Saturday, January 19, 2013

AKU YANG BERDOSA



As Salam 

 Sewaktu yutaka pergi menunaikan solat jumaat, yutaka ada mendengar mengenai kursus haji yang akan dijalankan tidak lama lagi. Kursus ini tidak terhad kepada jemaah haji yang sudah mendapat panggilan haji untuk tahun ini sahaja, tetapi terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menambah ilmu berkenaan dengan ibadah haji.

Apabila ditanya mengenai haji, ramai yang memberikan pelbagai reaksi mengenai niat itu. Ada yang berkata duit tidak cukup, belum sampai seru, saya masih muda lagi, saya banyak dosa dan lain-lain. Haji diwajibkan sekali seumur hidup bermakna sesiapa yang mendapat panggilan HAJI untuk pertama kali hendaklah bersiap sedia untuk menyempurnakan dengan jayanya.

Yutaka tertarik mengenai alasan " Aku banyak dosa, takut kat sana nanti Allah bayar tunai " Sebenarnya itu adalah hasutan syaitan yang mahukan kita semakin lalai daripada menyempurnakan rukun Islam yang kelima itu. Jika kita terasa kita banyak dosa, kita segeralah bertaubat nasuha. Insya Allah, taubat itu diterima. Kita bukan malaikat yang bebas daripada sebarang dosa.

Jangan takut untuk menjejakkan kaki di Mekkah. Yang penting kena banyak bersabar dan bertasbih memuji kebesaranNya setiap hari. Jika terdapat sebarang dugaan semasa menunaikan haji, segeralah meminta ampun kepadaNya, kerana Insya Allah di sana segala doa dimakbulkan. Anggaplah dugaan itu ujian dariNya bukan musibbah. Jika kita ikhlas menerima dugaan itu, insya Allah segala urusan di sana dipermudahkan.

 Golongan muda-mudi yang mempunyai duit yang banyak, segeralah mendaftar di TABUNG HAJI. Jangan tunggu usia sudah maghrib, baru sibuk hendak menunaikan haji. Haji bukan setakat kepada bacaan sahaja tetapi juga memerlukan kudrat bagi menyempurnakannya. kepada yang kurang berkemampuan, kita teruskan usaha untuk mengumpul duit bagi menyempurnakan rukun Islam kita yang kelima itu.
 
 

No comments:

Post a Comment