Monday, July 20, 2015

Raya Di dalam Kesedihan



As Salam

Hari ini hari raya keempat di mana yutaka sudah kembali bertugas setelah bercuti raya selama tiga hari. Raya kali ini giliran yutaka untuk beraya bersama ibu yutaka kerana tahun lepas yutaka beraya sebelah mertua. Syukur kepada Allah yutaka dan keluarga dapat sekali lagi meraikan kemenangan setelah berpuasa sebulan di dalam bulan Ramadhan.

Di dalam kegembiraan menyambut Syawal, hari ini yutaka dikejutkan dengan pemergian seorang rakan sekerja yang sangat baik iaitu Haji Nor Zaini Bin Abd Majid. Pemergian arwah sangat cepat di mana puncanya adalah sesak nafas sahaja. Pulangnya arwah ke sisi Allah sangat mudah kerana tidak melalui ujian kesakitan yang berpanjangan.

Walaupun yutaka baru sahaja mengenal arwah (kira-kira setahun), namun yutaka berpendapat arwah merupakan seorang rakan sekerja yang baik dan zuhud. Arwah tidak berkira di dalam melaksanakan tugasnya dan sentiasa tersenyum apabila jumpa di mana-mana. Dengan keperibadian yang luhur itu, yutaka senang bekerjasama dengan arwah di dalam urusan kerja.

Di saat pengebumian arwah, yutaka sangat sebak kerana yutaka akan kehilangan seorang teman sekerja yang sangat baik. Bertambah sedih apabila melihat keluarga arwah turut menitiskan air mata kepiluan. Entah kenapa terjatuh juga beberapa titis air mata kesedihan ini ke bumi. Apabila hendak mencetak kad perakam waktu petang tadi, teringat kenangan arwah yang selalu menyapa yutaka sebelum jam pukul 5.00 petang.

Wahai arwah Haji Nor Zaini Bin Abd Majid, jawablah pertanyaan Malaikat

Siapakah TUHAN mu ?
Siapakah NABI mu ?
Apakah AGAMA mu ?
Siapa/apakah IMAM (Panduan dan Pedoman) kamu!
Siapakah SAUDARA mu ?

Berehatlah wahai arwah. Semoga dikau sejahtera di sana. Amin Ya Rabbal Alamin


No comments:

Post a Comment