Tuesday, August 27, 2013

Allah Sayangi Kita, Tetapi Kita ... Versi Makan Minum



As Salam.

Hari ini yutaka ingin membawakan mengenai kisah makan minum. Umum mengetahui soal makan minum merupakan satu keperluan kehidupan kita. Tanpa makan minum, manusia tidak bertenaga dan tidak dapat menjalankan kewajipan sebagai khalifah Allah. Tetapi adakah kita makan untuk hidup atau hidup untuk makan? Apakah perbezaan antara dua ayat tersebut.

Makan untuk hidup adalah mereka makan untuk tenaga di dalam badan. Bila ada tenaga, mereka dapat bekerja, beribadat dan menjalankan aktiviti lain sebagai khalifah Allah. Hidup untuk makan pula adalah mereke hidup adalah semata-mata untuk makan. Makan merupakan perkara nombor satu dan mengatasi segala-galanya.


Dalam soal makan minum, kita telah diajar oleh Nabi Muhammmad SAW mengenai tatacara pemakanan. Sesungguhnya ada hikmah di sebalik tatacara tersebut. Tetapi adakah kita sebagai umat Islam mengikuti tatacara tersebut? Pada yutaka, secara terus terangnya ada yang yutaka ikut dan ada juga yang yutaka terlanggar. Tetapi setelah mengalami kesakitan di kaki kiri, yutaka mengambil keputusan untuk mengikuti tatacara pemakanan yang betul.

Bermula dengan bismillah dan diakhiri dengan alhamdulillah merupakan tanda syukur kita kepada Allah kerana mengurniakan rezeki makan kepada kita. Tanpa izinNya, rezeki itu tidak datang kepada kita. Berhenti sebelum kenyang dan mengunyah makanan sebanyak 40x merupakan antara amalan yang bagus. Berhenti sebelum kenyang merupakan antara amalan yang baik kerana makanan di dalam perut ini dapat dicernakan dengan baik. Bila makanan sudah penuh diperut, kita akan menjadi malas. Mengunyah 40x diperlukan untuk mengisar makanan sehalusnya supaya proses pencernaan berlangsung dengan jayanya.


Pembaca sekalian boleh mencari sendiri antara sunnah Rasullullah mengenai tatacara makan minum di dalam internet. Tetapi apa yang yutaka ingin tekankan di sini adalah kegagalan kita untuk menjaga kesihatan sehingga memudaratkan badan kita sendiri. Allah memang sayangi kita dengan memberikan punca rezeki makan minum kepada kita. Diberikan rezeki itu adalah untuk memudahkan manusia menjalankan tanggungjawabnya sebagai khalifah di bumi.

Kesayangan Allah kepada kita juga dapat dilihat dengan mewajibkan setiap manusia berpuasa selama sebulan di dalam bulan Ramadhan. Berpuasa sebulan ini banyak hikmahnya antaranya adalah selama sebulan perut kita dapat berehat kerana sudah 11 bulan asyik bekerja memproses makanan di dalam tubuh badan kita. Tetapi berpuasa itu bukanlah tanpa makan dan minum, kita masih diberikan ruang untuk berbuka puasa di sebelah malam dan bersahur sebelum subuh.

Jadi di manakah keadilan kita terhadap pinjaman tubuh badan kita? Jika terlebih makan dan minum, pastinya akan memudaratkan kesihatan tubuh badan kita. Jika terkurang makan minum pula, ianya juga memudaratkan. Makanlah seadanya, tidak banyak dan tidak terlalu kurang. Allah sayangi kita, dan kita mestilah sayangi Allah dengan menjaga pinjaman tubuh badan kita sepenuh hati.



No comments:

Post a Comment