Showing posts with label married. Show all posts
Showing posts with label married. Show all posts

Saturday, February 6, 2016

Anak Hingus Susah Hendak Tidur


As Salam


Malam-malam begini, kelihatan si anak susah hendak tidur. Ibu mendengar seakan ada hingus yang tidak lepas di hidungnya. Yutaka sebagai seorang bapa ingin membawa si anak kecil itu ke klinik bagi mendapatkan rawatan. Sedang berkira-kira untuk bersiap, hujan pun turun.

Isteri yutaka bertanya kepada si anak kecil yang tidak pandai menjawab "Kita cuba petua, boleh?" Si anak kecil sibuk bermain-main. Yutaka bertanya pula " Adik .. mahu cuba petua ummi tak?," Si anak kecil hanya hurmm sahaja. Hurm tanda setuju agaknya. Konon si ayah memahami bahasa anak kecilnya.

PETUA MENGELUARKAN HINGUS

a) Potong bawah putih kecil-kecil
b) Masukkan potongan itu ke dalam air panas
c) Bedung si anak kecil bagi mengelakkan rontaan 
d) Wapkan air yang panas itu ke muka anak kecil
e) Posisikan wajah anak kecil ke bawah dan menghala ke wap air panas berkenaan
f) Biarkan seketika. Ketika ini hiburkan hati anak kecil kerana wap sedang memasuki hidung
g) Hasilnya hingus mulai keluar dari hidung

Ok esok buat lagi bagi mengeluarkan hingus yang lain. Untuk pertama kali ini, yutaka teruja walaupun jangka masanya adalah 08 minit. Not bad my boy. Anak ayah mestilah kuat. Kalau kalian hendak cuba mengeluarkan hingus secara alami, cuba petua ini. Insya Allah berkesan. 


Thursday, February 26, 2015

Perkahwinan Itu Satu Perjuangan


As Salam

Sejak sejak ni, yutaka terasa ingin post mengenai dunia perkahwinan. Bila seseorang mula menginjak remaja, pastinya perasaan ingin disayangi dan diberikan kasih sayang oleh seseorang. Orang itu bukanlah dari kalangan kaum keluarga dan saudara mara. Entah siapa gerangannya itu, tidak pula diketahui secara total.


Dunia remaja ditinggalkan dan akan menginjak dewasa. Ketika ini pastinya ada suara-suara hairan yang bertanya "BILA HENDAK KAHWIN?". Pendapat yutaka soalan berkenaan kurang sesuai ditanya dan mungkin tidak ada jawapan yang konkrit kerana manusia tidak mempunyai kuasa untuk meramal. Itu semua rahsia Allah. Jika dapat digantikan dengan soalan "SUDAH BERJUMPA DENGAN CALON-CALON SUAMI / ISTERI?". Jika tersipu sipu malu muka kemerah merahan sambil berlari gedik ke bilik, maka memang sudah ada la tu.

Memilih pasangan itu merupakan satu perjuangan. Perjuangan mencari yang dirasakan terbaik hasil penilaian mata kasar. Pandangan mata kasar ini kadangkala menipu. Ini kerana mata sangat sukakan kecantikan fizikal secara total. Pandangan mata kita tidak sama dengan pandangan mata orang lain. Mungkin pada mata kita, calonnya itu sungguh menawan sedangkan pada mata orang lain pula adalah sebaliknya.

Sebab itu kita digalakkan untuk solat istikharah sebelum mendirikan rumahtangga supaya calon yang kita rasa layak itu benar-benar sesuai dan terbaik untuk kita. Restu ibubapa juga penting di dalam kebahagiaan rumahtangga. Walaupun kebahagiaan itu terletak tidak terletak di tangan manusia, namun pengalaman ibubapa itu mungkin boleh membantu anaknya untuk membuat penilaian. Ibubapa mungkin ada sedikit pandangan dan gerak hati mereka sendiri.


Perjuangan untuk mendirikan rumahtangga itu tidak terhenti apabila sudah menemui insan tercinta untuk dijadikan pasangan hidup. Dari segi persediaan mental dan material pula ada yang perlu diberikan perhatian. Hendak kumpul duit untuk berkahwin tidaklah sesenang makan kacang tanah, Namun jangan risau tentang itu kerana rezeki untuk mereka yang ingin mendirikan rumahtangga itu akan terbentang luas.

Mental juga memainkan peranan paling penting. Paling penting adalah KESABARAN. Jika seseorang itu memang sejak azali memang seorang baran, maka perlulah belajar untuk bersabar. Ini kerana api amarah itu bisa meruntuhkan tembok keimanan manusia. Mulakan dengan solat taubat kepada Allah, dan berdoalah agar dikurniakan hati yang lembut dan sabar ketika menerima ujian dariNya.


Thursday, February 19, 2015

Mungkinkah Aku Family Man?



As Salam

Hari ini hari cuti. Cuti Raya Cina. Cuti yang aman damai sekali. Mungkin kerana ramai yang balik kampung halaman. Yutaka turut bermalasan di rumah bersama isteri. Cuti selama beberapa hari ini digunakan untuk berehat dan mengemas rumah. 

Hari yang aman damai ini yutaka ingin menceritakan mengenai berkepit atau berenggang suami isteri. Pada yutaka, yutaka lebih senang jika isteri yutaka sentiasa berada di sisi ke mana sahaja yutaka pergi. Mungkin pada setengah suami, ianya rimas. Tetapi pada yutaka ianya tidak merimaskan kerana yutaka dapat menghabiskan waktu bersama tercinta.

Orang kata biasalah baru kahwin, memang asyik berkepit sahaja. Tunggulah tiga empat tahun, pastinya kepitan itu akan mula berkurangan. Bila fikir kembali, betulkah yutaka akan begitu selepas tiga empat tahun perkahwinan? Itu semua kita tengok kemudian ya. Yutaka pun tidak tahu meramal masa depan. Harap-harap kepitan itu tidak kan berkurangan.


