Thursday, June 20, 2013

AKRAB TAPI ADA BATASANNYA




As Salam

1. Hari ini yutaka ingin membawakan mengenai akrab itu ada batasannya. Kebiasaan akrab atau rapat ini mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri. Keakraban itu perlu ada batasannya terutama sekali di dalam pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Ini kerana apabila lelaki dan wanita itu akrab, ditakuti terselit syaitan dan nafsu jahat di dalam perhubungan yang akrab itu.

2. Perkara yang biasa kita longgarkan adalah keakraban lelaki dan wanita di kalangan saudara dan sepupu. Orang selalu berkata " KAU TIDAK PERLU CEMBURU DENGAN DIA, SEBAB DIA RAPAT DENGAN SEPUPU DIA SAHAJA ". Atas tiket mempunyai pertalian saudara, kita selalu terlepas pandang akan hukum hakam Islam mengenai batas pergaulan sesama manusia.

3. Di dalam surah An-Nur ayat 30 dan ayat 31 :

" Katakanlah ( wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka ; sesungguhnya Allah amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan "

" dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka ; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya ; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka .. "



4. Secara kasar atau logiknya, kita mungkin beranggapan rapat sesama insan yang mempunyai pertalian saudara ini tidak mendatangkan kemudaratan. Tetapi pergaulan di antara saudara lelaki dan wanita tetap ada batasannya. Ini kerana manusia ini sangat rapuh orangnya. Manusia bukan malaikat yang tidak mempunyai nafsu dansentiasa setia sujud kepada Allah.

5. Selain itu juga, pergaulan mesra dan akrab di antara saudara atau sepupu ini boleh mendatangkan fitnah bila ianya melibatkan lain jantina. Kita perlu memikirkan perasaan pasangan kita walaupun pasangan kita itu nampak biasa sahaja apabila kita terlebih bergaul dengan saudara atau sepupu berlainan jantina. Ini kerana setiap manusia ada perasaan cemburu walaupun sedikit. 

6. Sesungguhnya setiap batasan itu ada hikmahnya di mana setiap apa hukum hakam itu mempunyai kebaikan yang tersendiri. Ajaran Islam itu yang terbaik di antara ajaran agama lain kerana ajaran Islam meliputi seluruh perkara. Berpeganglah kepada ajaran Islam kerana Islam boleh membawa kepada keberkatan hidup kita selamanya.



Wednesday, June 19, 2013

Hari Bapa Itu Selamanya


As Salam

1. Jika tidak silap perkiraan, Hari Bapa diraikan pada 16 Jun setiap tahun. Hari Bapa dikhususkan untuk kaum bapa sahaja. Begitu seronok melihat ucapan Selamat Hari Bapa di dalam laman sosial Facebook. Ada juga lukisan daripada seorang teman yang menyindir mengenai kekerapan anak menzahirkan penghargaan kepada bapanya melalui penulisan sahaja bukan secara berdepan-depan.

2. Tidak kisahlah bagaimana cara kita menghargai jasa bapa kita. Jika diikutkan, bapa ini tidak mahu wang ringgit daripada anak-anaknya. Tetapi cukup sekadar anak-anaknya menjadi anak yang soleh dan menjadi insan yang berguna kepada agama bangsa dan negara. Tidak ada seorang bapa pun sanggup melihat anak anaknya susah hidupnya. Jika dapat dibantu, akan dibantunya yang termampu.


credit to am ahmad

3. Yutaka sudah pun kehilangan ayah kandung yutaka sejak tiga tahun lepas. Selepas itu, memang terasa lain hidup tanpa jagaan arwah ayah. Hilang separuh jiwa bersama-sama pemergian arwah ayah. Sesungguhnya yutaka sangat cemburu melihat insan lain yang mempunyai ayah. Boleh bersenda gurau, boleh lepak lepak dengan ayah, boleh meminta nasihat daripada ayah.

