Thursday, February 26, 2015

Perkahwinan Itu Satu Perjuangan


As Salam

Sejak sejak ni, yutaka terasa ingin post mengenai dunia perkahwinan. Bila seseorang mula menginjak remaja, pastinya perasaan ingin disayangi dan diberikan kasih sayang oleh seseorang. Orang itu bukanlah dari kalangan kaum keluarga dan saudara mara. Entah siapa gerangannya itu, tidak pula diketahui secara total.


Dunia remaja ditinggalkan dan akan menginjak dewasa. Ketika ini pastinya ada suara-suara hairan yang bertanya "BILA HENDAK KAHWIN?". Pendapat yutaka soalan berkenaan kurang sesuai ditanya dan mungkin tidak ada jawapan yang konkrit kerana manusia tidak mempunyai kuasa untuk meramal. Itu semua rahsia Allah. Jika dapat digantikan dengan soalan "SUDAH BERJUMPA DENGAN CALON-CALON SUAMI / ISTERI?". Jika tersipu sipu malu muka kemerah merahan sambil berlari gedik ke bilik, maka memang sudah ada la tu.

Memilih pasangan itu merupakan satu perjuangan. Perjuangan mencari yang dirasakan terbaik hasil penilaian mata kasar. Pandangan mata kasar ini kadangkala menipu. Ini kerana mata sangat sukakan kecantikan fizikal secara total. Pandangan mata kita tidak sama dengan pandangan mata orang lain. Mungkin pada mata kita, calonnya itu sungguh menawan sedangkan pada mata orang lain pula adalah sebaliknya.

Sebab itu kita digalakkan untuk solat istikharah sebelum mendirikan rumahtangga supaya calon yang kita rasa layak itu benar-benar sesuai dan terbaik untuk kita. Restu ibubapa juga penting di dalam kebahagiaan rumahtangga. Walaupun kebahagiaan itu terletak tidak terletak di tangan manusia, namun pengalaman ibubapa itu mungkin boleh membantu anaknya untuk membuat penilaian. Ibubapa mungkin ada sedikit pandangan dan gerak hati mereka sendiri.


Perjuangan untuk mendirikan rumahtangga itu tidak terhenti apabila sudah menemui insan tercinta untuk dijadikan pasangan hidup. Dari segi persediaan mental dan material pula ada yang perlu diberikan perhatian. Hendak kumpul duit untuk berkahwin tidaklah sesenang makan kacang tanah, Namun jangan risau tentang itu kerana rezeki untuk mereka yang ingin mendirikan rumahtangga itu akan terbentang luas.

Mental juga memainkan peranan paling penting. Paling penting adalah KESABARAN. Jika seseorang itu memang sejak azali memang seorang baran, maka perlulah belajar untuk bersabar. Ini kerana api amarah itu bisa meruntuhkan tembok keimanan manusia. Mulakan dengan solat taubat kepada Allah, dan berdoalah agar dikurniakan hati yang lembut dan sabar ketika menerima ujian dariNya.


Thursday, February 19, 2015

Mungkinkah Aku Family Man?



As Salam

Hari ini hari cuti. Cuti Raya Cina. Cuti yang aman damai sekali. Mungkin kerana ramai yang balik kampung halaman. Yutaka turut bermalasan di rumah bersama isteri. Cuti selama beberapa hari ini digunakan untuk berehat dan mengemas rumah. 

Hari yang aman damai ini yutaka ingin menceritakan mengenai berkepit atau berenggang suami isteri. Pada yutaka, yutaka lebih senang jika isteri yutaka sentiasa berada di sisi ke mana sahaja yutaka pergi. Mungkin pada setengah suami, ianya rimas. Tetapi pada yutaka ianya tidak merimaskan kerana yutaka dapat menghabiskan waktu bersama tercinta.

Orang kata biasalah baru kahwin, memang asyik berkepit sahaja. Tunggulah tiga empat tahun, pastinya kepitan itu akan mula berkurangan. Bila fikir kembali, betulkah yutaka akan begitu selepas tiga empat tahun perkahwinan? Itu semua kita tengok kemudian ya. Yutaka pun tidak tahu meramal masa depan. Harap-harap kepitan itu tidak kan berkurangan.