Yutaka dibesarkan dengan suasana kekeluargaan yang rapat. Syukur kepada Allah. Jadi apabila sudah berkahwin, sikap "FAMILY MAN" tu masih terbawa-bawa ke dalam rumahtangga. Ke mana sahaja pergi, pastinya bersama keluarga. Jarang sekali yutaka duduk bersembang di kedai kopi bersama rakan-rakan yang lain. Dari melepak dengan rakan, lebih baik duduk rumah menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga. 

Sebenarnya sikap Family Man ini dapat mengurangkan atau menidakkan kes kecurangan. Ini kerana pasangan suami isteri tidak sempat hendak berlaku curang dek kerana mereka bersama sentiasa. Tidak jemu kah asyik berkepit sahaja? Jika hubungan itu ikhlas kerana Allah, pastinya tidak jemu. Manusia kena pandailah mencorakkan hubungan kekeluargaan mereka. Hidupkan selalu mood mood romantika di dalam hubungan suami isteri.

Yutaka Family Man, Kalian pula bagaimana?


Tuesday, May 27, 2014

Bila Ibu Berdoa




As Salam

Minggu ini merupakan minggu agak sibuk di dalam kalendar hidup yutaka. Ini kerana minggu ini yutaka kena berkemas kemas untuk bertukar rumah dan pejabat bersama isteri tercinta. Permohonan bertukar ini dibuat atas sebab yutaka ingin menjaga ibu tercinta. Nasib baik puan isteri memahami dan menyokong hasrat suaminya ini. LOVE U darling ...

Yutaka dan isteri memang tinggal berjauhan dengan ibu dan ibu mertua. Sebagai seorang anak lelaki, yutaka memang ingin menjaga ibu kandung yutaka. Ini kerana tanggungjawab sebagai seorang anak lelaki ke atas ibu kandungnya adalah sehingga akhir hayat. Kedudukan ibu kandung terletak di tangga yang paling atas melebihi kedudukan puan isteri.



Jika diikutkan logik akal, agak sukar untuk yutaka dan isteri bertukar. Ini kerana isteri boleh bertukar jika ada pengambilan pekerja baru. Di situ baru boleh diadakan pertukaran besar besaran. Yutaka pun sama, boleh bertukar tetapi dengan pengganti serentak. Siapa mahu bertukar ke daerah lain? Terdapat satu lagi pilihan iaitu yutaka kena menunggu pengambilan pekerja baru. Payah bukan?

Walaupun pada awalnya jalan pertukaran itu nampak buntu dan tersekat, namun yutaka sentiasa berdoa siang dan malam supaya Allah permudahkan urusan pertukaran yutaka dan isteri. Di samping berdoa, yutaka tidak lupa untuk bertawakal. Percaya kepada Allah di mana Allah akan mempermudahkan urusan pertukaran ini. Ibu yutaka pun turut berdoa kepada Allah.

Syukur kepadaNya kerana permohonan pertukaran yutaka dan isteri berjaya. Mungkin ini adalah berkat doa ibu yutaka yang sentiasa berdoa siang malam. Seperti kata orang tua tua, keberkatan hidup anak terletak kepada doa ibunya. Dan mungkin Allah perkenankan hasrat yutaka untuk menjaga ibu setelah yutaka kehilangan ayah pada tiga tahun lepas.



Tetapi semuanya kerja Allah. Yutaka mampu berusaha, berdoa dan bertawakal. Sebagai anak lelaki, yutaka ingin menjaga ibu yutaka semampu yang boleh kerana yutaka pernah berkata kepada arwah ayah semasa mengiringi arwah ayah ke tanah perkuburan

 "Abah, angah akan cuba jaga mak baik baik"

Kehilangan ayah memang amat memeritkan. Jadi sementara ada hayat dikandung badan, yutaka ingin berbakti kepada ibu yutaka. Syurga anak itu adalah pada ibunya. Renung renungkan dan selamat beramal.



Tuesday, May 20, 2014

Oh Isteri I Love You




As Salam

Hari ini merupakan satu pengakuan ikhlas yutaka sebagai seorang lelaki yang sudah bersuami. Sepanjang usia perkahwinan yutaka yang masih hijau ini, yutaka sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang memahami, cantik dan tidak banyak karenah. Apabila suami memuji isterinya di hadapan, adakalanya si isteri tergelak tergolek golek kerana gembira. Nanti timbul dialog "yelah tu .. mesti ada apa apa ni". Hehe.

Rumahtangga yang bahagia memerlukan pengorbanan dan toleransi setiap pasangan. Berbekalkan kepada contoh terbaik arwah ayah yutaka sendiri, pendekatan yang dilakukan adalah setiap perkara dilakukan bersama. Untuk itu yutaka cuba praktikkan pendekatan itu yang dirasakan dapat mengharmonikan rumahtangga. Di antara contoh aktiviti bersama adalah

a) Bersolat fardhu secara berjemaah
b) Membaca Al-Quran bersama
c) Pergi membeli belah bersama
d) Memasak dan membasuh bersama


Di antara empat contoh di atas, yutaka paling kurang mahir di dalam memasak. Biasanya jika isteri memasak, yutaka akan membasuh baju, menyidai baju. Yutaka lebih gemar memakan masakan isteri yang sedap sedap. Sebenarnya apa juga masakan isteri, yutaka suka makan. Yutaka tidak memilih dan tidak cerewet. Isteri yutaka selalu memuji yutaka depan ibu kandung dan ibu mertua mengenai sikap yutaka yang tidak memilih di dalam pemakanan. Sesungguhnya air tangan isteri pengikat kasih sayang suaminya.