4. Yutaka menjadi sedih apabila menjelangnya 3 hari iaitu Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Hari Ulangtahun Kelahiran arwah ayah. Bila tiba hari tersebut, yutaka tidak mempunyai semangat untuk meraikannya. Hurm .. Memang tidak dinafikan sebenarnya yutaka begitu rapat dengan ibu dan bapa yutaka. Mungkin semenjak kecil, yutaka diajar dengan nilai kekeluargaan yang tinggi, di mana keluarga diutamakan. Yutaka rela hilang kawan atau kekasih daripada kehilangan keluarga yutaka.

5. Jadi untuk menghargai jasa arwah, yutaka akan cuba menyedekahkan surah Al - Fatihah dan Surah Ayatul Kursi setiap kali habis solat 5 waktu. Di samping itu juga, yutaka akan cuba amalkan ajaran dan nasihat arwah ayah. Moga sedekah dan pengamalan nasihat yang baik itu dapat meringankan beban arwah ketika dihisab di alam sana. 

Al Fatihah untuk arwah abah. yutaka merindukan dirimu ...






Monday, June 17, 2013

Nasihat Itu Bukan Milik Ku




As Salam

1. Hari ini yutaka teringat mengenai satu kisah mengenai perihal nasihat. Jika diikutkan yutaka memang suka berkongsi sesuatu di laman sosial Facebook. Walaupun katanya pengasas Facebook ini yahudi, namun teknologi ini masih berguna di dalam menyampaikan sesuatu dakwah. Walaupun ilmu yutaka senipis kulit limau, namun yutaka berharap yutaka boleh menyampaikan satu ilmu yang berguna.

2. Pernah sekali yutaka berkongsi mengenai hukuman menutup aurat. Antara yang pernah dikongsikan adalah sehelai rambut anak perempuan (yang belum berkahwin) keluar dari rumah dengan tidak menutup aurat seumpama selangkah bapanya ke neraka. Begitu sayangnya Allah kepada wanita di mana segala tanggungjawab memelihara kehormatan dan kesucian terletak di bahu suami atau bapa.

3. Ini bertepatan dengan firman Allah di dalam  Surah At - Tahrim ayat 6 :

Wahai orang-orang beriman .Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka dan bahan bakaran nya ; manusia dan batu (berhala) ; neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat² yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

4. Disebabkan perkongsian ilmu itu, ada yang terasa. Mungkin kerana sayangkan bapanya, yutaka ditempelak. Yutaka dikatakan alim sangat di mana  boleh menentukan dosa pahala syurga neraka. Yutaka dipandang sinis dengan penulisan sindiran di Facebook. Walaupun sedih kerana difitnah dan diherdik  tetapi yutaka bersabar kerana hamba Allah itu hanya berani di dalam Facebook tetapi sebenarnya penakut di luar.

5. Nasihat itu sebenarnya milik sesiapa sahaja. Terpulang kepada penerimaan kita. Walaupun terkadang nasihat itu pedih didengar dan dibaca, kita berfikiran secara terbuka. Sesiapa yang menolak kebenaran nasihat, mereka itu umpama gua yang gelap. Mungkin cahaya iman ditutup rapat oleh keegoaan dan kebongkakan hidup di dunia.







Tuesday, June 11, 2013

Berani Itu Superman



As Salam

Hari ini yutaka ingin membawakan mengenai isu keberanian. Adakah seorang kakitangan biasa tidak boleh menegur kesilapan pegawai atasan nya atau bos nya ? Adakah bos atau pegawai atasan mempunyai kuasa mutlak yang mana sangat kebal untuk dihukum atau ditegur? Sememangnya kita sebagai manusia biasa tidak terlepas daripada kesilapan dan kesalahan. Terpulang bagaimana cara kita mahu menerima setiap kritikan yang dilemparkan kepada kita.

Jika dilihat dalam drama atau filem, kita sering melihat kakitangan sering mengutuk bos secara belakang. Kerana apa? Kerana tiada keberanian untuk menegur atau memberikan pendapat secara berdepan. Ditambah pula bos yang mengamalkan sistem kuku besi. Memang bos sentiasa dikutuk, dicerca dan dihina setiap hari. Tetapi adakah sememangnya kita memang tiada hak untuk bersuara?