Yutaka dibesarkan dengan suasana kekeluargaan yang rapat. Syukur kepada Allah. Jadi apabila sudah berkahwin, sikap "FAMILY MAN" tu masih terbawa-bawa ke dalam rumahtangga. Ke mana sahaja pergi, pastinya bersama keluarga. Jarang sekali yutaka duduk bersembang di kedai kopi bersama rakan-rakan yang lain. Dari melepak dengan rakan, lebih baik duduk rumah menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga. 

Sebenarnya sikap Family Man ini dapat mengurangkan atau menidakkan kes kecurangan. Ini kerana pasangan suami isteri tidak sempat hendak berlaku curang dek kerana mereka bersama sentiasa. Tidak jemu kah asyik berkepit sahaja? Jika hubungan itu ikhlas kerana Allah, pastinya tidak jemu. Manusia kena pandailah mencorakkan hubungan kekeluargaan mereka. Hidupkan selalu mood mood romantika di dalam hubungan suami isteri.

Yutaka Family Man, Kalian pula bagaimana?


Monday, February 9, 2015

AKIM & MAGISTRATE - MEWANGI



MEWANGI

Selamanya
Hati ini akan selalu memujamu
Mencintaimu
Seumur hidupku hanyalah padamu

Waktu
Dengarkanlah
Selalu dekatkan ku dengannya

Indah
Ku menutup mata
Satukanlah hati

Jadikan malam ku lebih indah
Jadikan siang ku lebih terang
Biarkan bungaku mewangi
Selamanya

Selamanya
Hati ini akan selalu memujamu
Mencintaimu
Seumur hidupku hanyalah padamu


Waktu
Dengarkanlah
Selalu dekatkan ku dengannya

Indah
Ku menutup mata
Satukanlah hati

Jadikan malam ku lebih indah
Jadikan siang ku lebih terang
Biarkan bungaku mewangi
Selamanya

Jadikan malam ku lebih indah
Jadikan siang ku lebih terang
Biarkan bungaku mewangi
Selamanya

Jadikan malam ku lebih indah
Jadikan siang ku lebih terang
Biarkan bungaku mewangi
Selamanya


Nota Blog : Bila yutaka nyanyi, dia punya melayan perasaan .. memang jauh ... hehe

Monday, January 12, 2015

Gagal Temuduga


As Salam

Dua minggu kebelakangan ini adalah minggu sedih bagi yutaka. Sedih kerana yutaka gagal mendapat dua jawatan yang telah melepasi sehingga ke peringkat temuduga. Ibarat sebelah kaki sudah menjejak namun terpaksa menarik balik kaki itu kerana gagal di dalam temuduga. Pada mulanya yutaka yakin mungkin salah satu akan sangkut, namun sangkaan itu meleset kerana kedua duanya yutaka gagal untuk mendapatkannya.

Yutaka bukanlah insan yang bertuah yang terus dapat kerja selepas habis belajar dan tidak punya talian dalaman yang kuat dengan panel temuduga. Contoh insan yang bertuah adalah insan yang mengikuti bidang perguruan, kesihatan, kepolisian, ketenteraan atau insan yang mendapat tajaan pendidikan dari kolej atau universiti. Mereka yang bertuah ini tidak perlu pening kepala untuk mendapatkan pekerjaan kerana pekerjaan itu menanti mereka selepas mereka graduasi. 

Yutaka juga tidak mempunyai talian dalaman atau dikenali sebagai "cable" yang membolehkan yutaka mendapatkan sesuatu pekerjaan. Walaupun sakit hati berkenaan dengan isu cable ini, yutaka lebih rela yutaka mendapatkan pekerjaan itu adalah atas usaha sendiri. Pendapat peribadi yutaka adalah mereka yang menggunakan cable ini seolah-olah menutup rezeki insan lain yang benar benar layak. Walaupun rezeki itu datang dari Allah, namun penggunaan cable ini sangat-sangat nakal sehingga menyebabkan insan lain tidak termasuk di dalam senarai yang berjaya.


Yutaka masih belum lagi menunaikan hasrat ibu dan arwah ayah yutaka untuk menjawat jawatan yang lebih baik. Teringat kata-kata ayah :

"Kalau kau dapat jawatan itu, kau pakailah pen mahal abah ni"

Walaupun itu hanyalah sebuah pen, namun penantian itu masih belum nampak bayangnya. Sehingga hari ini pen berkenaan masih tidak yutaka gunakan walaupun arwah ayah sudah pergi buat selamanya. Yutaka pasti ada hikmah di sebalik kegagalan yutaka untuk merebut salah satu jawatan berkenaan. Namun sebagai manusia biasa, rasa sedih tidak mampu dibendung. Insya Allah rezeki itu pasti tiba tepat pada masanya.

