Wednesday, March 5, 2014

Seruan Haji Bahagian Tujuh




As Salam

Menemui kembali di dalam ruangan Haji. Hari ini yutaka ingin membawakan kisah persediaan paling penting sebelum berangkat menunaikan Fardu Haji. Persediaan material akan yutaka bawakan untuk post akan datang. Insya Allah. Persediaan yang yutaka maksudkan adalah mengkhabarkan pemergian kita untuk menunaikan fardu Haji. Pentingkah menghebahkan pemergian kita itu? Jawapannya adalah penting.

Bukan tujuan untuk meninggi diri, tetapi lebih kepada memberikan pengajaran dan kesedaran kepada rakan-rakan lain untuk berazam mengikuti jejak langkah kita nanti. Di sebalik mengkhabarkan pemergian itu, kita bolehlah memohon kemaafan kepada rakan rakan dan sanak saudara. Minta juga mereka mendoakan kesejahteraan kita di sana dan selamat kembali semula ke Malaysia.



Di sebalik memberi pengajaran, kita boleh membantu rakan rakan kita di dalam membacakan doa di depan Kaabah. Mungkin ada yang ingin kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, mungkin ada yang ingin menimang zuriat, mungkin mahukan anaknya berjaya di dalam peperiksaan. Tidak mengapa, kita tolonglah mereka dengan cara berdoa di depan Kaabah atau di tempat tempat yang mustajab untuk berdoa. (pastinya bakal jemaah sudah tahu tempat mana yang mustajab untuk berdoa di Mekkah)

Jika dahulu, jemaah haji siap membuat kenduri kendara bagi memberikan sedekah makanan kepada rakan rakan dan sanak saudara. Ini kerana bagi mereka, menunaikan Haji ini umpama berjihad di jalan Allah. Alangkah beruntungnya jika mereka dijemput di Tanah Suci. Untuk makluman, dahulunya untuk menunaikan Haji mengambil masa setahun (termasuk waktu perjalanan, dan waktu Haji). Perjalanan ke Mekkah menggunakan kapal di mana para jemaah haji dahulunya akan membawa bekalan makanan untuk dibawa ke sana. Ada kisah, jemaah Haji meninggal dunia ketika di dalam perjalanan pergi.



Walaupun sekarang tidak sesukar dahulu. Jemaah Haji akan menggunakan perkhidmatan kapal terbang yang mengambil masa 8 jam perjalanan pergi. Tetapi sebenarnya soal sekejap atau lambat itu bukan ukuran. Jika ada peluang, pergilah berjumpa dengan rakan rakan dan sanak saudara untuk memohon kemaafan. Untuk menunaikan Haji, hati perlu bersih. Hilangkan sifat dan sikap berdendam. Maafkanlah mereka yang pernah menyakiti hati kita dahulu. Jika hati sudah tenang, Insya Allah tenanglah kita di Mekkah nanti.

Jangan risau akan kerapuhan nyawa kita di sana. Berdoalah untuk kesejahteraan kita di sana di samping dapat kembali semula ke tanah air. Kalau bernasib baik, mungkin kita diizinkan untuk meninggal dunia di sana. Alangkah seronoknya bagi mereka yang dijemput ketika menunaikan Haji. Tiada apa yang istimewa di dunia pinjaman ini, alam akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi.








No comments:

Post a Comment