Budaya membodek bos atau budaya baik berpura-pura memang pasti ada di dalam setiap organisasi. Yang mana kuat mengadu sering mendapat perhatian daripada bos. Tetapi apabila bos ada membuat kesilapan, pembodek ini tidak mahu membetulkan bosnya. Terutama sekali dalam aspek displin kerja ataupun aspek sikap. Amalan YES BOSS memang diterapkan seumpama " lembu yang ditarik hidung " di mana bos adalah betul, kakitangan lain tidak berhak bersuara.

Pembodek bos selalu mencari kesalahan rakan lain untuk kepentingan sendiri. Kiranya dia lah yang bagus, yang berkualiti dan berinovasi. Sedangkan dia sebenarnya umpama hampas yang tidak berguna. Yutaka pernah berdepan dengan seorang pembodek bos ini. Beliau ada menegur yutaka mengenai cuti. Sedangkan yutaka tidak mengalami masalah cuti pun. Jadi yutaka pun kata lah, yang yutaka selalu isi borang cuti jika hendak bercuti.

Pembodek bos ini sebenarnya jenis yang suka cakap besar tetapi kualitinya KOSONG. Konon-konon ingin menegur kesilapan orang sedangkan diri tidaklah setegak mana bila berjalan. Yutaka bukanlah hirau sangat akan pembodek bos ni. Kerana yutaka banyak kerja lain yang menanti di pejabat. Yang penting jangan ganggu yutaka. Yutaka tidak suka perkara remeh temeh.

Wednesday, May 29, 2013

Penonton Fanatik



As Salam

Semalam ada satu perlawanan bola sepak Malaysia yang terpaksa ditangguhkan kerana soal keselamatan yang tidak begitu terjamin. Apabila stadium penuh melebihi kapasiti stadium itu membuatkan yutaka terfikir, begitu ramainya umat Islam di Malaysia ini. Ini kerana rata-rata penonton adalah orang Melayu dan orang Melayu sinonim dengan agama Islam Begitu fanatik sekali penonton yang ingin menonton perlawanan pasukan kesayangan mereka itu.

Apabila yutaka berfikir sebegitu, jika kita sebagai umat Islam bersatu, kita boleh menegakkan kesucian agama Islam itu sendiri. Memang tidak dinafikan manusia ini mempunyai pelbagai kehendak dan keinginan duniawi. Tetapi yutaka sangat hampa apabila ada sesetengah orang politik sanggup menggadaikan kesucian umat Islam untuk kepentingan politiknya.


Jika kita boleh berkumpul di stadium sehingga sanggup berhimpit-himpit, kita juga boleh berkumpul untuk bersolat jemaah di masjid atau surau yang berdekatan. Tetapi senarionya adalah sebaliknya. Surau dan masjid dipandang sepi dan hanya dihidupkan oleh golongan warga emas sahaja. Ke mana fanatik penonton itu? Jika di Mekkah, jemaah Islam begitu berebut-rebut untuk beribadat.

Sebenarnya banyak kelebihan menunaikan solat berjemaah di surau atau masjid. Salah satu nya dari segi darjatnya solat itu. Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian. Selain itu juga, solat berjemaah dapat mewujudkan ikatan persaudaraan yang kuat di kalangan umat Islam itu sendiri. Sebenarnya peranan masjid tidak dilakukan secara maksimum. Masjid bukan hanya tempat untuk menunaikan solat sahaja.



Tuesday, May 28, 2013

Dia Selalu Menjadi Bayang-Bayang



As Salam

Di dalam post yang terdahulu bertajuk Yuk Sedekah .. Biar Barakah, yutaka ada membawakan mengenai seorang peminta sedekah yang tegap menjadikan masjid sebagai tempat untuk dia meraih sedekah. Yutaka bukan tidak mahu menyedekahkan kepada orang itu, tetapi berdasarkan keadaan fizikal yang sihat, yutaka merasakan orang tersebut tidak layak menerima sedekah. 