Buat ketika ini, yutaka perlu meneruskan kehidupan yutaka seperti biasa. Mungkin yutaka akan cuba menyiapkan karya yutaka yang pertama yang selalu tertangguh tidak siap-siap lagi. Inilah akibatnya selalu bertangguh. Kalau tidak mesti sudah diterbitkan dan dipasarkan. Hihi.


Monday, December 22, 2014

Allah Ada Ketika Kita Sedih



As Salam

Apa khabar semua? Hari ini tiba-tiba dapat ilham menulis dan dapat sedikit masa terluang. Hari ini yutaka ingin bercerita mengenai ujian daripada Allah. Ujian Allah yang hadir tanda sayangnya Allah kepada hambaNya. Semakin banyak ujian Allah yang datang bererti semakin sayang Allah kepada kita. Ujian Allah ini berbeza-beza. Mungkin ada insan yang diuji dengan kesakitan, ada juga diuji dengan kesusahan wang ringgit, diuji dengan lambatnya jodoh, diuji dengan cinta tidak kesampaian dan lain-lain.

Apa yang pasti setiap ujian itu adalah mengikut kemampuan penerimanya. Tetapi tidakkah kita perasan yang setiap kali ujian yang kita hadapi, ada sahaja insan tertentu yang ditakdirkan membantu kita ketika itu. Sebagai contoh, tayar kita pancit. Tiba-tiba Allah berikan kita ilham untuk mencari pertolongan daripada rakan-rakan kita. Atau mungkin kita hadapi masalah stress kerja, pastinya ada insan yang boleh membantu kita mengurangkan stress tersebut.


Hebat bukan rasa kasih Allah terhadap hambaNya, Allah tidak akan membiarkan kita sendirian di dalam menghadapi ujian dariNya.  Tetapi kita sebagai manusia seringkali mengeluh dan mengaduh geram setiap kali ujian itu datang kepada kita. Mungkin juga kita akan termaki hamun kerana stress menghadapi sesuatu ujian Allah.

Apabila menghadapi sesuatu ujian Allah itu, kita boleh mengamalkan prinsip Tenang Doa dan Yakin. Bertenang ketika berdepan dengan sesuatu ujian. Berdoa kepada Allah. Kemudian yakin kepada Allah bahawa Allah akan membantu kita. Tetapi itu tidak mudah dilakukan kerana ada entiti jahat bernama syaitan akan menghasut kita untuk marah dan mengeluh apabila ada ujian daripada Allah.

Apa pun kita sebagai manusia memang ada limit keupayaannya. Kita kadangkala terlepas rasa geram dan termakan hasutan syaitan ketika ujian melanda. Jika kita terlepas mengeluh, kita boleh menadah tangan untuk memohon ampun kepadaNya. Mengeluh tandanya kita tidak redha dengan ujian Allah. Allah tidak pernah berkira dengan kita di dalam pemberian rezeki yang banyak. Tetapi kita sering berkira dengan ujian Allah yang hanya sedikit.


Wednesday, October 22, 2014

Umpatan vs Mengata



As Salam

Hari sabtu 22/10/2014 adalah hari cuti. Sementara menunggu puan isteri siap untuk bersarapan pagi, sempatlah juga yutaka mencoretkan satu bingkisan di dalam blog ini. Baru-baru ini yutaka seakan tidak seronok bekerja, bukan kerana bebanan kerja tetapi kerana bebanan umpatan rakan sekerja. Jangan risau kerana bingkisan ini bukan ruangan gosip tetapi lebih kepada pengajaran. Yutaka cuba .. :D

Yutaka tidak seronok bekerja kerana yutaka kena mendengar umpatan setiap hari. Umpatan itu berkisar kepada kewibawaan seorang bos. Dari pagi hingga ke petang, topik yang sama sahaja diumpatkan. Penat juga yutaka mendengarnya. Kenapa tidak mengelak? Kerana rakan yang mengumpat itu duduk berhampiran dengan yutaka. Jadi yutaka terpaksa menadah telinga ini untuk mendengar umpatan itu.


