontarkan tidak pernah diberi perhatian walaupun diminta untuk memberikan pendapat. Pelik bukan? Tidak pelik mana pun apabila sesetengah bos hanya mengikut ideanya sendiri tanpa mempertimbangkan idea anak buahnya.

c) Kepanasan Apabila DiHenyak 

Apabila dihenyak oleh orang lain di mana ianya berkaitan dengan kerja yutaka, maka tiada pembelaan dilakukan ke atas yutaka sebagai anak buahnya. Yutaka dibiarkan seorang diri di dalam mencari kekuatan untuk berhadapan dengan manusia yang bodoh peraturan tetapi berlagak bijak.

d) Tidak Percaya

Yutaka dilihat seolah insan yang tidak boleh dipercayai. Tindak tanduk dicurigai walaupun yutaka cuba sebaiknya menjadi anak buah yang taat. Namun segalanya tidak menjadi, apabila yutaka tetap dicurigai. Kasihan bukan?

e) Kebajikan Adalah Negatif

Jika kosong masih lagi ok, tetapi negatif adalah tahap kritikal. Begitulah soal kebajikan yang yutaka tidak pernah terima. Sebagai contoh : isteri yutaka bersalin di mana hospitalnya adalah bersebelahan dengan pejabat, namun tiada kunjungan daripada bos yutaka. Namun apabila anak timbalan pengarah demam, bergegas dilawatnya. 


Nampak mudah tetapi itulah nasib si penerima arahan yang tidak pernah dihargai dan diberi kepercayaan. Apa tindakan yutaka? Mencari kerja setinggi timbalan pengarah. Nampak seperti gila kuasa kan? Memang kuasa jawatan perlu ada supaya kita tidak dipijak seperti tin kosong.


Monday, July 20, 2015

Raya Di dalam Kesedihan



As Salam

Hari ini hari raya keempat di mana yutaka sudah kembali bertugas setelah bercuti raya selama tiga hari. Raya kali ini giliran yutaka untuk beraya bersama ibu yutaka kerana tahun lepas yutaka beraya sebelah mertua. Syukur kepada Allah yutaka dan keluarga dapat sekali lagi meraikan kemenangan setelah berpuasa sebulan di dalam bulan Ramadhan.

Di dalam kegembiraan menyambut Syawal, hari ini yutaka dikejutkan dengan pemergian seorang rakan sekerja yang sangat baik iaitu Haji Nor Zaini Bin Abd Majid. Pemergian arwah sangat cepat di mana puncanya adalah sesak nafas sahaja. Pulangnya arwah ke sisi Allah sangat mudah kerana tidak melalui ujian kesakitan yang berpanjangan.

Walaupun yutaka baru sahaja mengenal arwah (kira-kira setahun), namun yutaka berpendapat arwah merupakan seorang rakan sekerja yang baik dan zuhud. Arwah tidak berkira di dalam melaksanakan tugasnya dan sentiasa tersenyum apabila jumpa di mana-mana. Dengan keperibadian yang luhur itu, yutaka senang bekerjasama dengan arwah di dalam urusan kerja.

Di saat pengebumian arwah, yutaka sangat sebak kerana yutaka akan kehilangan seorang teman sekerja yang sangat baik. Bertambah sedih apabila melihat keluarga arwah turut menitiskan air mata kepiluan. Entah kenapa terjatuh juga beberapa titis air mata kesedihan ini ke bumi. Apabila hendak mencetak kad perakam waktu petang tadi, teringat kenangan arwah yang selalu menyapa yutaka sebelum jam pukul 5.00 petang.

Wahai arwah Haji Nor Zaini Bin Abd Majid, jawablah pertanyaan Malaikat

Siapakah TUHAN mu ?
Siapakah NABI mu ?
Apakah AGAMA mu ?
Siapa/apakah IMAM (Panduan dan Pedoman) kamu!
Siapakah SAUDARA mu ?

Berehatlah wahai arwah. Semoga dikau sejahtera di sana. Amin Ya Rabbal Alamin


Wednesday, June 17, 2015

Esok Hari Puasa



As Salam

Hari ini adalah hari terakhir sebelum melangkah ke bulan barakah Bulan Ramadhan. Sudah lama yutaka tidak menulis di dalam blog ini. Terasa usang sekali blog ini tanpa entri baru. Sudah 4 bulan yutaka tidak menulis. Pecah rekod dunia tu. Haha.

Hari puasa esok mengundang seribu satu rasa di mana tahun ni genap 5 tahun arwah ayah meninggalkan yutaka dan ahli keluarga yang lain. Siapa tidak sedih apabila ayah sudah tiada? Semenjak arwah ayah pergi, hari raya yutaka tidak begitu teruja lagi. Huhu ..

Kepada penjawat awam, tahniah kerana mendapat bonus raya. Tahniah kepada yutaka sekali. Syukur. Rezeki terpijak yang sememangnya boleh membantu membeli persiapan raya. Persiapan raya yutaka kali ini lebih kepada kesederhanaan. 

Solat terawih jangan dilupakan. Yutaka berazam untuk menunaikan terawih penuh. Lagi satu adalah amalan mengaji Al-Quran. Jika dapat dihabiskan 30 juzuk, memang bonus. Tetapi jika berterusan membaca Al-Quran, itulah yang semoleknya.

Dan diharapkan bulan puasa ini, yutaka dapat menurunkan berat badan. Berat sangat badan yutaka ketika ini. Ada rakan mengesyorkan untuk bersahur dengan oat dan kurma je. Gerenti turun berat badan. Ok boleh cuba petua ini. 

Ok setakat ini sahaja celoteh yutaka. Pendek bebeno. Tidak mengapa  .. kalau ada aral berjumpa lagi di lain entri.