Monday, July 4, 2016

Sedekah



As Salam

Hari ini adalah hari-hari terakhir kita berpuasa di bulan Ramadhan. Harapnya tahun depan boleh merasai berpuasa lagi. Insya Allah. Di dalam menjelang hari raya ini, ramai insan yang bertungkus lumus meraikan hari kejayaan umat Islam ini. Berbaju baru, bersongkok baru, bersedekah dengan duit baru dari bank, berlangsir baru dan sebagainya.

Harus diingat di sini, berbelanjalah dengan berhikmah. Jangan membazir dan terikut hawa nafsu. Bersedekahlah kepada anak yatim kerana sesungguhnya insan ini turut ingin merasai hari kejayaan ini. Lagi menarik, jadikan ianya tradisi di dalam bulan Ramadhan. Bila sudah menjadi tradisi, kita tidak akan merasa kekok untuk bersedekah.

Amalan mulia ini wajar diteladani oleh anak-anak kita. Bagaimana anak - anak boleh meneladani amalan bersedekah? Senang sahaja. Semasa kita bersedekah, kita bawa bersama anak kita. Kita beri mereka duit untuk mereka merasai nikmat bersedekah. Lagi menarik jika anak kita masih kecil. Nanti si anak kecil akan bertanya dan bertanya seperti

"Kenapa mesti kita bersedekah?,"
"Apakah yang kita dapat bila bersedekah?"
"Duit tidak habis ke bila kita bersedekah?,"


Itu mungkin beberapa contoh soalan dari anak kecil. Jadi kita sebagai orang dewasa haruslah memberikan jawapan yang boleh meningkatkan semangat mereka untuk bersedekah. Amalan bersedekah ini jika diamalkan semenjak kecil, akan menjadi satu amalan berterusan di masa hadapan. Insya Allah.

Itu sahaja cerita mengenai amalan bersedekah. Orang rumah pasti gembira melihat entri ini. Kerana katanya sudah bersawang blog yutaka ini. Akhir kata, jangan main mercun. Kerana bermain mercun umpama membakar duit sendiri. Rugi rugi. Melaburlah untuk saham akhirat. Insya Allah berkat.

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN





No comments:

Post a Comment