Berjemaah di dalam menunaikan solat Fardhu akan cuba dilakukan jika ada kesempatan. Selain daripada 27 darjat pahala ia juga dapat mengeratkan lagi kasih sayang suami isteri. Yutaka dapat merasakan solat berjemaah bersama isteri itu sangat indah berbanding dengan solat bersendirian. Setelah bersolat berjemaah, Al-Quran akan dibacakan secara berjemaah juga. Yutaka akan membaca dahulu dan diikuti oleh isteri. Jika ada salah makhraj tajwidnya, kami saling memperbetulkan.



Yutaka suka sekiranya isteri menemani yutaka ke mana sahaja yutaka pergi. Jika waktu bujang, ibu tercinta lah yang menemani. Tetapi setelah berumahtangga, yutaka lebih suka isteri menemani. Ini kerana yutaka mahu melibatkan semua aktiviti yutaka bersama isteri. Mungkin tidak semua suami suka dengan kaedah ini kerana rimas jika selalu berkepit. Kaedah ini dapat mengurangkan kes curang di dalam rumahtangga. Tetapi ini tidak bermakna yutaka tidak pandai berdikari tetapi yutaka lebih suka ditemani oleh isteri ke mana sahaja yutaka pergi.

Tugas seorang suami isteri itu bukanlah mudah dan senang. Ianya akan harmoni sekiranya kesetiaan itu kukuh di hati di samping menjaga kehormatan dan keselamatan diri. Si isteri mestilah menjaga kehormatan dan maruah suaminya dengan berkelakuan baik dan menutup aurat. Si suami mestilah menjaga pandangan mata dan menjaga cinta di hati agar tiada ruang wanita lain dapat bertakhta di hati.

Friday, May 2, 2014

Bujang 1 @ 2 @ 3 @ 4 ?


As Salam

Baru baru ini yutaka ada menghadiri satu majlis persandingan adik ipar yutaka. Ramai yang hadir terasa begitu meriah majlis walimatul urus itu. Di dalam kalangan tetamu yang hadir adalah saudara isteri yang kebetulannya masih bujang lagi. Bila sudah hadir itu, timbullah satu pertanyaan daripada makcik makcik " Kau bila lagi hendak kahwin? ". Jawapan tidak kunjung tiba di bibir si bujang itu. Krik krik krik krik ..



Jodoh itu rahsia Allah yang tidak pernah berjaya dijejaki oleh manusia. Apabila persoalan mengenai jodoh, sudah pastinya manusia tidak boleh menjawabnya. Tarikh sasaran dan anggaran mungkin boleh diletakkan namun yang pastinya saat sah bergelar suami isteri masih belum dipastikan. Siapa kita untuk bertanya mengenai rahsia Allah. Kadangkala pertanyaan jodoh ini menimbulkan sejuta rasa kepada si bujang. Perasaan malu, sedih, marah dan pelbagai rasa lagi bercampur baur apabila mengenangkan diri yang masih lagi membujang.

Apabila aura negatif hasil daripada pemikiran negatif tercetus, pastinya perasaan marah meluap luap dan ini akan menyebabkan insan bujang ini semakin berputus asa mengenai soal jodoh. Mereka sudah berputus harap untuk berusaha, berdoa. Hanya sisa tawakal kepada Allah sahaja yang tinggal. Jika sudah berputus asa ini di dalam hati, bermakna hati sudah tawar untuk meneruskan pencarian jodoh yang terbaik. Ini bermakna semakin ramai yang tidak akan mendapat hikmah perkahwinan itu.



Mulai hari ini, kepada sesiapa yang masih membujang lagi janganlah bersedih lagi. Teruskan hidup secara positif di mana sentiasa berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah. Orang tua tua kata, kita akan dipertemukan dengan orang yang salah berjuta kali dan akhirnya berjumpa dengan orang yang betul dan sesuai sebagai jodoh kita. Jadi mengapa kita berputus harap jika hanya gagal sekali dua di dalam pencarian jodoh? Yutaka ada jawapan kepada persoalan jodoh ini.

Persoalan : Bila hendak berkahwin? Orang lain semua sudah beranak cucu
Jawapan : Insya Allah ada jodohnya di kemudian hari. Tolong doakan saya mendapat jodoh yang terbaik.

Senang bukan jawapannya. Moga doa orang ramai termakbuk satu hari nanti. Namun begitu, janganlah mengharapkan jodoh datang bergolek golek. Teruskan berusaha menjadi insan yang soleh dan solehah. Kerana orang yang baik akan mendapat jodoh yang baik. Insya Allah. Kalau kita yakin kepada Allah, Insya Allah akan dimakbulkan jua oleh Allah. Yang penting kena bersabar di dalam berusaha, berdoa dan bertawakal. 



Jika boleh dielakkan, janganlah mencari jodoh di kalangan mereka yang sudah berkahwin. Jangan merampas hak kebahagiaan orang lain. Sesungguhnya poligami itu menyakitkan. Biarkan si suami orang itu menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna. Tugas seorang suami amat berat di dalam menyediakan kelengkapan duniawi dan ukhrawi.  Tetapi jika sudah ditakdirkan berkahwin dengan suami orang, mungkin ada hikmah di sebalik kisah itu. Tetapi sekiranya boleh, wanita bujang hendaklah mengelakkan bercinta dengan suami orang.

Suami orang mungkin kelihatan agak stabil di dalam kewangannya, tetapi jangan dilupa akan lelaki bujang yang agak sangat komited di dalam menjaga isterinya. Lelaki bujang kurang komitmen berbanding dengan suami orang. Lelaki bujang boleh memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang berbanding dengan lelaki berkahwin. Kalau jadi no 2 @ 3 @ 4, layanan tidak dapat 100 % kerana kasih sayang perlu dibahagi secara adil kepada isteri yang lain. Pilihan anda menentukan masa depan anda.



