Monday, February 11, 2013

SEMBUNYIKAN KEJUJURAN


As Salam

Hari ini yutaka teringat kata-kata adik yutaka mengenai kejujuran. Kejujuran di dalam sesuatu perhubungan itu yang yutaka ingin bawakan pada post kali ini. Setiap perhubungan sangat memerlukan kejujuran. Tanpa kejujuran sesuatu perhubungan itu akan hancur sekelip mata. Tidak kira betapa lama sesuatu perhubungan itu berlangsung, tetapi jika tiada kejujuran perhubungan itu tidak mungkin kekal lama.

Menyembunyikan kejujuran adalah satu sikap menyembunyikan sesuatu tanpa pengetahuan pasangan. Ketidakjujuran ini merupakan satu virus. Makin lama disembunyikan, virus ini akan menjadi barah yang tiada ubatnya. Apabila rahsia ini terbongkar kepada pasangan, barah ini sukar disembuhkan. Jika tidak bernasib baik, sesuatu hubungan cinta yang suci akan musnah begitu sahaja.



Ada yang berkata, menyembunyikan untuk kebaikan. Atas alasan tidak mahu pasangan terluka. Tetapi adakah kita terfikir, luka di kemudian hari itu bagus? Luka di kemudian hari itu lagi pedih diterima. Luka sekarang lebih senang diubati berbanding dengan luka apabila rahsia terbocor. Jadi mana satu pilihan kita? Mahu jujur sentiasa atau mahu berahsia dengan pasangan kita.

 Kita hendaklah jujur terhadap cinta kita. Mana-mana yang bersangkut paut dengan anasir luar yang boleh menganggu gugat hubungan cinta hendaklah diberitahu kepada pasangan kita. Anasir luar ini adalah seperti ada insan yang lain cuba berkawan rapat dengan kita secara tiba-tiba. Lagi-lagi insan itu adalah insan yang lain jantina dengan kita. 



Selain itu juga, kita tidak perlu melayan mana-mana insan yang dok usha kita. Jujurlah dan setialah kepada cinta yang telah dibina. Mana-mana usaha melayan akan menyebabkan cinta kita dengan perlahan-lajhan menuju jalan penamat. Itulah yang cuba yutaka amalkan di dalam menjaga hubungan cinta yang suci. Biarlah datang berjuta insan yang cuba menawan hati, namun yutaka ambil pendekatan malas melayan. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. 

Kesimpulannya, jujurlah walaupun pahit. Ini kerana jujur dapat merukun kan sesuatu hubungan. Tanpa jujur dalam hubungan, hubungan itu akan hancur. Kepada insan yang sedang bercinta, elakkan berhubungan dengan bekas-bekas kekasih anda. Kerana tindakan itu merupakan jarum yang boleh merosakkan sesebuah perhubungan. 




Saturday, February 9, 2013

HIKMAH BICARA 1




SETIAP LELAKI AKAN SENTIASA BERKELIP MATANYA APABILA MELIHAT WANITA COMEL YANG SENTIASA MENUTUP AURAT. MARILAH KITA MENUTUP AURAT DAN URAT KITA. ANDA COMEL APABILA MENUTUP AURAT

PERKAHWINAN, SERI WAJAH DAN KERLING MATA

 As Salam

Apa khabar kalian? Hari ini yutaka ingin membawakan mengenai kisah rumah tangga. Mana datangnya perkataan rumahtangga ini? Menurut pemahaman rambang yutaka, rumahtangga bermakna setiap pasangan suami isteri ini diumpamakan sebuah rumah dan tangga itu bermakna setiap pasangan akan melalui suka duka bersama. Menaiki tangga kebahagiaan bersama setelah melalui liku-liku rumahtangga. 

 Mengikut pengalaman yutaka yang usia perkahwinan sekecil butir nasi ini, perkahwinan ini lain macam situasinya. Dulunya kita hidup seorang diri, merencana hidup sesuka hati dan tidak terikat dengan apa-apa komitmen. Tetapi setelah menjadi ketua keluarga ini, yutaka perlu membuat segala keputusan dengan dibantu oleh nasihat puan isterinya. Keputusan yang dibuat perlulah mengambil kira hati puan isteri, famili dan famili sebelah isteri. 


