Thursday, December 26, 2013

Seruan Haji Bahagian Enam




As Salam

Hari ini yutaka ingin bercerita mengenai KESIHATAN jemaah Haji. Sesungguhnya kesihatan amat dititikberatkan oleh pihak Tabung Haji kepada para jemaah haji. Sebelum menunaikan Haji, jemaah hendaklah melakukan pemeriksaan kesihatan. Hal ini kerana pihak Tabung Haji ingin memastikan bahawa perjalanan jemaah Haji akan berjalan dengan lancar.

Sebelum menunaikan fardhu Haji, seseorang jemaah Haji hendaklah bersiap sedia dari segi stamina dan ilmu. Ilmu Haji sudah semestinya penting, tetapi tahap kesihatan yang baik juga perlu diberi perhatian. Jika sakit, bagaimana jemaah Haji hendak menunaikan Haji dengan sempurna. Untuk itu, bagi mereka yang mendapat tawaran menunaikan Haji, pihak tabung Haji menyarankan bakal jemaah Haji bersenam dan berjoging untuk mendapatkan stamina yang terbaik.

ibadah tawaf mengelilingi Kaabah

Kenapa perlunya kesihatan yang baik? Sudah semestinya menunaikan fardhu Haji adalah lebih kepada fizikal seperti tawaf, saie (berlari lari anak) dari bukit safar ke marwah dan melontar 3 jumrah. Tawaf misalannya, memerlukan stamina dan energi yang banyak kerana semasa tawaf jemaah Haji akan bertembung dengan ramai jemaah Haji dari seluruh dunia. Apabila jemaah Haji dari Timur Tengah yang berbadan tegap dan tinggi bertembung dengan jemaah Haji Malaysia, pastinya terpelanting jemaah Haji Malaysia. Dengan stamina dan energi yang tinggi, jemaah Haji tidak akan semput dan penat semasa menunaikan tawaf.

Saie dari bukit safar ke marwah juga memerlukan kesihatan yang baik. Jemaah Haji akan berjalan dan berlari lari anak (disunatkan bagi lelaki) dari bukit Safa ke bukit Marwah sebanyak 7 kali. Bagi mereka yang memiliki stamina dan energi yang rendah, mereka akan lelah setelah mereka menunaikan ibadah saie ini. Seperti biasa, ramai jemaah Haji dari seluruh dunia akan bersaie ketika itu. Tidak kira waktunya, kawasan saie tetap ramai orang. Memiliki stamina yang tinggi dapat memudahkan dan mempercepatkan ibadah tersebut. Mempercepatkan itu bukanlah sampai 10minit, tetapi jika terlalu lama akan menyebabkan stamina kita semakin lemah.

ibadah saie dari bukit safa ke bukit marwah

Melontar jumrah juga merupakan di antara kemuncak Haji. Para jemaah Haji perlu berjalan sejauh 5km pergi balik untuk melontar jumrah. Di sinilah, pentingnya joging kerana apabila jemaah Haji sudah terbiasa berjoging, sudah semestinya mereka tidak mengalami kesukaran untuk berjalan ke tempat jumrah dan balik ke khemah. Jangan lupa untuk membawa air mineral dan payung kerana di sana tiada mesin air dan penjual air dan penjual payung. Kalau haus, berdoa lah kepada Allah.

Sebelum Tabung Haji membenarkan jemaah Haji menunaikan Haji, jemaah Haji hendaklah membuat pemeriksaan kesihatan seperti pemeriksaan darah, urin, tekanan darah, jantung dan lain lain. Ada juga suntikan tambahan yang digalakkan untuk mengambilnya di mana suntikan berkenaan adalah ditanggung sendiri oleh jemaah Haji sendiri. Suntikan itu adalah untuk mencegah badan daripada terkena jangkitan penyakit berjangkit. Masalah demam, hidung berdarah dan bibir kering itu adalah kebiasaan, jangan risau akan situasi itu.

ibadah melontar jumrah

Sesungguhnya perkara kesihatan ini perlu dititikberatkan sebelum menunaikan Haji. Kesihatan yang baik akan memudahkan kita untuk menyempurnakan Rukun Islam yang kelima. Tetapi berdoalah kepada Allah untuk rezeki kesihatan itu kerana hanya Allah mampu memberikan sihat dan memberikan ujian sakit kepada jemaah Haji. Kita hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakal. Paling penting adalah menjaga kesihatan sebelum, semasa dan selepas menunaikan Haji.

No comments:

Post a Comment