Monday, March 31, 2014

Degil Itu Bukan Tegas



As Salam

Hari ini yutaka ingin membawakan mengenai dua sikap yang seakan sama tetapi sedikit berbeza. Degil atau Tegas. Degil bermaksud tidak mau menuruti nasihat orang, keras kepala, kepala batu. Tegas pula bermaksud kemampuan mengekspresikan diri dengan mantap dan pastinya positif. Bermakna tegas mengatakan ke seseorang dengan jelas dan langsung tentang maksud, pendapat, dan perasaanmu tanpa menyinggung perasaan orang itu.

Degil itu sangat angkuh dan sombong. Terasa dirinya sahaja yang betul tanpa memikirkan perasaan orang lain. Matlamat utamanya adalah kepuasan hatinya. Kalau tidak mampu memiliki sesuatu yang dihajati, orang yang degil ini akan memberontak dan membentak sehinggalah apa yang dihajati dimilikki. Degil ini adalah suatu sikap yang membinasakan diri. Ini kerana sikap degil ini amatlah tidak disenangi oleh orang di sekeliling.

Tegas itu tidak angkuh kerana seseorang yang tegas itu boleh bertolak ansur dengan pendapat orang ramai. Namun apabila sesuatu keputusan yang dibuat, keputusan itu akan dipegang selama yang mungkin bersandarkan kepada bukti, dan info yang relevan. Sesungguhnya sikap tegas ini perlu ada di dalam setiap orang lelaki. Kerana lelaki adalah ketua keluarga yang akan membimbing anak isterinya ke syurga. Tegas tidak tergugat dengan pujuk rayu dan air mata anak isterinya. Tegas yang dimaksudkan adalah berkait rapat dengan keselamatan, kehormatan dan akidah keluarganya.


Degil ini biasanya terpupuk semasa zaman kanak kanak. Kebiasaannya kedegilan ini terbentuk hasil daripada kemanjaan yang berlebihan diterima. Ibu bapa yang "dayus" adalah ibu bapa yang memberikan kasih sayang yang membuta tuli. Apa yang dimahukan anaknya dituruti. Apabila semenjak kecil dituruti, sikap degil anak mula terpupuk sedikit demi sedikit dan menjadi darah dagingnya sehingga dewasa. Jadi ibu bapa perlulah sekali sekala menghampakan permintaan anaknya bagi memberikan pengajaran bahawa tidak semua yang kita ingini akan tercapai.

Ibu bapa yang bagus adalah datuk moyang kita. Kita pastinya ada mendengar datuk nenek moyang kita sangat tegas orangnya. Ibu bapa kita sampai kecut perut apabila datuk nenek menjegilkan matanya tanda tidak berkenan dengan sesuatu perkara. Ketegasan inilah yang perlu dipupuk oleh ibu bapa zaman sekarang kepada anak anaknya. Tegas di dalam memelihara maruah diri, keluarga dan akidah. Tegas yang bertempat itulah yang akan menjadikan anak anak menjadi orang bukan "memerang". 

Sesungguhnya hati kita memang degil sejak mula mula dimasukkan di dalam badan kita oleh Allah di mana hati sukar menerima keesaan Allah. Janganlah kita menambahkan tahap kedegilan tersebut. Hati yang degil itu adalah satu virus yang merosakkan diri. Jika seseorang itu degil, kehidupan kita pastinya tidak harmoni. Orang disekeliling akan tersakiti dek kerana sikap degilnya itu.




Tuesday, March 4, 2014

Sebelum Dan Selepas



As Salam

Sebelum dan selepas adalah tajuk perbincangan yang yutaka cuba rungkaikan mengenai hal berumahtangga. 

SEBELUM dan SELEPAS

a) dahulunya tidak ada yang memarahi kita seandainya kita ada membuat kesilapan tetapi selepas berumahtangga kita kena bersyukur kerana ada insan tersayang yang sering menegur setiap kesilapan yang kita lakukan secara sedar atau tidak.

b) dahulunya kita suka keluar tanpa melihat jam di jari bersama-sama rakan tetapi selepas berumahtangga kita akan kembali ke rumah sebelum malam menjelma. Ini kerana waktu malam adalah waktu emas yang tidak perlu disia-siakan untuk mencurahkan kasih sayang kepada pasangan dan anak-anak.

c) dahulunya kita seorang yang suka merentan atau mengamuk tak tentu pasal, tetapi selepas berumahtangga emosi merentan kita akan berkurangan kerana jiwa kita telah dijagai oleh pasangan. Ada tempat meluahkan perasaan dan ada orang yang bisa meredakan amarah di hati.

d) dahulunya kita tidak ada matlamat hidup tetapi setelah berumahtangga kita akan lebih bermatlamat. Mencari duit dan mengumpul duit untuk kesejahteraan hidup berumahtangga. Mana yang ada anak mula rajin bekerja untuk mencari sesuap rezeki untuk diberikan. Ketika itu, insya Allah pintu rezeki terbuka untuk kesejahteraan hidup berumahtangga.


e) dahulunya kita selalu suka bergaya mengikut trend. Trend korea, trend jepun semua dicubanya. Setelah berumahtangga, kita bergaya secara sederhana. Tidak perlulah bergaya sangat selepas berkahwin kerana takut nanti ada hati lain yang terpaut. Nanti kena kejar sampai ke rumah, memang berperanglah dengan pasangan. 

f) dahulunya duit kita banyak dibazirkan untuk sesuatu yang tidak bermanfaat. Setelah berkahwin kita mula berjimat jimat untuk keluarga terutama sekali untuk anak anak yang sedang membesar. Kadangkala ibu atau bapa tidak bertukar pakaian baru semata mata untuk membeli keperluan anak anaknya yang sedang membesar. Beralah untuk yang tersayang.