Semalam dan kelmarin, yutaka pergi sekali lagi ke masjid tersebut untuk bersolat Zohor. Yutaka menjangkakan pemuda peraih sedekah itu tidak ada atau mungkin sudah mendapatkan pekerjaan yang sesuai, namun sangkaan itu meleset. Sekali lagi yutaka diganggu secara psikologi, di mana pemuda peraih sedekah itu berkejaran mendapatkan yutaka untuk meminta sedekah.


Sesungguhnya perbuatan pemuda tersebut sedikit sebanyak menakutkan yutaka. Dan semestinya solat yutaka tidak khusyuk apabila memikirkan pemuda peraih sedekah tersebut. Yutaka pelik kenapa pemuda itu begitu gemar mengejar yutaka sedangkan di masjid tersebut ramai manusia yang menunaikan solat. Yutaka ada bercerita dengan rakan yutaka mengenai situasi itu. Ada rakan menyarankan supaya yutaka membuat aduan kepada pejabat kebajikan masyarakat.

Lagi satu, yutaka ada sedikit persepi negatif terhadap peminta derma yang tidak tentu ke mana arahnya. Mungkin kalian pernah menghadapi situasi di mana ada seseorang yang ingin meminta derma untuk pembinaan sekolah rakyat, atau mungkin ingin membantu orang-orang susah di luar negara. Ini kerana ada beberapa sindiket yang ingin mengaut keuntungan mudah di sebalik penipuan dermaan ini.

Jika kita ingin menderma sesuatu, yutaka sarankan agar duit derma atau sedekah itu disalurkan kepada tempat yang betul seperti di masjid-masjid, surau-surau, di sekolah anak yatim, atau pembiayaan dana bagi pembinaan bangunan di sekolah anak-anak. Dengan tindakan itu, kita dapat mengekang sindiket penipuan dermaan ini daripada berleluasa. 


Thursday, May 23, 2013

Oh My Pegawai Tadbir dan Diplomatik




As Salam

Hari ini adalah hari yang dinantikan iaitu hari untuk mengetahui keputusan peperiksaan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Berdebar-debar rasanya. Disebabkan keterujaan yutaka, yutaka telah menyemak keputusan itu seawal jam 0800 pagi walhal pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia ada menyatakan keputusan itu boleh disemak pada pukul 1200 tengah hari dan ke atas.

Tepat pukul 1200 tengah hari, yutaka pun dengan berdebar nya memeriksa keputusan itu. Pertama kali membukanya, tidak boleh. Mungkin kerana ramai yang berdebar-debar untuk mengetahui keputusan peperiksaan PTD. Ok. tidak mengapalah. Yutaka buka kembali kali kedua pada pukul 1230 tengah hari. Ada satu column kad pengenalan untuk diisi. Yutaka pun membaca selawat. No kad pengenalan di masukkan dengan penuh debaran.

Setelah selesai menaip yutaka pun butang HANTAR. Jadi beginilah ayat yang menyayat hati


Dukacita anda GAGAL ujian yang telah diadakan pada 13/4/2013. 

Huk3 menangis sekejap di dalam hati. Hancur hati berderai-derai. Kecewa tidak terkata walaupun yutaka sudah biasa GAGAL di dalam peperiksaan PTD. Mengapa ya susah sangat hendak lulus peperiksaan PTD? Padahal yutaka sudah melakukan yang terbaik untuk peperiksaan itu. Maka pujuklah sendiri hati yang sedang lara itu dengan kata-kata nasihat

Mungkin rezeki pekerjaan belum sampai lagi. Mungkin juga rezeki ada di tempat lain

Yutaka sebenarnya sangat sedih kerana telah menghancurkan harapan ibu yutaka yang ingin melihat anaknya ini menjadi PTD. 

Maafkan saya ibu :(