Tuesday, March 11, 2014

Sabar Itu Pahit Ditelan


As Salam

Sebelum memulakan bicara, yutaka ingin melahirkan rasa sedih di atas kehilangan penumpang dan krew kapal terbang MH370 yang sehingga kini masih hilang tanpa sebarang bukti dan kesan. Pagi tadi yutaka ada menonton Malaysia Hari Ini di TV3 di mana ada menyelitkan perbualan dengan ibu bapa penumpang MH370 yang mana mereka masih menunggu berita kehilangan anak dan menantunya. Memang sebak seketika waktu itu. Air mata ini bergenangan di sebalik cermin mata yutaka. Yutaka memang seorang yang halus jiwanya. Jika melihat kesusahan orang lain, yutaka pasti tersentuh. 


Untuk meredakan kesedihan ahli keluarga yang terlibat, pihak kerajaan telah menghantar kaunselor untuk membantu jiwa jiwa yang sedang sedih dan risau akan kehilangan penumpang dan krew MS370. Bercerita mengenai kesedihan itu, yutaka pasti perkataan SABAR itu sungguh menyakitkan. Orang yang sedang sedih sebenarnya tahu akan keperluan sabar di dalam menempuhi dugaan, namun pastinya perkataan SABAR tidak begitu sedap di dengar bagi mereka yang sedang berduka.

Bercerita mengenai sabar di dalam menempuhi dugaan, yutaka pernah merasai akan kehilangan bapa tersayang. Memang agak perit apabila ketua keluarga sudah pergi meninggalkan anak dan isteri, Perkataan sabar itu memang sangat menyakitkan. Orang selalu kata "banyakkan bersabar" Bila mendengar perkataan sabar, jiwa ini sakit dan mata terus mengalirkan air mata. Begitu sakitnya ucapan sabar itu. Yutaka tahu dan mengerti akan keperluan SABAR di dalam menempuhi dugaan Allah.


Orang yang sedang sedih ditimpa musibah terutama apabila kehilangan orang tersayang memerlukan seseorang yang pernah mengalami situasi kehilangan tersebut. Ini kerana hanya mereka yang pernah merasai kesedihan yang sama sahaja tahu bagaimana terlukanya dan sedihnya apabila menghadapi dugaan Allah. Bukan perkataan SABAR itu yang dimahukan, tetapi lebih kepada berkongsi pengalaman bagaimana menghadapi situasi berkenaan.

Memang senang melafazkan perkataan SABAR SABAR SABAR, tetapi pada hakikatnya perkataan SABAR itu umpama pisau yang menusuk kalbu. Lagi pedih daripada terluka pada zahir. Bagi yang sedang bersedih ditimpa dugaan, berdoalah kepada Allah supaya menyabarkan hati. Bagi yang menonton dan memerhati kesedihan orang lain, ungkaplah perkataan selain daripada SABAR kerana sesungguhnya perkataan itu sungguh menyakitkan.


No comments:

Post a Comment