Apa pun perubahan setelah berkahwin itu lebih baik. Perkahwinan menjadikan kita lebih matang di dalam menjalani kehidupan seharian. Tanggungjawab semakin banyak selari dengan usia yang semakin senja. Tetapi jangan risau untuk berkahwin kerana setiap apa yang kita lakukan bersama pasangan yang sah, insya Allah akan diberikan ganjaran daripada Allah.


credit gambar fb : Rumahtangga Harmoni Keluarga Bahagia


Tuesday, February 11, 2014

Isteri Pertama vs Isteri Kedua Ketiga



As Salam

Semalam yutaka ada mendengar di radio HOTFM mengenai berkahwin lebih daripada satu. Ceritanya mengenai isteri pertama adalah lebih baik daripada isteri kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Bercerita mengenai beristeri ramai, pastinya lelaki akan tersenyum lebar. Tetapi tidak semua lelaki suka beristeri ramai. Apabila mendengar mengenai Poligami ini pastinya pihak wanita tidak senang duduk. 

Banyak kes di mana lelaki tidak berpuas hati dengan layanan isteri kedua, ketiga dan seterusnya. Busuk busuk isteri pertama, lelaki akan mengenangkan layanan daripada isteri pertama. Katanya isteri pertama lebih bagus dan terbaik. Kenapa perkara ini berlaku? Adakah layanan isteri kedua, ketiga dan seterusnya tidak bagus atau kurang memuaskan? Ada banyak kisah yang berlaku di sekeliling yutaka mengenai isu ini.


Ada seorang lelaki yang yutaka kenal menceraikan isteri pertamanya hanya kerana ingin berkahwin dengan isteri baru. Dikutuknya isteri pertamanya untuk mengaburi kehendak nafsu buasnya yang gatal mencari cinta yang baru. Tidak lama kemudian, isteri keduanya diceraikan dan lelaki berkenaan rujuk kembali dengan isteri pertamanya. 

Isteri pertama biasanya lebih penyabar dan tabah kerana semua kasih sayangnya hanya diberikan kepada suaminya. Lelaki pula telah terbiasa dengan layanan isteri pertamanya. Jadi apabila isteri kedua ketiga dan seterusnya tidak dapat memberikan layanan yang terbaik, pastinya si lelaki mula membanding banding. Kenapa isteri pertama boleh buat itu ini tanpa rungutan? Kenapa isteri pertama lebih tabah melayani karenah berbanding dengan isteri baru?


Sebab itulah yutaka rasa isteri pertama lebih bagus berbanding dengan isteri kedua ketiga dan seterusnya. Tetapi sebenarnya bagi yutaka jika tidak ada keperluan yang mendesak, cukuplah dengan isteri pertama. Biarlah isteri pertama menjadi isteri pertama dan isteri terakhir. Setia sehingga akhir hayat. Banyak kes berpoligami ini bermasalah. Ini kerana lelaki berhadapan masalah dengan keadilan hak. Isteri pertama pun susah hendak jaga, ini kan pula beristeri dua tiga dan empat. 

Sebenarnya lelaki ini senang dijaga. Lelaki biasanya memerlukan seorang isteri yang rajin memasak. Biar tidak pandai masak, tetapi rajin masak. Rumahtangga pula hendaklah sentiasa dijaga. Kalau muka cantik, tetapi tidak pandai memasak atau pemalas rasanya lelaki akan cepat bosan. Jika diikutkan memang tugas memasak itu tugas suami, tetapi sebenarnya air tangan isteri itulah yang dapat menambat hati suami. Insya Allah jika isteri menjaga makan suaminya, suaminya tidak sampai hati hendak mencari cinta yang lain.


  

Monday, January 13, 2014

Not Available FOREVER



As Salam

Hari ini semasa sarapan pagi ada rakan yutaka membawakan kisah sensasi Arik, Lunak dan Cuta Tarik. Cuta Tarik sudah bernikah tetapi dikaitkan dengan video sensasi tersebut. Jadi yutaka terfikir, kenapakah seorang wanita boleh berlaku curang sedangkan statusnya masih isteri orang? Di dalam facebook pun, ada status mengenai isteri bijak menyembunyikan kecurangannya. NOT AVAILABLE sesuai bagi mereka yang bergelar isteri.

Baru baru ini juga, ada kisah seorang isteri yang berbalas mesej dan gambar dengan seorang pelakon Singapura. Jadi apakah sekarang kemesraan isteri terhadap lelaki bukan mahramnya sudah tiada batasannya? Berbalas mesej secara kerap dengan lelaki lain menunjukkan si isteri sudah mula bosan dengan hubungan rumahtangganya. Atau mungkin si isteri sering memberikan alasan sunyi kerana si suami sibuk bekerja mencari rezeki. 
 
 
Adakah cara menghalalkan hukum? Dewasa ini, orang yang mengamalkan Islam sepenuhnya dianggap orang asing, tidak bebas atau ketinggalan zaman. Pergaulan bebas dan hiburan menjadi biasa di saat ini. Roh Islam semakin menjauh di jiwa masyarakat Islam di saat ini. Mungkin kerana manusa beragama Islam kini semakin jauh dengan ajaran Islam dan Allah. Semuanya kerana hasutan Syaitan dan hawa nafsu.
 
Sesungguhnya lelaki dan wanita ada magnetnya. Sentiasa melekat dan tertarik. Hanya keimanan dan ketakwaan sahaja yang boleh menepis godaan syaitan. Di dalam pejabat biasanya, yutaka pernah melihat seorang lelaki lain dan isteri orang lain makan bersama berdua sedangkan mereka bukan mahramnya. Bila ditegur dikatakan Best Friend Forever atau sekadar makan sahaja. Atau mungkin lelaki menumpangkan isteri orang yang bukan mahramnya pergi kerja secara berdua. Alasannya ingin menjimatkan kos minyak atau sekali jalan ke pejabat.
 
 
 
Alasan di atas adalah penepis fitnah apabila orang mula bercerita mengenai tahap kemesraan mereka. Tetapi di sebalik lelaki dan wanita yang bukan mahramnya itu adalah syaitan. Adakah lelaki dan wanita itu boleh menahan godaan syaitan? Adakah kemesraan yang pada mulanya kawan pasti tidak akan bertukar sayang? Jawapannya adalah TIDAK. Kerana manusia mempunyai hati yang sangat rapuh dan tahap keimanan yang tidak teguh.   
 
