Saturday, July 19, 2014

Marah Kita Tidak Panjang



As Salam

Baru baru ini timbul viral di Facebook mengenai tingkah seorang wanita yang memarahi seorang pakcik di atas jalan raya. Begitu marah sekali wanita berkenaan sehingga mengetuk kereta pakcik berkenaan beberapa kali dengan menggunakan pengunci stereng. Situasi itu dirakam dan dimasukkan ke dalam Facebook dan akhirnya bom kebabom meletup letup nama wanita dan nama kenderaan wanita berkenaan.

Begitulah manusia, memang mempunyai sifat amarah yang pelbagai tahap. Ada yang marah sepanjang masa iaitu panas baran dan ada yang marah tetapi masih boleh bersabar dan tenang. Apabila manusia sedang marah, syaitan di sebelah akan sentiasa menyucuk tajam dan hati juga kadangkala tidak mampu mengawal sendirian. Hati ini sebenarnya tidak seteguh akal fikiran kerana akal boleh memikirkan baik dan buruk. Jika akal menguasai hati, insya Allah kemarahan itu masih boleh dikawal dengan bijaknya.


Jadi di sini mungkin yutaka dapat meninggalkan beberapa tips untuk mengawal kemarahan yang sedang meletus di hati :

a) Apabila sedang marah, dekatkan diri anda dengan air. Minum air atau mengambil wuduk mungkin jalan terbaik untuk mengurangkan suhu kemarahan dijiwa. Amarah ini umpama api maya yang sedang marak di dalam jiwa. Jadi untuk menghilangkan api kita memerlukan air untuk memadamkannya.

b) Apabila sedang marah, cuba dapatkan wangian lembut untuk mengurangkan tekanan di jiwa. Kewangian dapat membawa hati kembali tenang dan tenteram. Jika boleh kita bolehlah membawa minyak wangi yang bersaiz kecil ke mana sahaja kita pergi. Untungnya adalah kita boleh sentiasa wangi dan dapat mengawal amarah di hati.

c) Ketika sedang marah juga, kita hendaklah mengambil pendekatan diam dan berfikir. Cara ini tidak semua mampu melakukan kerana tidak semua mampu berfikir secara rasional ketika marah. Yutaka selalu mengambil pendekatan ini. Walaupun pendekatan ini sakit pada mulanya namun pengakhirannya sangat baik. Ini kerana selepas tenang kita akan merasa menyesal kerana mengamuk tidak ingat dunia.

d) Berselawat dan berzikirlah kepada Allah. Walaupun nampak mudah, kita mungkin sering terlupa. Memuji muji Allah dan berdoa supaya kita sentiasa bersabar dengan ujian amarah. Allah sentiasa mendengar keluh resah hambanya. Mintalah kepadaNya dan berserah lah kepadaNya. Insya Allah hidup diberkati walau apa juga ujian yang melanda. 


Itulah antara tips terbaik untuk kita mengawal maraknya api kemarahan di hati. Kita bukan malaikat yang sentiasa sujud taat beribadat kepadaNya. Untuk melatih hati supaya bersabar, hendaklah kita sentiasa berzikir dan membaca Al-Quran. Hati kita hendaklah diberikan santapan rohani secara berterusan. Jika hati sentiasa disajikan dengan muzik yang melalaikan, kita tengoklah keadaaannya ketika marah. Memang sangat menakutkan.

No comments:

Post a Comment