Teringat yutaka akan Firman Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 12 :

" Hai orang orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan jangan lah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya ... "

Sebenarnya yutaka tidak gemar mencampuri urusan orang lain. Yutaka cuma datang bekerja dan bekerja. Malas hendak bergosip menceceh bukan bukan dan bergaduh dengan rakan sekerja. Tetapi yutaka pun manusia biasa. Hari hari mendengar umpatan, lama kelamaan hati ini mungkin terpengaruh. Terpengaruh bermaksud persepsi yutaka terhadap orang yang diumpat itu turut berubah di mana yutaka turut sama menyampah dengan orang yang diumpatkan itu.


Walaupun ini seakan soal remeh untuk ditulis, namun sebenarnya mengumpat ini sebenarnya mampu memecahbelahkan manusia. Yutaka tidak mahu bermusuh dengan sesiapa dan tidak mahu bermasam muka dengan sesiapa. Kerana mulut badan binasa kerana kata-kata itu lebih tajam dari pisau dan lukanya lebih dalam. Jadi yutaka lebih gemar mengambil pendekatan diam ketika mendengar umpatan itu.

Yutaka berharap perkara ini dapat berakhir. Yutaka tidak mahu hati yutaka ini dicucuk dengan jarum amarah orang lain. Lagipun tiada guna untuk memusuhi orang lain kerana hati kita akan tidak gembira apabila ada tersimpan sifat itu. Sucikan hati ini dengan bacaan Al-Quran dan zikir kepadaNya. Kita pun tidak tahu bila kita akan dijemput oleh Malaikat. Entah sempat atau tidak meminta maaf dengan orang yang pernah diumpatkan itu. 


Tuesday, September 16, 2014

Selamat Hari Malaysia



As Salam

Hari ini yutaka akan bercerita mengenai sejarah. Ok jangan lari dulu ya. Kenapa kalian mesti tertidur semasa mendengar kan cerita berkenaan dengan sejarah? Sudah semestinya sejarah berkaitan dengan fakta dan tarikh. Tiada sejarah tiadalah tamadun. Wah .. sudah mai dah roh sejarah di dalam jiwa yutaka. hehe.

Hari Malaysia jatuh pada 16 September setiap tahun. Sambutan ini bertujuan untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Segala maklumat lanjut bolehlah dilihat di http://pmr.penerangan.gov.my


Kini sejarah Malaysia kurang mendapat tempat di hati rakyat urban. Mereka lebih gemarkan hiburan dan soal negara mereka tidak mengambil peduli. Ada juga di kalangan rakyat Malaysia yang menjadi duri dalam daging di dalam memecahbelahkan perpaduan kaum yang sekian lama kita jalinkan semenjak peristiwa mencapai kemerdekaan. Ini semakin menggusarkan yutaka sebagai rakyat biasa yang hanya mahukan keamanan di dalam menjalani kehidupan di bumi Allah ini.

Generasi Y yang Z bukan pribumi semakin lantang mahukan kebebasan dan kesamarataan. Ini dapat dilihat dengan usaha licik yang mereka lakukan untuk menggubal perlembagaan dan menghapuskan kedaulatan raja raja Melayu. Adakah selama ini rakyat Malaysia tersekat di dalam mencari rezeki di Malaysia. Tidak cukupkah kekayaan yang mereka hasilkan di bumi Malaysia ini? Mengapa perlu dicabar perkara yang telah dipersetujui datuk moyang kita untuk menjadi negara yang merdeka?

Di Malaysia, sesiapa pun berhak mencari rezeki sebanyak mana sekalipun. Tiada halangan dan kerajaan sentiasa membantu mereka melalui program program dan bantuan perniagaan. Jangan digadaikan perpaduan yang kita telah bina. Perpaduan kini semakin nipis dek kerana tamakkan kuasa politik dan tamakkan harta kekayaan. 


Salleh Kamil melakonkan watak pengkhianat bangsa di dalam Sarjan Hassan. Ini adalah contoh tepat yang menggambarkan seorang pengkhianat bangsa yang tamakkan harta sehingga sanggup menjadi tali barut Jepun. Ada juga yang rakyat Malaysia yang menjadi tali barut penghasut untuk memusnahkan kemakmuran negara kini. Apa sudah jadi dengan minda merdeka mereka?

Bersatulah kita menentang musuh negara. Kembalikan keamanan Malaysia yang sudah semakin terjejas dek kerana satu dua parasit pengkhianat yang mahu mengendurkan perpaduan di Malaysia. Kita rakyat Malaysia patut bersatu menentang pengkhianat bangsa dan musuh negara. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Jangan lupa Allah kerana senjata orang mukmin adalah doa kepada Allah. Allah Maha Besar