Jadi kepada puan isteri, jagalah diri masing masing. Elakkan berlaku fitnah kerana sesungguhnya setiap fitnah itu pasti ada keburukan yang terselit. Elakkan daripada bermesej mesej dengan lelaki lain walaupun BFF. Elakkan makan dan pergi ke mana mana dengan lelaki lain yang bukan mahram kerana sesungguhnya itu merupakan kunci kepada kemesraan kecurangan.Carilah rakan wanita yang baik yang boleh menjadi peneman makan sarapan dan carilah rakan wanita yang memandu untuk menumpang ke tempat kerja. 


Paling penting jadikan suami peneman di kala suka dan duka. Jangan cari orang lain. Jika suami tiada di sisi, JANGAN sesekali meluahkan perasaaan terhadap lelaki lain. Carilah ibu atau adik beradik untuk meluahkan perasaan. Jagalah diri dan kesucian sebagai isteri. Kerana sesungguhnya suami adalah pelindung kepada isterinya. Jangan bagi sebarang alasan untuk menghalalkan cara dan hukum. Jangan jadi syaitan yang sentiasa mencari alasan untuk mengingkari suruhan Allah. Insya Allah, dengan mengelakkan fitnah kehidupan rumahtangga akan bahagia.


Thursday, December 26, 2013

Sabar Di dalam Rumahtangga



As Salam

Hari ini yutaka membuka facebook yutaka. Yutaka ada membaca mengenai rahsia rumahtangga yang dikongsi oleh rakan facebook yutaka. Di dalam status facebooknya ada menyebut mengenai rahsia kekal bahagia dan setia ayah ibunya adalah SABAR. Begitu senang disebut tetapi agak berat untuk melakukannya. Sebab manusia itu punya perasaan dan hati. Kalau tidak kuat dengan ujian dan dugaan, sabar itu bakal menipis.

Isteri kalau ditegur atau dimarahi oleh suami, hendaklah dia bersabar. Jangan ikut melenting sama, ketahuilah punca amarah suami. Mungkin si isteri ada melakukan perkara yang tidak disukai oleh suami. Suami yang gila sahaja yang kerjanya asyik marah sahaja. Kalau isteri menjalankan tanggungjawab dan menjaga maruah keluarga, yutaka pasti isterinya akan disayangi dan dibelai suami sampai akhir hayat. Jadi perkara pokoknya adalah sabar.

Suami pula kena bersabar dengan ragam isteri. Lagi lagi ketika isteri sedang mengandung. Emosi isteri mengandung ini tidak menentu. Kalau marah, memang kadangkala dia main hembus sahaja. Tidak sempat memikirkan perasaan orang yang dimarahinya. Tetapi sebagai suami, kalau makin teruk sangat baran isteri itu, maka tegurlah secara baik. Jangan dibiarkan sehingga mudarat.

Tetapi jangan jadikan kesabaran untuk terus menjadi lembik tidak bermaya. Apabila ianya melibatkan maruah keluarga, maka pertahankanlah. Kadangkala orang mengambil kesempatan di atas kesabaran kita. Kita bukan malaikat dan kita bukan iblis. Kita boleh cepat marah, apabila kesabaran dicabar dan kita boleh cepat reda sekiranya permohonan maaf dipinta atas kesalahan yang telah dilakukan.

Tetapi sayangnya jumlah penceraian rumahtangga ini semakin meningkat dari tahun ke tahun. Mana-mana masalah dan perselisihan faham hendaklah diatasi segera. Jika boleh jangan sampai melarat sampai dua hari ke atas. Luangkan masa untuk meluahkan perasaan geram sedih bersama pasangan. Sikap berterus terang itu penting di dalam rumahtangga. SABAR di dalam menguruskan konflik rumahtangga. Insya Allah pengakhirannya adalah baik.


Monday, August 5, 2013

Cornflakes Madu



As Salam

1. Hari Raya Aidilfitri bakal menjelma tidak lama lagi. Yutaka pada tahun ini akan beraya pertama kali sebagai seorang suami kepada isteri tercinta. Begitu teruja beraya bersama puan isteri. Yutaka kalau bab raya-raya ini yutaka sangat simple. Cukup ada sehelai baju raya dan kuih raya. Itulah namanya lelaki, serba serbi simple. Haha ..


2. Mudahnya suami diimbangi dengan ketelitian pihak isteri. Puan isteri lah yang mencorakkan rumah di mana untuk beraya kali ini, puan isteri mahukan raya yang lebih sempurna dan gembira. Bercerita mengenai kuih raya, yutaka berkesempatan membantu puan isteri membuat CORNFLAKES MADU. Kedengaran sedap dimakan, tetapi yutaka tidak pernah terfikir untuk membuatnya. :D


3. Jadi yutaka berkesempatan juga merasai membuat cornflakes madu itu. Untuk merealisasikan hajat untuk membuat kuih raya berkenaan, kami suami isteri membeli oven yang baru. Bila ada oven baru, keterujaan membuat cornflakes madu bertambah tambah dan membuak buak. Bagi puan isteri membuat cornflakes madu ini merupakan aktiviti yang dimestikan apabila menjelang hari raya.