Seri wajah orang yang berkahwin ini lain macam. Jika bujang dulu tidak ada siapa yang sudi pandang. Sekarang ini ramai orang cuba mengerling status yutaka. Nasib baik jari ini masih tersisa lagi inainya. Boleh menjadi saksi yang yutaka ini MARRIED AND NOT AVAILABLE. Bagaimana kalau sudah hilang kesan inainya? Itu tidak perlu gusar sangat kerana yutaka lebih suka mengambil pendekatan pandang sekali imbas dan tidak jatuh ke hati. Insya Allah. 

Jadinya yutaka sering mengingatkan isteri yutaka supaya memakai cincin perkahwinan kami berdua. Bukan apa, nanti tidak timbul fitnah. Rasanya setiap isteri WAJIB memakai cincin bagi menandakan mereka sudah bersuami. Jika tidak pakai, nanti si lelaki di luar sana menggatal untuk mengorat isteri orang lain. kenalan yutaka pernah mengalami situasi terngorat isteri orang (minta dijauhkan berlaku kepada kita semua) 

Sebenarnya hidup berumahtangga ini menjadikan kita lebih matang dan lebih berdikari. Jangan takut untuk hidup berumahtangga kerana pintu rezeki semakin terbuka apabila kita bernikah dan berkahwin. Harus diingat, rumahtangga tidak perlu dicemari dengan perhubungan gelap bekas kekasih dahulu. Biarlah kita menjalani kenangan manis dan pahit bersama pasangan yang halal. Abaikan bekas kekasih yang suka mengambil berat.(Bukan mengambil berat tetapi MENYIBUK). 


Friday, February 8, 2013

SETIA HUJUNG NYAWA



As Salam

Setia Hujung Nyawa merupakan kisah novel yang dibawa ke layar television. Begitu hebatnya penangan drama ini sehingga kan ramai yang kemaskini status berkenaan dengan drama ini di fb. Yutaka pada awalnya tidak mengikuti drama ini. Mungkin kerana masa tersebut yutaka sibuk dengan urusan peribadi.

Yutaka tabik spring kepada pelakon-pelakon nya yang berjaya menjiwai watak yang diamanahkan. Ada karakter yang sangat menyakitkan hati yang begitu terkesan di hati penonton. TAHNIAH kepada penulis novel nya FATIN NABILA. Maka nya, yutaka ingin membawakan kisah pengajaran di sebalik drama ini

PERLU BERTAUBAT

Apabila suami mengetahui isteri hamil anak luar nikah sebelum bernikah, pastinya hati suami akan remuk redam. Siapa pun lelai tidak mahu isterinya ditebuk tupai sebelum bernikah. Gejala "berkahwin" sebelum bernikah atau berzina di kalangan umat Islam amat membimbangkan. Mungkin kerana terikut hawa nafsu dan syaitan (pastinya memang kerjanya menyesatkan umat Islam)menyebabkan umat Islam semakin jauh dari agama Islam. Banyak implikasinya bagi yang berzina. Kepada yang sudah terjebak, segeralah bertaubat nasuha. Lepaskanlah nafsu itu kepada yang halal (berkahwin). Banyak pahalanya. Insya Allah.


JANGAN HUBUNGI BEKAS KEKASIH ANDA

Apabila sudah berkahwin, pastinya setiap pasangan suami isteri inginkan kebahagiaan. Salah satu nya adalah jangan hubungi bekas kekasih anda untuk mengemaskini keadaan rumahtangga anda. Apabila tindakan ini dibuat, pastinya syaitan akan terus menyucuk jarum kehancuran ke atas rumahtangga anda. Kenapa? Sebab apabila ada masalah, segala masalah akan dikongsi dengan bekas kekasih. Ditakuti hanya kerana masalah kecil, masalah akan bertambah besar dek kerana saranan jahat bekas kekasihnya.



