Wednesday, October 22, 2014

Umpatan vs Mengata



As Salam

Hari sabtu 22/10/2014 adalah hari cuti. Sementara menunggu puan isteri siap untuk bersarapan pagi, sempatlah juga yutaka mencoretkan satu bingkisan di dalam blog ini. Baru-baru ini yutaka seakan tidak seronok bekerja, bukan kerana bebanan kerja tetapi kerana bebanan umpatan rakan sekerja. Jangan risau kerana bingkisan ini bukan ruangan gosip tetapi lebih kepada pengajaran. Yutaka cuba .. :D

Yutaka tidak seronok bekerja kerana yutaka kena mendengar umpatan setiap hari. Umpatan itu berkisar kepada kewibawaan seorang bos. Dari pagi hingga ke petang, topik yang sama sahaja diumpatkan. Penat juga yutaka mendengarnya. Kenapa tidak mengelak? Kerana rakan yang mengumpat itu duduk berhampiran dengan yutaka. Jadi yutaka terpaksa menadah telinga ini untuk mendengar umpatan itu.


Teringat yutaka akan Firman Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 12 :

" Hai orang orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan jangan lah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya ... "

Sebenarnya yutaka tidak gemar mencampuri urusan orang lain. Yutaka cuma datang bekerja dan bekerja. Malas hendak bergosip menceceh bukan bukan dan bergaduh dengan rakan sekerja. Tetapi yutaka pun manusia biasa. Hari hari mendengar umpatan, lama kelamaan hati ini mungkin terpengaruh. Terpengaruh bermaksud persepsi yutaka terhadap orang yang diumpat itu turut berubah di mana yutaka turut sama menyampah dengan orang yang diumpatkan itu.


Walaupun ini seakan soal remeh untuk ditulis, namun sebenarnya mengumpat ini sebenarnya mampu memecahbelahkan manusia. Yutaka tidak mahu bermusuh dengan sesiapa dan tidak mahu bermasam muka dengan sesiapa. Kerana mulut badan binasa kerana kata-kata itu lebih tajam dari pisau dan lukanya lebih dalam. Jadi yutaka lebih gemar mengambil pendekatan diam ketika mendengar umpatan itu.

Yutaka berharap perkara ini dapat berakhir. Yutaka tidak mahu hati yutaka ini dicucuk dengan jarum amarah orang lain. Lagipun tiada guna untuk memusuhi orang lain kerana hati kita akan tidak gembira apabila ada tersimpan sifat itu. Sucikan hati ini dengan bacaan Al-Quran dan zikir kepadaNya. Kita pun tidak tahu bila kita akan dijemput oleh Malaikat. Entah sempat atau tidak meminta maaf dengan orang yang pernah diumpatkan itu. 


No comments:

Post a Comment