4. Permulaan membuat cornflakes madu itu adalah try n error. Bermakna yutaka mencuba dulu suhu dan masanya terlebih dahulu. Apabila sudah mendapatkan suhu dan masa yang ideal, tray kedua senang membuatnya. Jadi sesambil menunggu cornflakes madu masak, jari ini telah mengambil gambar cornflakes madu tersebut dari mula hinggalah akhir. (bukan jakun tetapi kenangan.. hehe)


5. Gambar-gambar cornflakes madu ini adalah gambar sebenar yang diambil oleh yutaka. Rasanya memang sedap. Sesedap gambar yang kalian lihat. hehe.. Selamat menjamah cornflakes madu ya .. Hehe



Tuesday, July 23, 2013

Berpuasa Sebagai Encik Suami


As Salam

1. Hari ini merupakan hari keempat belas berpuasa di dalam bulan Ramadhan. Tahun ini yutaka buat pertama kalinya berpuasa bersama insan bernama puan isteri. Begitu teruja sekali menyambut bulan Ramadhan bersama isteri. Semua perancangan berbuka dan persiapan berhari raya, yutaka kena berbincang bersama isteri. Untuk keputusan, yutaka kena fikirkan sendiri.

2. Sebelum berumahtangga, segala juadah bersahur dan berbuka telah ditentukan oleh ibu yutaka. Untuk berbuka dan bersahur, yutaka sebenarnya tidak memilih sangat makanan. Apa yang penting adalah nasi. Yutaka adalah pemakan nasi. Kalau mee tu umpama makan keropok je. hehe .. Perut tidak akan kenyang dengan memakan mee. Lauk-lauk yutaka tidak kisah. Senang kan menjaga yutaka. Hehe

3. Untuk puasa kali ini, yutaka telah meminta jasa baik puan isteri untuk memasak nasi untuk sahur. Nasib baik isteri memahami.Dimasakkannya nasi untuk suami tercinta ini. LOVE YOU baby.Untuk juadah berbuka pula, yutaka lebih suka jika puan isteri yang masak. Bukan apa, kebanyakkan makanan yang dijual adalah sama seperti nasi ayam, nasi lemak, dan nasi dagang.


4. Berpuasa di perantauan tanpa famili di sisi bukanlah perkara baru untuk yutaka dan isteri. Ini kerana kami memang pernah belajar dan bekerja di perantauan. Jadi soal kekok itu tidak timbul. Ada rakan yutaka yang tidak pernah berjauhan dengan famili, sangat huru hara apabila berpuasa di perantauan. Yelah, dulunya segala urusan disediakan oleh kaum keluarga. Tinggal puasa dan berbuka sahaja.

5. Itu sahaja untuk kali ini. Sesungguhnya berpuasa sebagai suami orang ini sangat mengujakan dan mencabar. Kepada pembaca yang belum berkahwin, cepatlah berkahwin kerana ada kenikmatan berpuasa dengan pasangan yang sah.  

Thursday, April 25, 2013

Jodoh .. Siapa Yang Perlu Selektif ?


As Salam

Hari ini yutaka ingin membawakan mengenai selektif terhadap jodoh. Adakah lelaki perlu lebih selektif untuk mencari isteri yang terbaik  atau wanita yang perlu lebih memikirkan akan soal ini. Jika ditanya kepada lelaki atau wanita, pastinya jawapan itu lebih memberat kepada gender masing-masing. Ada yang kata seharusnya lelaki tidak harus meletakkan piawaian terlalu tinggi untuk calon nya. Kerana jika iman nya hebat, maka dia akan memimpin dengan baik, tidak kira siapa pun yang akan jadi makmumnya

Yang harus cerewet adalah wanita Kerana dia sedang memilih calon imamnya.dan sudah pasti, dia mahukan calon imam yang mampu membimbing dengan baik. Kerana memilih bakal imam lebih penting dari memilih bakal makmum. Wanita juga memerlukan seorang imam yang dapat mengimamkan solat mereka, melaungkan azan di telinga bayi mereka di kemudian hari, dan menjadi hamparan untuk mereka ke syurga.


Bagi yang belum berkahwin (terutama sekali lelaki), mereka hendaklah mereka mempelajari ilmu agama sebanyaknya kerana kaum lelaki yang akan ditanya oleh Malaikat mengenai tanggungjawab mereka terhadap isteri dan anak-anaknya. Adakah terjaga tanggunggan nya semasa hayatnya? Jadi kepada kaum wanita, pilihlah lelaki yang mempunyai asas agama yang kukuh. Jangan pilih yang nampak kacak di luar, tetapi di hati tidak cantik peribadi dan agama nya.

Bagaimana jika si wanita sudah terlalu mencintai seseorang lelaki yang kurang cukup pendidikan agamanya? Sebenarnya itu tidak menjadi masalah. kerana sesuatu ilmu itu boleh dipelajari. Yang paling penting adalah mempraktikkan cara hidup Islam sebenarnya di dalam kehidupan rumahtangga. Janganlah alpha sekiranya ilmu agama hanya senipis kulit bawang, kerana kamu akan menuju kehancuran.




Monday, April 22, 2013

Sedalam Mana Kesetiaan, Sekuat Mana Kecintaan



As Salam

Hari ini yutaka ingin membawakan satu kisah mengenai KESETIAAN. Selama manakah insan boleh bertahan setia sekiranya dugaan kesakitan menimpa pada pasangan nya. Kita ambil contoh daripada beberapa kisah di bawah ini ya

a) Di dalam drama Hanya Padamu ( TV3 ), Tuan Arman sudah penat dengan kesakitan isterinya. Pada mulanya, isterinya dijaga dengan penuh kasih sayang. Tidak lama kemudian, dijaga isterinya kerana simpati. Kemudian apabila sudah penat, dia mula merungut kerana isterinya tidak juga sembuh.

b) Ada kisah mengenai si suami yang patah kaki sebelah kerana kemalangan. Si isteri mula goyah sehingga sanggup meminta cerai dengan suaminya kerana dirasakan suaminya tidak mampu untuk menyara kehidupan keluarganya. Walaupun punya anak yang ramai, namun si isteri tetap mahu menanggung susah senang bersama.

c) Kisah seorang suami yang memfailkan penceraian kerana sudah penat menjaga isterinya yang sakit sejak 7 tahun lepas. Isterinya sekarang tidak mampu bergerak dan dijadikan alasan untuk diceraikan.