MASALAH RUMAHTANGGA JANGAN DIHEBAHKAN

Setiap rumahtangga memang ada pasang surutnya. Ada yang bahagia ada yang terkecil hati dan ada yang merajuk. Memang tidak dapat dinafikan akan hakikat itu kerana rumahtangga dibina atas penyatuan dua insan. Masalah rumahtangga jika boleh diselesaikan, maka selesaikanlah secara bersemuka. Jika tidak tahan, berjumpa lah dengan orang yang betul-betul boleh menyelesaikan masalah itu. Tetapi jika boleh jangan lah dengan rakan sekerja kerana ditakuti akan tersebar seantero dunia. bahaya bukan? Lagi satu jangan berkongsi masalah dengan rakan berlainan jantina.


JANGAN JADI "SYAITAN"

Apabila kita mendengar masalah rumahtangga rakan. janganlah kita cuba memainkan peranan syaitan iaitu menghasut. Cuba bagi cadangan membina bagi menyelamatkan rumahtangga rakan itu. Hasutan boleh menyebabkan masalah semakin rumit dan akan menjadikan rumahtangga semakin bergoyang. Jika kita tidak ada idea, mintalah mereka pergi merujuk kepada pakar kaunseling.


Sekian untuk pengajaran. Di setiap yang berlaku adalah pengajaran yang boleh kita ambil iktibar. Jangan hanya melihat dengan mata kosong.. lihatlah dengan mata hati. Insya Allah, moga kita menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat sana.

pada pendapat saya cerita ini : terbaik gred A


Saturday, January 19, 2013

AKU YANG BERDOSA



As Salam 

 Sewaktu yutaka pergi menunaikan solat jumaat, yutaka ada mendengar mengenai kursus haji yang akan dijalankan tidak lama lagi. Kursus ini tidak terhad kepada jemaah haji yang sudah mendapat panggilan haji untuk tahun ini sahaja, tetapi terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menambah ilmu berkenaan dengan ibadah haji.

Apabila ditanya mengenai haji, ramai yang memberikan pelbagai reaksi mengenai niat itu. Ada yang berkata duit tidak cukup, belum sampai seru, saya masih muda lagi, saya banyak dosa dan lain-lain. Haji diwajibkan sekali seumur hidup bermakna sesiapa yang mendapat panggilan HAJI untuk pertama kali hendaklah bersiap sedia untuk menyempurnakan dengan jayanya.

Yutaka tertarik mengenai alasan " Aku banyak dosa, takut kat sana nanti Allah bayar tunai " Sebenarnya itu adalah hasutan syaitan yang mahukan kita semakin lalai daripada menyempurnakan rukun Islam yang kelima itu. Jika kita terasa kita banyak dosa, kita segeralah bertaubat nasuha. Insya Allah, taubat itu diterima. Kita bukan malaikat yang bebas daripada sebarang dosa.

Jangan takut untuk menjejakkan kaki di Mekkah. Yang penting kena banyak bersabar dan bertasbih memuji kebesaranNya setiap hari. Jika terdapat sebarang dugaan semasa menunaikan haji, segeralah meminta ampun kepadaNya, kerana Insya Allah di sana segala doa dimakbulkan. Anggaplah dugaan itu ujian dariNya bukan musibbah. Jika kita ikhlas menerima dugaan itu, insya Allah segala urusan di sana dipermudahkan.

 Golongan muda-mudi yang mempunyai duit yang banyak, segeralah mendaftar di TABUNG HAJI. Jangan tunggu usia sudah maghrib, baru sibuk hendak menunaikan haji. Haji bukan setakat kepada bacaan sahaja tetapi juga memerlukan kudrat bagi menyempurnakannya. kepada yang kurang berkemampuan, kita teruskan usaha untuk mengumpul duit bagi menyempurnakan rukun Islam kita yang kelima itu.
 
 

LAMBAIAN HAJI UNTUK SIAPA?


AS SALAM

Haji adalah mengunjungi Baitullah Al-Haram di Mekah untuk menunaikan segala perbuatan-perbuatan haji yang telah diperintahkan oleh Allah demi mengharapkan keredhaanNya pada masa tertentu dengan syarat-syarat tertentu.

Lambaian Haji adalah satu seruan Illahi untuk hambaNya menunaikan fardu haji yang kelima. Tidak semua manusia bisa menjejakkan kaki di bumi al-haram yang penuh barakah itu. Tidak kira betapa penuhnya duit di dalam bank, namun itu bukan jaminan untuk Allah menjemput kita ke sana. Tetapi siapakah tetamu Allah di bulan haji setiap tahun? Adakah ianya bergantung kepada Tabung Haji atau bergantung kepada duit kita?


Yutaka ambil satu iktibar di mana hanya manusia terpilih sahaja yang boleh menjadi tetamu Allah. Di India, terdapat satu kumpulan jemaah Islam di sana yang ingin mengerjakan haji pada suatu tahun tersebut. Mereka pun berkobar-kobar untuk mendapat penerbangan ke Mekah, namun malangnya penerbangan mereka ditolak kerana masalah tertentu. Mengikut perkiraan logikal, mereka tidak dapat menunaikan haji pada tahun tersebut.


Baliklah mereka ke kampung masing-masing, tetapi atas kuasa Allah mereka ditahan oleh pihak Arab Saudi. Pihak Arab Saudi mengatakan masih ada penerbangan khas ke Mekkah. Maka, terbanglah perkumpulan jemaah Islam itu ke Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima. Jadi memang benarlah seperti yang dikata, hanya Allah sahaja yang tahu siapa yang boleh menjadi tetamu di Tanah Haram tersebut.

Lagi iktibar yang boleh diberi perhatian adalah mengenai penerbangan haji yang terpaksa dibatalkan kerana masalah kesihatan di saat akhir. Situasi ini benar-benar berlaku di mana di atas kertas, ada seorang jemaah Islam boleh menunaikan haji ke Mekah. Tetapi tanpa keizinan dariNya, maka pada tahun tersebut jemaah tersebut tidak dapat menyempurnakan ibadah haji.

Jika kita hendak menjejaki Mekkah ini, berdoalah semoga kita semua dipermudahkan urusan untuk mengerjakan ibadah haji ini.


AZAM TAHUN BARU


As Salam

Jika dihitung hari, sudah lama yutaka tidak mencoretkan sesuatu di blog kesayangan "beta" ini. Hari ini yutaka berkesempatan untuk menconteng sepatah dua untuk blog ini. Apabila berbicara mengenai azam, sudah tentu setiap insan mempunyai azam mereka tersendiri. Azam sering dikaitkan dengan impian atau harapan yang ingin dilaksanakan.

Walaupun kaki sudah menjejak ke tanggal 19Januari 2013, kita masih lagi tertanya-tanya apakah azam yang ingin kita laksanakan pada tahun ini. Ada orang berseloroh " azam tahun ini adalah tidak mempunyai azam lagi ". Azam tahun baru kebiasaan nya bertahan sebulan atau dua bulan. Mungkin mengambil istilah tahun baru, kebanyakkan azam berkubur di awal tahun sahaja.


Kita sering terlupa mengenai azam dari sudut ukhrawi. Pernahkan kita terfikir untuk menambah amal jariah kita dengan ikhlas? Atau mungkin mahu menjadi khalifah Allah yang berguna untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara? Jika berbalik kepada azam tahun baru, minda sering diset mengenai ingin menjadi kaya raya, ingin membeli itu ini, ingin berjaya di dalam kerjaya dan sebagainya. Tetapi sadisnya, azam untuk pengisian Islam di dalam jiwa tidak disematkan sekali.

Tidak salah ingin menjadi kaya raya seperti Bill Gates dan sebagainya. Tetapi alangkah manisnya jika ingin menjadi kaya raya supaya boleh bersedekah kepada yang memerlukan. Yutaka sangat bangga dengan TAN SRI SYED MOKHTAR AL - BUKHARY yang tidak melupakan golongan susah walaupun dirinya sudah senang. Adakah kita nampak sesuatu daripada tindakan Tan Sri tersebut? Rezekinya semakin bertambah seiring dengan kebajikan yang dilakukan.