Itu situasi institusi kekeluargaan sekarang, tetapi tidak pada zaman datuk nenek moyang kita dahulu. Orang dulu-dulu lebih setia orangnya. Tidak kisah betapa payahnya hidup, namun diharungi bersama. Bila sakit, dijaganya dengan penuh kasih sayang. Tidak terlintas di fikiran untuk lari daripada tanggungjawab. Jauh sekali untuk menceraikan pasangan yang sedang menderita sakit.

Tetapi masih adakah istilah kesetiaan di hati pasangan suami isteri sekarang ini? Jika ada, syukur alhamdulillah. Terkadang Allah sengaja menguji rumahtangga kita dengan sedikit kesakitan.

 

Friday, March 22, 2013

Bila Anak² Mengambil Keputusan Peperiksaan




As Salam

1. Wah wah .. sehari satu post dia tulis. Bila idea datang mencurah-curah, macam tu la gayanya. Semalam merupakan hari penentuan bagi pelajar SPM. Ke mana arah tuju mereka selepas keluar keputusan ini? Sambung belajar atau terus bekerja mencari rezeki? Bila sambung belajar, kena fikir hendak belajar di mana dan ambil jurusan apa.   

2. Sekarang ini ramai pelajar mendapat keputusan cemerlang. Jarang yutaka mendengar pelajar mendapat keputusan cukup cukup makan. Adakah pelajar sekarang sudah semakin pandai? Atau adakah soalan peperiksaan sekarang makin mudah berbanding dahulu? Yutaka merasakan memang sekarang ini, ramai pelajar yang cemerlang dari segi pelajaran. Tahniah !!!.

3. Bercerita mengenai kemampuan minda anak-anak, tidak semua yang dikurniakan akal yang sememangnya bijak pandai. Sememangnya manusia ini tergolong kepada bijak dan kurang bijak. Manusia tidak bodoh kerana manusia mempunyai akal untuk belajar. Tetapi sebijak mana pun manusia itu, kalau tidak berusaha memang tidak ke mana. 



4. Bagaimana nasib bagi anak-anak yang kurang bijak di dalam pelajaran? Adakah mereka akan terus hanyut tanpa masa depan? Anak-anak sememangnya cepat mengalah sekiranya dia tahu dia tidak mempunyai akal yang bijak atau mungkin mengambil masa yang lama untuk cuba menangkap ilmu yang diajar oleh guru. Ibu bapa seharusnya perlu memberi galakkan kepada anak-anaknya di dalam menuntut ilmu.

5. Mengambil contoh kehidupan yutaka semasa zaman sekolah dahulu. Yutaka sememangnya tidak begitu cerdik di dalam soal ilmu kira-kira. Yutaka pernah disindir oleh pengetua sekolah di hadapan pelajar kelas yutaka. Begini lah sindiran nya

" Kenapa orang lain dapat A dalam Matematik, tapi awak tidak dapat A?," 

walaupun kedengaran seperti biasa, tetapi apabila di cakap di khalayak ramai, sedikit sebanyak jatuh air muka yutaka ini. Malu sebenarnya apabila dikata seperti itu. Semenjak daripada itu, yutaka tekad di dalam hati yang SPM nanti akan menjanjikan A+ di dalam subjek Matematik. Syukur kepadaNya, yutaka dapat A+ di dalam Matematik.

6. Di sini yutaka ingin simpulkan bahawa tidak cerdik tidak semestinya tidak boleh berjaya. Walaupun yutaka tidak berjaya di dalam PMR, namun yutaka pergiatkan usaha untuk berjaya juga. Yang penting, ada iltizam, usaha, berdoa dan bertawakal. Jangan biarkan kekurangan itu membuatkan kita tidak ada masa depan, namun berusahalah mencapainya selagi termampu.   



Tuesday, February 19, 2013

APABILA SUAMI TUKAR LAMPIN



As Salam

Hari ini yutaka ingin menceritakan mengenai suami tukar lampin bayi nya. Kedengaran agak kelakar kerana kebiasaan nya hal-hal bayi diuruskan oleh isteri. Boleh kah lelaki membuat kerja-kerja ke "bayi" an ini? Adakah jatuh ego apabila encik suami berbuat demikian? Bagaimana pula puan isteri? Adakah mereka boleh berehat sambil melihat cd drama korea sementara encik suami menguruskan bayi mereka?

Jika diikutkan ego seorang lelaki, urusan rumahtangga semestinya diuruskan oleh pihak isteri. Lagi-lagi urusan bayi bayi ini, memang lelaki kebiasaan nya "lepas tangan". Itu lah kebiasaan nya. Tetapi tidak berlaku pada zaman sekarang kerana rata-rata suami lebih ringan tangan di dalam membantu isterinya menguruskan hal-hal bayi mereka. (menulis dengan begitu yakin sekali) Hehe..


Sekarang bukan masanya si suami menjadi RAJA yang tahu memerintah sahaja. Tetapi menjadi RAJA yang disenangi PERMAISURI nya dan disayangi ANAK nya. Bantuan yang dihulurkan oleh pihak suami sekurang-kurang nya dapat meringankan beban pihak isteri. Boleh bangun pagi membancuh susu, bangun pagi untuk memujuk bayi yang merengek dan menukar lampin adalah antara perkara yang boleh membuatkan si isteri tersenyum gembira. Gembira apabila suami nya sangat macho kerana membantunya.

 Tetapi perlu diingatkan di sini, pihak isteri janganlah mengambil kesempatan tidak menjenguk bayi nya. Tengok-tengoklah si suami menguruskan bayi nya, kerana takut si suami tersalah langkah. Pengurusan bayi ini lebih elok dilakukan bersama kerana dapat mengeratkan kasih sayang suami isteri dan si bayi itu dapat merasai kasih sayang kedua ibu bapanya. 

Ala tomei tomei ..